Responsive Ad Slot

Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Kerajaan Komited Sedia Khidmat Kesihatan Berkualiti - Najib Razak

No comments

24 April, 2018

Kerajaan Komited Sedia Khidmat Kesihatan Berkualiti - Najib Razak

PUTRAJAYA - Komitmen kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti yang merupakan antara terbaik di dunia untuk rakyat Malaysia, bukanlah omong kosong, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini terbukti apabila Laporan Jurnal Antarabangsa Pelancongan Kesihatan mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2015.

Katanya majalah International Living turut mengiktiraf Malaysia sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam bidang penjagaan kesihatan.

“Ini kerana akujanji dibuat kerajaan berjaya dilaksanakan. Dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita tetapkan penjagaan kesihatan dan gaya hidup antara satu daripada 14 teras keutamaan diperjuangkan kerajaan untuk lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

Menerusi akujanji berkenaan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menambah baik dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses rakyat.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM27 bilion dan RM26 bilion kepada Kementerian Kesihatan, masing -masing dalam Bajet 2018 dan 2017 yang lalu.

Peruntukan besar itu penting untuk mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi 400 penduduk menjelang 2030, katanya.

Dalam konteks penyakit kanser di Malaysia, Najib berkata kanser adalah penyebab kematian keempat tertinggi di Malaysia pada 2015, dan sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat menjalani saringan awal kanser kerana dianggarkan 65 peratus kes yang dirujuk di hospital sudah mencapai tahap kronik dan teruk.

“Saya hairan, kenapa orang tidak mahu melalui ujian kesihatan termasuk kanser. Mereka takut pergi ke hospital, takut mengetahui keadaan sebenar sehingga dapat dikesan, pada masa itu sudah berada di tahap empat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran serta memajukan lagi bidang penjagaan kesihatan negara termasuk memberi tumpuan kepada pendidikan mengenai gaya hidup sihat, pencegahan awal, serta amalan pemakanan yang baik dalam kalangan rakyat. -Bernama

Tiga Buah Lori Digunakan Bantu Buang Sampah Dalam Rumah 11 Beranak

No comments

20 October, 2017

Tiga Buah Lori Digunakan Bantu Buang Sampah Dalam Rumah 11 Beranak

MELAKA - Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka membelanjakan lebih RM10,000 bagi aktiviti gotong-royong, membaiki dan memberi wajah baru kepada rumah didiami 11 beranak di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, Sabtu lalu.

Seramai 70 sukarelawan menghabiskan masa sehari untuk membersihkan rumah berkenaan yang dipenuhi timbunan sampah selain pakaian kotor tidak dibasuh, sekali gus menyebabkan bau busuk.

Selepas dibersihkan sukarelawan, tiga lori digunakan untuk mengangkut sampah serta barangan lain yang sudah rosak atau tidak boleh digunakan untuk dibuang di tapak pelupusan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, dapur rumah itu antara bahagian rumah paling teruk terjejas dengan sampah dan pakaian kotor dilonggokkan begitu saja selain pinggan dan periuk tidak dibasuh selepas digunakan.

Penghuni rumah berkenaan, Siti Norenliriana Mohd Fakeri, 30, yang juga ibu tunggal berkata, dia tinggal di rumah itu bersama lima anak berusia lima bulan hingga 11 tahun serta bapanya, Mohd Fakeri Othman, 57, dan adik-beradik lain.

Dia mendakwa akibat tidak ada kesepakatan dalam kalangan adik-beradik, rumah tempatnya berlindung kini tidak terurus.

“Saya tinggal di rumah ini sejak tiga tahun lalu selepas berpindah daripada rumah sewa di Limbongan. Meskipun jumlah penghuninya 11 orang, tapi sikap ambil mudah yang lain menyebabkan saya tak larat nak kemas rumah dan jadi begini (terlalu kotor),” katanya.

Dia mengakui, selain bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bapa yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar awam di negeri ini dengan pendapatan RM1,500 sebulan turut membantu menyara kelima-lima anaknya.

Katanya, dia seboleh-bolehnya mahu bekerja dan berusaha menyediakan kediaman lebih baik untuk kelima-lima anaknya, namun kehadiran bayi perempuan lima bulan dan anak lain masih kecil membataskan hasratnya.

“Sebelum keadaan dapur jadi begini (terlalu kotor) saya kerap memasak, tapi sekarang harapkan ayah belikan makanan untuk isi perut kosong saya dan anak-anak dan untuk berjimat cermat, kami makan sekali sehari saja,” katanya.

Menurutnya, masalah rumah itu mendapat perhatian guru tiga anaknya yang kemudian mengadukan perkara terbabit kepada Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka sebelum tindakan segera diambil untuk membersihkannya.

“Pada mulanya guru datang ke rumah untuk tanya khabar tiga anak yang sudah sebulan tidak ke sekolah atas alasan kerap dibuli rakan. Namun, selepas melihat keadaan rumah kami yang amat teruk, guru terbabit merujuk masalah ini kepada JKM,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka, Abd Razak Abu yang melawat kediaman berkenaan berkata, gotong-royong membersihkan kediaman 11 beranak itu dibantu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta UMNO cawangan Paya Lebar, lapor MyMetro.

Pelajar IPT Dituduh Bunuh Bayi

No comments

19 September, 2017

Pelajar IPT Dituduh Bunuh Bayi
KANGAR - Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas tuduhan membunuh dengan membuang bayi perempuan yang baharu dilahirkannya, pada 1 September lalu.

Tertuduh, Nur Azian Khalid, 22, dituduh melakukan kesalahan itu di tandas lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan kaki Bukit, di sini, jam 6.35 pagi pada hari kejadian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari bandar ini.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menetapkan 14 Disember ini sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia kes itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Lokman Hakim.

BH sebelum ini melaporkan, mayat bayi perempuan ditemui disumbat dalam tangki tandas sebuah stesen minyak di Jalan Kaki Bukit, di sini, pada 1 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintedan Wari Kiew, berkata bayi perempuan yang dipercayai baharu dilahirkan itu ditemui pekerja stesen minyak berkenaan jam 6.35 pagi.

Suspek yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan bagaimanapun ditahan di sebuah rumah di Beseri, di sini, pada jam 2 petang kira-kira tujuh jam selepas kejadian, lapor Berita Harian.

Banjir Di Melaka, Sebuah Lagi Pusat Pemindahan Dibuka

No comments
Banjir Di Melaka, Sebuah Lagi Pusat Pemindahan Dibuka
MELAKA - Sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di Alor Gajah menjadikan kesemuanya dua pusat dengan mangsa banjir terus meningkat kepada 99 orang setakat jam 6 petang ini berbanding 19 orang tengah hari tadi.

Anggota Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Kapten Mohammad Fairul Asikin Kadir berkata pusat pemindahan banjir baharu yang dibuka jam 4.30 petang itu ialah di Masjid Kampung Panchor, Durian Tunggal.

"Pusat pemindahan berkenaan menempatkan seramai 80 mangsa iaitu lapan pengajar dan 72 pelajar dari Madrasah Tahfiz al-Quran Ainur Syukriah, Kampung Panchor.

"Manakala pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Tanjung Rimau Luar, Gadek masih kekal dengan 19 mangsa daripada empat keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau kejadian banjir di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak semalam.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri Melaka setakat ini dilaporkan hujan renyai di beberapa kawasan dan keadaan itu menyebabkan beberapa bacaan paras air sungai di lokasi terbabit banjir meningkat.

Katanya antara agensi yang terlibat dalam membantu mangsa banjir ialah Polis Diraja Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan  Kementerian Kesihatan Malaysia. – Bernama

Dua Maut Kereta Langgar Pokok

No comments

17 August, 2017

Dua Maut Kereta Langgar Pokok

KEPALA BATAS - Dua rakan maut selepas kenderaan dinaiki mereka bersama empat lain terbabas dan melanggar pokok di Jalan Penaga, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pemandu kereta, Nuur Alihadi Syuhibbulaswa Mohd Sofian, 19, dan penumpang hadapan, Mimi Mariam Abdullah, 15, meninggal dunia akibat parah pada bahagian badan dan kepala.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata lapan anggota bersama satu jentera tiba di lokasi pada jam 3.44 pagi bagi membantu mengeluarkan mangsa.

"Sebaik tiba, kita mendapati enam mangsa berada dalam kereta jenis Proton Iswara yang remuk akibat terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

"Kita mengambil masa kira-kira hampir satu jam bagi mengeluarkan semua mangsa dan dua daripada mereka dilaporkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) bagi pemeriksaan lanjut dan dilaporkan stabil, memetik laporan Berita Harian.

Wanita Maut Kereta Terbakar

No comments

16 August, 2017

Wanita Maut Kereta Terbakar

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita maut selepas kereta dinaikinya terbabas lalu terbakar di Jalan Lama Bukit Tengah, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.05 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba Perda bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap di tempat duduk bahagian belakang kenderaan itu.

"Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Toyota yang terbabas dan terbalik sebelum terbakar hampir 80 peratus.

"Mangsa berusia 30-an yang memandu kenderaan itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan berpindah ke tempat duduk belakang sebelum terperangkap dalam kereta terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang melecur hampir 40 peratus anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang tiba di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat," katanya, lapor Berita Harian.

KKM Arah Kilang Tarik Balik Tepung Rangup

No comments
KKM Arah Kilang Tarik Balik Tepung Rangup

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah kilang di sini supaya menarik balik semua tepung rangup yang dibungkus dengan kertas pembungkus kapur siling daripada pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil siasatan mendapati kilang berkenaan telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup tersebut.

“Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu yang tular di media sosial berhubung dakwaan sebuah premis menjual pisang goreng di Puchong, Selangor, dicampur dengan kapur siling bagi merangupkan makanan tersebut.

"Berhubung perkara ini, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan siasatan terhadap premis menjual pisang goreng tersebut dan mendapati pihak kilang telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Dr Noor Hisham berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah mengambil tindakan ke atas premis tersebut kerana beroperasi tanpa lesen.

Sebelum ini, gambar sebuah premis menjual pisang goreng tular di media sosial dengan  dakwaan peniaga berkenaan menggunakan tepung bercampur kapur siling untuk merangupkan  makanan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat selain melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama

ROS Gesa Ambil Peluang Mohon Geran Persatuan Penduduk

No comments
ROS Gesa Ambil Peluang Mohon Geran Persatuan Penduduk

MELAKA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Melaka menggesa semua persatuan penduduk yang terdapat di negeri ini mengambil peluang memohon Geran Persatuan Penduduk yang diperuntukkan kerajaan demi faedah serta manfaat kepada kawasan kejiranan masing-masing.

Pengarahnya, Nurhafidah Ali berkata, sehingga hari ini hanya 48 daripada keseluruhan 255 persatuan penduduk di negeri ini menerima geran sehingga RM10,000 tersebut dan 65 permohonan sedang disemak kerana tidak lengkap.

Menurutnya, peluang mendapatkan geran tersebut patut direbut oleh semua persatuan penduduk di negeri ini kerana kerajaan telah meluluskan peruntukan sehingga RM40 juta melalui Bajet 2017 bagi melaksanakan perkara tersebut.

"Justeru, mana-mana persatuan penduduk yang masih belum memohon perlu mengambil peluang ini kerana ia memberi banyak faedah kepada persatuan termasuk untuk membeli peralatan keselamatan serta membiayai penganjuran program pencegahan jenayah, pencegahan dadah, aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan serta aktiviti kejiranan.

"Untuk menggalakkan lebih banyak persatuan memohon kemudahan itu, pihak ROS telah melanjutkan tarikh tutup permohonan geran berkenaan yang sepatutnya tamat pada 31 Julai lalu kepada 31 Oktober 2017," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Taklimat Keselamatan Kepada Persatuan Penduduk serta majlis Penyampaian Mock Cheque Geran Persatuan Penduduk 2017 ROS Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Majlis penutupan program tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk M.S. Mahadevan yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Amiruddin Yusof.

Jelas Nurhafidah, pemberian geran itu tidak diadakan setiap tahun kerana ia bergantung kepada pembentangan bajet negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pemberian geran pertama kali diperkenalkan pada 2013 dan dilanjutkan pada 2014. Namun ia tidak diteruskan pada tahun berikutnya sehinggalah diwujudkan semula tahun ini," ujarnya.

Sementara itu Mahadevan mengingatkan persatuan penduduk agar menggunakan peruntukan tersebut dengan berhemah mengikut kelulusan yang telah diberikan ROS berdasarkan perancangan program yang disenaraikan semasa memohon.

"Diingatkan juga bahawa sebarang usaha menyeleweng geran yang diberikan merupakan kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"ROS juga telah merancang langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama erat bersama SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pengurusan pemberian dan pemantauan perbelanjaan geran oleh persatuan penduduk demi mengelakkan perkara tidak diingini," tambahnya, lapor Sinar Harian.

Mangsa Banjir Di Melaka Meningkat

No comments
Mangsa Banjir Di Melaka Meningkat

MELAKA - Bilangan mangsa banjir di dua daerah di Alor Gajah dan Jasin di sini, mencatat peningkatan kepada 659 orang berbanding 522 sebelum ini.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata hujan lebat berterusan menyebabkan paras air meningkat, sekali gus memaksa penduduk dipindahkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, sebanyak 10 pusat pemindahan dibuka termasuk dua pusat pemindahan baharu iaitu masing-masing di Balai Raya Air Tawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam.

"Seramai 102 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan SK Tehel, Balai Raya Seri Mendapat (45), Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum Keluarga (243), SK Tedong (94) dan Balai Raya Air Tawar (24).

"Balai Raya Kampung Seri Jeram (9), Balai Raya Bukit Balai (9), Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Pulau (20), Balai Raya Kampung Panchor/ Masjid Panchor (76) dan SK Belimbing Dalam (37)," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Hujan lebat tidak menentu sejak awal Jumaat lalu menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air, dengan lebih 500 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan di tiga daerah di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, memetik laporan Berita Harian.

Beberapa Kawasan Di Merlimau Dilanda Banjir

No comments

15 August, 2017

MERLIMAU - Hujan lebat sejak pukul 1.30 pagi tadi menyebabkan beberapa lokasi baru di Melaka dinaiki air.

Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) baru iaitu Sekolah Kebangsaan Tedong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Hanum, Merlimau dibuka, namun bilangan mangsa yang dipindah belum dapat dipastikan.

"Selain dua pusat yang baru dibuka itu, PPS di SK Tehel, Balairaya Seri Mendapat (Jasin) serta Balairaya Kampung Seri Jeram (Alor Gajah) masih beroperasi menempatkan 60 mangsa daripada 17 keluarga.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, beberapa kawasan iaitu Serkam dan Merlimau (Jasin), Krubong, Bukit Rambai serta Tanjung Minyak (Melaka Tengah) turut dinaiki air.

Sementara itu Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata beliau  menerima laporan hujan turun berterusan sejak malam tadi di beberapa kawasan negeri ini dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati.

"Jika kawasan anda dinaiki air dan diarah berpindah, mohon patuhi arahan pihak berkuasa. Kawal anak-anak untuk elak perkara yang tidak diingini," katanya menerusi catatan akaun Facebooknya.

Wanita Maut Dihempap Lori Batu

No comments

27 July, 2017

Wanita Maut Dihempap Lori Batu

KANGAR - Seorang wanita maut dihempap lori membawa muatan batu dalam kemalangan di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis di sini, tengah hari tadi.

Selain kenderaan dinaiki mangsa, lori terbabit turut melanggar tiga kenderaan lain yang menyebabkan beberapa pengguna jalan raya lain mengalami kecederaan.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis, Pegawai Kanan II Marshahadi Mehad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari, sebelum bergegas ke lokasi.

"Terdapat empat mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian itu membabitkan seorang lelaki dan tiga perempuan, di mana salah seorang daripada mereka maut akibat tersepit di dalam kereta PERODUA Viva yang remuk.

"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, manakala mayat mangsa yang maut dihantar ke bilik mayat hospital sama," katanya.

Difahamkan, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, lapor Berita Harian.

TH, STC Jalin Kerjasama Mudahkan Jemaah Haji

No comments
TH, STC Jalin Kerjasama Mudahkan Jemaah Haji

MADINAH - ARAB SAUDI. Tabung Haji (TH) menjalinkan kerjasama dengan syarikat ​​​​​Saudi Telecommunications Company (STC) bagi memberi kemudahan perkhidmatan kad sim prabayar kepada jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1438 Hijrah.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Musim Haji 1438 Hijrah, Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata persefahaman itu bagi memudahkan jemaah haji Malaysia berhubung dengan keluarga masing-masing di tanah air, semasa berada di Tanah Suci.

Beliau berkata, proses pembelian dan pendaftaran kad sim prabayar adalah berbeza untuk setiap syarikat telekomunikasi di Arab Saudi.

"Syarikat-syarikat telekomunikasi ini menyediakan gerai atau kiosk, masing-masing berdekatan dengan semua bangunan penginapan tempat tinggal jemaah haji Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil persefahaman dengan STC itu, proses membeli kad sim prabayar lebih mudah untuk mendaftar nombor telefon bimbit jemaah haji Malaysia.

Katanya, jemaah haji hanya perlu membawa Lencana Pengenalan Haji untuk mendaftar bagi mendapatkan nombor talian STC di gerai atau kiosk berdekatan dengan semua bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.

"Nombor pasport jemaah yang tercatat di Lencana Pengenalan Haji akan digunakan untuk proses pendaftaran, dan petugas STC akan mengambil cap jari jemaah di kiosk,” katanya.

Nurrin Anuwar berkata, harga pembelian kad sim prabayar STC adalah SR30, namun nilai dalam kad sim berkenaan sebanyak SR25.

Beliau berkata, petugas STC akan membantu jemaah untuk memasukkan kad sim prabayar ke dalam telefon bimbit jemaah bagi mengaktifkan kad tersebut.

"Apabila pengaktifan dilakukan di gerai, jemaah boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi saudara-mara di tanah air,” katanya.

Jelas Nurrin Anuwar, setiap syarikat telekomunikasi mempunyai proses pembelian kad sim prabayar berbeza, dengan memerlukan maklumat tambahan butiran pasport dan visa haji.

"Sekiranya jemaah haji mahu menggunakan kad sim prabayar syarikat telekomunikasi selain STC, kami menasihatkan jemaah haji mengambil gambar atau salinan muka surat pasport dengan butiran peribadi dan visa haji untuk simpanan. Ini kerana, pasport jemaah haji akan diserahkan kepada pihak Muassasah semasa tiba di Arab Saudi,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata jemaah haji digalakkan menggunakan perkhidmatan STC berikutan proses pembelian kad sim prabayar adalah lebih mudah.

Katanya, syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) juga akan meneruskan perkhidmatan i-Talk yang membolehkan jemaah membuat panggilan ke tanah air pada kadar berpatutan SR1 seminit di setiap bangunan penginapan jemaah haji Malaysia.

Dalam pada itu, seorang jemaah haji Malaysia Rohani Saji, 60, dari Seremban berkata, beliau tidak menghadapi masalah untuk membeli kad sim tersebut, sekali gus memudahkannya menghubungi keluarga di tanah air.- Bernama

Rumah Mampu Milik Taman Krubong Permai Dilancar

No comments

20 July, 2017

Rumah Mampu Milik Taman Krubong Permai Dilancar
MELAKA - Kerajaan negeri melancarkan sebuah lagi projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Krubong Permai di sini dalam usaha memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah yang selesa serta berkualiti.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, projek terbaharu berkenaan menawarkan sebanyak 384 unit jenis rumah kluster dua tingkat di mana setiap tingkat dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM120,000.

Menurutnya, daripada jumlah unit tersebut, sebanyak 160 unit telah diluluskan oleh Jabatan Perumahan Negara di bawah Skim MyHome dan akan diberikan subsidi harga jualan sebanyak RM30,000 seunit.

"Ini bermakna harga jualan unit rumah (tingkat bawah) yang berharga RM120,000 seunit akan dikurangkan kepada RM90,000 manakala harga jualan unit rumah (tingkat atas) berharga RM100,000 seunit akan dijual pada harga RM70,000 seunit.

"Harga jualan rumah ini dikira amat berpatutan berbanding dengan harga jualan semasa di pasaran negeri ini selain dibangunkan di lokasi strategik serta sedang pesar membangun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Rumah Contoh Projek RMM Taman Krubong Permai Krubong, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Sazali Muhamad Din; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zainal Hussin; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Saleh Mohd. Dom dan Pengarah Syarikat, Paduwan Realty Sdn. Bhd., Datuk Poh Geok Seng.

Ismail berkata, keseluruhan projek RMM yang dibangunkan oleh pemaju, Paduwan Realty Sdn. Bhd. di kawasan seluas 3.92 hektar tersebut dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan boleh didiami pemiliknya pada penghujung 2019.

"Selain projek RMM dengan keluasan 3.5x5.1 meter persegi itu, beberapa kemudahan lain turut dibangunkan di sekitar kawasan tersebut termasuk sebuah masjid baharu, tadika, taman permainan, kedai dan pejabat, trek joging dan kolam rekreasi serta sekolah," katanya.

