Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Papan Tanda Tulisan Jawi Perlu Kelulusan PBT

Setiap papan tanda bertulisan Jawi yang dipasang di Melaka perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan syarat dan garis panduan ditetapkan adalah dipatuhi.

22 September, 2015

/ by Admin
Salah satu papan tanda yang mempunyai kesalahan dalam tulisan jawi dikongsi pengguna media sosial
ALOR GAJAH - Setiap papan tanda bertulisan Jawi yang dipasang di Melaka perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan syarat dan garis panduan ditetapkan adalah dipatuhi.
   
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman berkata, pemasangan papan tanda berkenaan, termasuk di premis dan taman perumahan perlulah betul dari segi penggunaan bahasa dan ejaannya.
   
"Kita menerima beberapa aduan berhubung penggunaan tulisan Jawi yang salah, iaitu dari segi susunan tulisan itu menyebabkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat terutama orang Islam," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas isu kesalahan penggunaan tulisan Jawi pada beberapa papan tanda di sekitar Melaka.
   
Penggunaan tulisan Jawi yang tidak tepat pada beberapa papan tanda di sekitar negeri Melaka mula diberi perhatian oleh Ahli Parlimen Tangga Batu Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah sebelum menjadi viral di media sosial terutama Facebook.    
   
Antara papan tanda yang dikenal pasti memaparkan penggunaan tulisan Jawi yang salah adalah papan tanda Taman Teknologi Cheng di daerah Melaka Tengah dan Taman Intekma serta Taman Lendu Ilmu di Alor Gajah.
   
Mengulas lanjut, Ismail berkata siasatan telah dilakukan dan mendapati syarikat pengiklanan yang dilantik pemaju tidak merujuk kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Perbandaran Alor Gajah.
   
Beliau berkata semua papan tanda papan berkenaan telah diarah untuk diturunkan dan hanya boleh dipasang semula selepas pembetulan dilakukan serta mendapat kelulusan PBT terlibat. - Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo