![]() |
IPU di Melaka semakin baik dan kelihatan segala rutin harian di sini berjalan seperti biasa. - Gambar Fail |
Bandaraya Melaka - Keadaan berjerebu di Melaka semakin bertambah baik apabila kualiti udara di dua lokasi di negeri mencatatkan kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ‘sederhana’ berbanding ‘tidak sihat’ kelmarin.
Sehingga jam 4 petang semalam, Bandaraya Melaka mencatatkan paras bacaan IPU 76 manakala bacaan untuk Bukit Rambai tidak diperoleh.
Bagaimanapun, bacaan terakhir untuk Bukit Rambai pada jam 9 pagi semalam menunjukkan kadar IPU 87.
Hujan berpanjangan yang turun sejak pagi kelmarin di beberapa kawasan di negeri ini dipercayai mempengaruhi penurunan paras IPU di kedua-dua lokasi berkenaan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Alam Sekitar menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah berjaga-jaga, termasuk tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, walaupun keadaan berjerebu semalam didapati semakin bertambah baik.
Ini kerana, katanya, banyak titik panas masih dikesan di negara jiran yang dikhuatiri akan sekali lagi memburukkan keadaan jerebu sekiranya angin berubah arah.
“Langkah berjaga-jaga ini perlu diteruskan kerana walaupun keadaan tidak seteruk sebelum ini, ia berkemungkinan boleh berulang,” katanya.
Bagi Negeri Sembilan pula, keadaan jerebu di negeri ini juga kian pulih apabila IPU mencatatkan penurunan ketara iaitu bawah 100 sejak kelmarin.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Ruslan Mohammad berkata, hujan lebat sejak tiga hari lalu membantu membantu mengurangkan jerebu.
"Kita memang bergantung dengan hujan bagi mengurangkan asap jerebu, memandangkan kebakaran masih lagi berlaku di negara jiran.
"Bagaimanapun, kita masih lagi memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pembakaran terbuka dilakukan, walau pun jerebu semakin berkurangan," katanya. - Sinar Harian.
No comments
Post a Comment