Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

PR1MA Jana Peluang Niaga RM15 Bilion Untuk Firma Bumiputera

Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sudah mengagihkan pelbagai kontrak bernilai lebih RM15 bilion kepada 574 firma Bumiputera, kata Datuk Seri Najib Razak.

17 August, 2017

/ by Admin
PR1MA Jana Peluang Niaga RM15 Bilion Untuk Kontraktor Bumiputera

PUTRAJAYA - Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sudah mengagihkan pelbagai kontrak bernilai lebih RM15 bilion kepada 574 firma Bumiputera, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kontrak berkenaan membabitkan pelbagai jenis kerja pembinaan, perundingan dan perkhidmatan sokongan.

"Ini jumlah yang besar, tanda komitmen bagi meneruskan projek (PR1MA). Nilai kontrak diagihkan juga dijangka terus meningkat pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Rakan Bumiputera PR1MA bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Najib juga memberi jaminan kerajaan akan terus memberi sokongan kepada projek PR1MA kerana perumahan adalah antara agenda utama kerajaan selain pengangkutan awam, kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.

"Menerusi PR1MA, rumah dijual secara adil dan imbangi nisbah penduduk dalam negara supaya agihannya adil dan saksama untuk semua kaum," katanya.

Katanya, PR1MA bukan sahaja bermatlamat menyediakan rumah berkualiti pada harga mampu milik untuk rakyat, tetapi juga mengukuhkan ekosistem ekonomi masyarakat Bumiputera.

"Dari soal kecairan, iaitu kemampuan kewangan (PR1MA), kita sudah meluluskan RM3.9 bilion, namun PR1MA memerlukan suntikan tambahan.

"Saya beri jaminan kerajaan akan tetap memberi sokongan kepada PR1MA supaya mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakan projeknya. Ini (suntikan tambahan) akan ditentukan sedikit masa lagi," katanya.

Katanya idea penubuhan PR1MA bukan sekadar untuk membina rumah sahaja, tetapi juga rumah yang dimiliki rakyat itu adalah berkualiti dan dibina dalam komuniti berkualiti dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

"Sebagai contoh, projek PR1MA di Kuala Ketil, Kedah, bernilai RM235,000 seunit sedangkan harga rumah yang kurang berkualiti di seberang jalan RM295,000. Beza RM60,000.

"Ini contoh terbaik kejayaan PR1MA, ramai yang mampu miliki rumah kerana projek PR1MA," katanya sambil menambah, 80 peratus rumah PR1MA yang ditawarkan berjaya dijual.

PR1MA ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan rumah berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias pada sidang media, berkata nilai hartanah projek PR1MA di tanah rizab Melayu kini meningkat sehingga 10 kali ganda.

Beliau berkata, lonjakan nilai hartanah itu membabitkan 61 projek PR1MA dengan pembinaan 53,062 unit rumah di atas tanah rizab Melayu di seluruh negara.

"Sebelum ini nilai tanah terbabit dianggarkan sekitar RM1.2 bilion, tapi kini dengan adanya projek PR1MA, nilai hartanah ini (nilai tanah, pembangunan) meningkat lebih 10 kali ganda kepada RM13 bilion," katanya.

Beliau berkata, banyak lagi tanah rizab Melayu di lokasi strategik di seluruh negara dan berharap PR1MA diberi peluang untuk membangunkan kawasan berkenaan.

"Ia bukan hanya untuk meningkatkan nilainya tetapi juga untuk mewujud dan merangsang aktiviti ekonomi, seterusnya menyumbang kepada memperkasakan agenda Bumiputera," katanya, lapor Berita Harian.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo