Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Nahas Hantar Adik Ke Sekolah

Seorang remaja tidak sempat menghantar adiknya ke sekolah agama selepas dia dan seorang lagi adiknya maut dalam kemalangan di Jalan Tanjung Minyak, di sini, semalam.

08 September, 2015

/ by Mohammad Zaffarin Mohd Khan
Tanjung Minyak - Seorang remaja tidak sempat menghantar adiknya ke sekolah agama selepas dia dan seorang lagi adiknya maut dalam kemalangan di Jalan Tanjung Minyak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, Muhammad Hafizi Mohd Hairi, 18, dan adik bongsunya, Muhammad Haidhar, 7, maut selepas motosikal jenis Honda Wave ditunggangi bersama seorang lagi adiknya, Muhammad Hakim, 9, dirempuh sebuah kereta.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan menghantar Muhammad Hakim ke Sekolah Rendah Agama Jaim Tanjung Minyak.

Muhammad Hafizi dikatakan pertama kali menghantar Muhammad Hakim kerana selama ini adiknya itu hanya menaiki bas ke sekolah agama yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka di Taman Tanjung Minyak Utama.

Bapa mereka, Mohd Hairi Saleh, 42, berkata, Muhammad Hafizi yang bersekolah di Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin, Alor Gajah tidak ke sekolah kerana tidak sihat berikutan kesan kecederaan dialami akibat kemalangan sebulan lalu.

“Ketika kejadian, saya sedang berniaga pisang goreng di Kelemak dan saya tak tahu Hafizi dan Haidhar menghantar Hakim ke sekolah agama sebab selama ni Hakim hanya naik bas.

“Saya terkejut bila jiran telefon bagitahu anak-anak saya kemalangan dan suruh saya tutup kedai,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Hayati, 42, berkata, ketika kejadian dia menunggang motosikal sendirian di belakang motosikal dinaiki tiga beradik menghala ke Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

“Mereka menunggang perlahan, tiba-tiba kereta Perodua Kenari dari arah bertentangan membelok masuk ke kanan jalan dan terus rempuh tiga beradik ni.

“Ketiga-tiga melambung tinggi sebelum jatuh di tepi jalan. Kereta dipandu seorang wanita lingkungan usia 30-an itu pula berpusing sebelum terhenti di tepi jelan berdekatan motor tiga beradik ni,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurut Hayati, Haidhar masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia oleh kakitangan hospital.

"Mereka kemudian membawa Hakim yang cedera menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Melaka," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Tengah, Asisten Superintendan Yahya Manan berkata, mangsa yang datang dari arah Tanjung Minyak ke arah Lebuh AMJ dirempuh kereta yang dipandu wanita berkenaan secara berseorangan.

“Wanita itu yang memandu dari arah Lebuh AMJ secara tiba-tiba membelok ke kanan lalu melanggar mangsa hingga mengakibatkan dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Wanita terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya.

Yahya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo