BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita maut selepas kereta dinaikinya terbabas lalu terbakar di Jalan Lama Bukit Tengah, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.05 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba Perda bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap di tempat duduk bahagian belakang kenderaan itu.
"Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Toyota yang terbabas dan terbalik sebelum terbakar hampir 80 peratus.
"Mangsa berusia 30-an yang memandu kenderaan itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan berpindah ke tempat duduk belakang sebelum terperangkap dalam kereta terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang melecur hampir 40 peratus anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang tiba di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat," katanya, lapor Berita Harian.
No comments
Post a Comment