MELAKA - Sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di Alor Gajah menjadikan kesemuanya dua pusat dengan mangsa banjir terus meningkat kepada 99 orang setakat jam 6 petang ini berbanding 19 orang tengah hari tadi.
Anggota Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Kapten Mohammad Fairul Asikin Kadir berkata pusat pemindahan banjir baharu yang dibuka jam 4.30 petang itu ialah di Masjid Kampung Panchor, Durian Tunggal.
"Pusat pemindahan berkenaan menempatkan seramai 80 mangsa iaitu lapan pengajar dan 72 pelajar dari Madrasah Tahfiz al-Quran Ainur Syukriah, Kampung Panchor.
"Manakala pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Tanjung Rimau Luar, Gadek masih kekal dengan 19 mangsa daripada empat keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau kejadian banjir di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak semalam.
Beliau berkata cuaca di seluruh negeri Melaka setakat ini dilaporkan hujan renyai di beberapa kawasan dan keadaan itu menyebabkan beberapa bacaan paras air sungai di lokasi terbabit banjir meningkat.
Katanya antara agensi yang terlibat dalam membantu mangsa banjir ialah Polis Diraja Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia. – Bernama
No comments
Post a Comment