Sementara itu tambah beliau, melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri telah dan sedang membangun sebanyak 62,218 unit RMM di seluruh negeri dalam tempoh empat tahun sejak 2013.

"Daripada jumlah tersebut, 30,411 unit RMM dibangunkan oleh jabatan atau agensi kerajaan negeri seperti Lembaga Perumahan Melaka, Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Perbadanan Ketua Menteri (CMO) serta pemaju-pemaju perumahan swasta," ujarnya, lapor Utusan Malaysia.

Pesakit Kelima Jangkitan Rabies Dikesan Di Serian

No comments

19 July, 2017

Pesakit Kelima Jangkitan Rabies Dikesan Di Serian

KUCHING - Seorang lelaki disahkan dijangkiti rabies, atau penyakit anjing gila di daerah Serian, menjadikan beliau sebagai orang kelima yang dijangkiti penyakit itu sejak dikesan di daerah berkenaan bulan lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berumur 52 tahun dari Kampung Remun, Serian itu disahkan dijangkiti rabies menerusi ujian makmal pada 18 Julai.

Menurutnya lelaki itu mempunyai sejarah digigit anjing pada awal Mei lepas, dan pada 11 Julai lalu beliau yang mengalami lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang serta kebingungan, dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

"Oleh itu, sehingga 18 Julai ini, terdapat lima kes rabies di Serian, Sarawak, yang mana empat kes telah meninggal dunia, dan satu sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak," katanya dalam kenyataan pada laman web hari ini.

Dua hari lepas, seorang kanak-kanak Florancesia Edward, 5, menjadi pesakit keempat meninggal dunia di hospital itu akibat rabies. - Bernama

Suami Bakar Isteri Kerana Dendam Di Sungai Petani

No comments

07 June, 2017

Suami Bakar Isteri Kerana Dendam Di Sungai Petani

SUNGAI PETANI - Seorang isteri maut dibakar suaminya, dipercayai akibat dendam di sebuah rumah di Taman Arked dekat sini 26 Mei lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Saifi Abd Hamid berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia 44 tahun sedang membersihkan ayam di dalam sinki yang terletak di belakang rumahnya sebelum suaminya yang datang menaiki motosikal bertindak membaling botol berisi minyak petrol yang telah dibakar ke arah mangsa.

"Kejadian itu disedari anak lelaki mangsa yang berusia 19 tahun apabila dia terdengar suara ibunya menjerit dari arah belakang rumah terbabit.

"Dia bergegas ke halaman belakang rumah dan mendapati tubuh ibunya yang berbau minyak petrol, sedang terbakar dan terlihat kelibat ayahnya melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tambahnya, mangsa sempat berlari ke dalam bilik air untuk memadamkan api sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh anaknya, dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Bagaimanapun, kira-kira pukul 8.27 pagi semalam, seorang kakitangan unit kebakaran HSB menelefon polis dan memaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia semasa dirawat di sana.

"Susulan itu, suami mangsa berusia 44 tahun yang menjadi gelandangan sejak dua tahun lepas ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Saifi berkata, anak mangsa mendakwa ibu bapanya sedang dalam proses perceraian dan tinggal berasingan sejak 10 tahun lepas.

"Kejadian itu dipercayai berlaku selepas ibu mangsa enggan tinggal bersama ayahnya," katanya.

Sementara itu, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kesan lecur di seluruh bahagian badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Bernama

Mekanik Ditahan Miliki Dua Guni Mercun

No comments

06 June, 2017

Mekanik Ditahan Miliki Dua Guni Mercun

MARANG - Polis menahan seorang mekanik dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM4,000 di sebuah bengkel yang dipercayai turut dijadikan sebagai stor penyimpanan di Kampung Gemuruh, Bukit Payong, di sini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, suspek berusia 43 tahun yang dipercayai menggunakan bengkel tersebut untuk mengaburi mata pihak berkuasa, ditahan kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, suspek dipercayai baru selesai mengambil dua guni mercun itu dari Kuala Terengganu dan belum sempat membukanya.

“Semua mercun itu ditemui di ruang tamu rumah berkenaan (bengkel) yang kita percaya turut dijadikan sebagai lokasi untuk melakukan jualan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Tambah Mohd Suhaimi, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan intipan sekumpulan tujuh anggota diketuai seorang pegawai yang ditubuhkan bagi mengekang aktiviti penjualan bunga api serta mercun di daerah ini.

Bagaimanapun katanya, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing juga negatif.

"Stok mercun itu dipercayai untuk permintaan pasaran di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu.

“Rampasan ini merupakan yang pertama di Marang sepanjang Ramadan ini. Kita turut berharap ibu bapa dapat memantau anak mereka supaya tidak bermain mercun bagi mengelak sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran

No comments

31 May, 2017

Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran

LUNDU - Seorang warga emas ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran kedai runcit di Kampung Jangkar di sini, pada 7.50 malam Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa adalah Adward Anak Otoi, berusia 80 tahun dan merupakan orang kurang upaya.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu, sepasukan 14 anggota diketuai Pegawai Bomba Chang Jek Fon dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikerahkan ke tempat kebakaran dan tiba di sana pada 8.21 malam.

Katanya, rumah kedai runcit berkenaan hangus 100 peratus dan setelah selesai melakukan kerja-kerja pemadaman pasukan bomba menemukan mangsa yang sudah rentung di bahagian hadapan pintu kedai tersebut. -  Bernama

Waktu Berniaga Pada Bulan Ramadhan Dikaji Semula

No comments
Waktu Berniaga Pada Bulan Ramadhan Dikaji Semula

MELAKA - Kerajaan negeri akan membangkitkan isu operasi perniagaan pengusaha makanan Islam di bulan Ramadan ke mesyuarat EXCO esok, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kerajaan memandang serius sikap ambil mudah segelintir pengusaha yang dilaporkan menjual makanan pada waktu pagi.

"Kita ada terima laporan daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung perkara itu (menjual makanan waktu pagi) pada bulan Ramadan. 

"Justeru, kerajaan negeri akan memberi keutamaan untuk membangkitkan isu ini dalam mesyuarat EXCO berserta pengeluaran lesen pusat hiburan baharu di negeri Melaka," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 274 penerima bantuan Ramadan Bahagian Bukit Katil di Masjid Nur As-Saa'dah, Pengkalan Batu di sini. 

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Othman Muhamad dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam. 

Dalam pada itu, Idris yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, sudah menjadi tradisi bagi parti UMNO dan BN untuk terus membela nasib rakyat tidak kira masa. 

"Seperti yang kita tahu, walaupun kita (UMNO) tewas di Parlimen Bukit Katil, nasib rakyat (di sini) tetap dibela dan menjadi keutamaan." - BHarian

Dua Penjenayah Maut Berbalas Tembakan Dengan Polis

No comments
Dua Penjenayah Maut Berbalas Tembakan Dengan Polis

KOTA BHARU - Dua lelaki warga asing maut ditembak polis dalam kejadian tembak-menembak di Jalan Salor Baru, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.05 malam itu, empat penjenayah yang menaiki kereta jenis Proton Wira dikatakan terserempak dengan pasukan polis di Wakaf Che Yeh sebelum bertindak memecut kenderaan mereka.

Kenderaan itu kemudiannya memasuki sebatang lorong dan berlaku kejadian berbalas tembakan sebelum dua daripada mereka ditembak mati, manakala dua lagi berjaya diberkas.

Empat penjenayah itu dipercayai terbabit dengan kes samun bank dan memiliki lapan rekod lampau serta dikehendaki polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat. - Bernama

Rasuah Di Melaka - Pemandu Van Bebas Dengan Jaminan SPRM

No comments

30 May, 2017

Rasuah Di Melaka - Pemandu Van Bebas Dengan Jaminan SPRM

PUTRAJAYA - Seorang pemandu van yang direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di Melaka, dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 32 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 bersama seorang penjamin.

Pemandu van yang dipercayai menjadi orang tengah kegiatan itu merupakan individu ke-11 yang ditahan berkaitan kes berkenaan pada Khamis lepas.

Difahamkan, akaun bank suspek itu digunakan untuk memasukkan wang perlindungan yang dibayar pengusaha pusat judi haram dan rumah urut sebelum diagihkan kepada yang lain.

Setakat ini, siasatan kes menyaksikan 13 individu ditahan SPRM, antaranya sembilan pegawai dan anggota polis.

Bagaimanapun, 11 daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. - Bernama
Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo