Responsive Ad Slot

Showing posts with label Mutakhir. Show all posts
Showing posts with label Mutakhir. Show all posts

Warga Felda Tidak Mudah Terpedaya Helah DAP

No comments

24 April, 2018

Warga Felda Tidak Mudah Terpedaya Helah DAP

KUALA LUMPUR - Tindakan gabungan pembangkang PKR menggunakan bekas pemimpin UMNO sebagai boneka untuk meraih undi daripada warga Felda tidak akan berjaya kerana rakyat sedar terhadap kecelaruan yang dihadapi keempat-empat parti dalam gabungan tersebut.

Malah, warga Felda tidak akan sama sekali menerima gabungan tersebut berikutan faktor DAP yang sebelum ini begitu lantang menyuarakan kecemburuan dan mempertikaikan manfaat yang dinikmati oleh setiap peneroka.

Mengulas mengenai perkara ini, pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, setiap peneroka menyedari helah itu dan tidak akan menggadai masa depan mereka dengan memberi undi kepada gabungan pembangkang PKR.

“Adalah mustahil untuk gabungan pembangkang PKR mampu menarik pengundi di kawasan Felda kerana setiap daripada peneroka mempunyai semangat wala’ terhadap kerajaan yang telah memberi banyak manfaat kepada mereka sejak dari dahulu lagi.

“Walaupun terdapat cubaan daripada gabungan pembangkang PKR mengetengahkan isu berkaitan dengan Felda sebelum ini, kerajaan BN telah mengambil langkah proaktif dengan menyelesaikan segala permasalahan tersebut dengan pengumuman manifesto dan ia disambut baik oleh golongan peneroka dalam negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, PKR, PPBM yang dibubarkan sementara dan PAN tidak mampu menyembunyikan hakikat DAP sebagai parti paling dominan dalam gabungan pembangkang PKR. - UTUSAN ONLINE

Dewan Undangan Negeri Melaka Bubar Esok

No comments

06 April, 2018

Dewan Undangan Negeri Melaka Bubar Esok

BANDARAYA MELAKA -  Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron semalam mengumumkan pembubaran Dun Melaka yang berkuat kuasa esok bagi membolehkan PRU14 diadakan.

Pembubaran itu selepas Idris mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di pejabatnya di Seri Negeri di sini pada jam 4 petang tadi bagi menyerahkan notis pengisytiharan pembubaran Dun.

Menurutnya, pembubaran tersebut mengikut Fasal (2) Perkara 19, Perlembagaan Negeri Melaka.

“Pejabat Ketua Menteri telah menerima surat rasmi daripada pejabat Perdana Menteri pada hari ini berhubung pembubaran Dun.

“Perisytiharan pembubaran akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negeri Melaka untuk tindakan selanjutnya esok pada jam 9 pagi di Seri Bendahara,” katanya selepas mengadakan sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Dun Melaka yang terbubar esok mempunyai 28 kawasan Dun dan enam kawasan Parlimen.

Pada pilihan raya umum lepas, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 21 kerusi Dun, manakala DAP memperoleh enam kerusi dan Pas satu kerusi .

Bagaimanapun pada Februari tahun lepas tiga Anggota Dun DAP iaitu Adun Duyong Goh Leong San, Adun Bachang Lim Jak Wong, dan Adun Kesidang Chin Choong Seong bertindak keluar parti bagi menjadi calon bebas.

BN memenangi empat kerusi Parlimen, PKR satu kerusi dan DAP satu kerusi namun Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him daripada DAP bertindak keluar parti dan menjadi Anggota Parlimen Bebas juga pada Februari tahun lepas, memetik laporan Sinar Harian.

Melaka Halal Valley Buka Peluang Pekerjaan

No comments

29 November, 2017

Melaka Halal Valley Buka Peluang Pekerjaan

MELAKA – Melaka Halal Valley yang akan dibangunkan di Mukim Serkam, Jasin bakal membuka pelbagai peluang pekerjaan berasaskan industri halal kepada masyarakat setempat apabila siap kelak.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Rahman berkata pembangunan pusat industri yang merangkumi tiga fasa dan dijangkakan siap sepenuhnya pada 2020 itu, menyediakan tujuh bidang perniagaan teras.

Katanya fasa pertama melibatkan pembangunan kompleks penyembelihan ternakan lembu dan kambing serta pembuatan gelatin halal,  diikuti industri makanan halal dan pusat komersial menerusi fasa kedua dan pembangunan industri kosmetik serta farmaseutikal pada fasa ketiga.

“Sudah pasti kita akan bagi keutamaan kepada anak tempatan kerana setakat ini hanya terdapat 94 usahawan yang telah dikenal pasti berkelayakan dan 17 usahawan telah mendapat sijil pemprosesan produk halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) yang bertanyakan mengenai peluang perkerjaaan bagi usahawan tempatan di Halal Valley, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hasan berkata projek yang mempunyai nilai pelaburan RM2.5 bilion itu memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk mengerakkan industri serta urus niaga halal.

Selain membangunkan Melaka sebagai pusat halal bertaraf antarabangsa, industri hub halal ditapak seluas kira-kira 213 hektar itu juga akan memberi manfaat dalam menambah pendapatan penduduk setempat.

Beliau berkata sehubungan itu semua usahawan di negeri ini perlu merebut peluang berkenaan kerana industri halal bukan hanya untuk masyarakat Islam, malah ia diterima oleh masyarakat antarabangsa dalam trend hidup zaman ini yang mementingkan kualiti.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Zaidi mengenai kaedah yang perlu dilaksanakan untuk membina kolej atau insitusi teknologi halal di Serkam, Hasan berkata perkara tersebut telah dimasukkan dalam perancangan awal projek berkenaan.

“Dalam perancangan yang sedia ada kita bukan hanya membina kolej atau institusi teknologi halal di Serkam, bahkan pembangunan turut merangkumi instrument bandar halal yang dilengkapi kompleks perniagaan halal dan perumahan halal,” katanya.

Hasan menambah konsep perumahan halal berkenaan bermaksud rumah yang memenuhi standard piawaian kebersihan dan suci setaraf dengan keperluan antarabangsa. - Bernama

Pengurus PPK Melaka Ditahan SPRM

No comments

22 November, 2017

Pengurus PPK Melaka Ditahan SPRM

MELAKA - Seorang pengurus projek di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Melaka direman enam hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan skim baja padi bernilai kira-kira RM2.54 juta.

Tempoh reman sehingga 26 November ke atas suspek lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Hurman Hussain di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 11 pagi diiringi pegawai daripada suruhanjaya itu.

Semalam media melaporkan suspek yang bertugas di PPK Merlimau, Jasin ditahan kira-kira 3 petang di Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, di Jalan Hang Tuah di sini.

Penahanan lelaki itu dibuat selepas disyaki menyeleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP)  bernilai kira-kira RM2.54 juta melibatkan 56,700 kampit baja, sejak awal tahun lepas. - Bernama

Tiada Kompromi Penjawat Awam Tidak Daftar Pengundi

No comments

21 November, 2017

Tiada Kompromi Penjawat Awam Tidak Daftar Pengundi

MELAKA -  Ketua Menteri Melaka hari ini memberi peringatan kepada penjawat awam negeri itu yang belum mendaftar sebagai pemilih agar berbuat demikian secepat mungkin.

Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mereka yang gagal mendaftar sebagai pengundi memandangkan ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sebagai penjawat awam.

“Saya boleh terima alasan yang diberikan oleh orang awam kenapa mereka masih belum mendaftar namun tidak ada alasan untuk penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan yang masih belum berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka anjuran Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun maklumat terkini menunjukkan hanya enam penjawat awam di negeri itu yang belum berdaftar.

Idris turut mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka yang berjaya menjadikan negeri itu antara yang paling rancak dalam pendaftaran pengundi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka Haelmy Mohd Hanifah berkata  Melaka antara negeri yang cemerlang dalam pendaftaran pengundi bagi penjawat awam.

Beliau juga berkata, jumlah mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi juga adalah yang terendah iaitu sekitar 69,000 orang.

Beliau turut menasihati orang ramai yang layak mendaftar agar segera berbuat demikian kerana mereka masih berpeluang mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sekiranya PRU itu dibuat tahun depan.

“Proses pendaftaran pengundi tidak mengambil masa yang lama iaitu selama lebih kurang dua minit dan mereka yang masih belum mendaftar boleh membuat pendaftaran di mana-mana pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau pejabat pos di seluruh negara,” katanya.

Berdasarkan  laman web rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka, seramai 486,593  pengundi telah diwartakan pada suku kedua 2017  iaitu setakat  25 Ogos 2017.- Bernama

Masih Banyak Pusat Tahfiz Tidak Berdaftar Dengan Maik

No comments

25 September, 2017

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan mengakui masih banyak pusat pengajian tahfiz di negeri ini tidak mendaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan pusat tahfiz yang tidak mendaftar dengan Maik itu menyebabkan kewujudan mereka tidak diketahui.

“Kita mahu institusi agama seperti pusat pengajian tahfiz segera berdaftar dengan Maik bagi memudahkan pemantauan dilakukan selain melancarkan proses untuk menyalurkan bantuan.

“Sekiranya mereka tidak berdaftar, kita tidak tahu kewujudan mereka. Kebanyakkan pusat pengajian tahfiz dan pondok di Kelantan diusahakan individu menyebabkan banyak kekurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar loghat Kelantan di Hotel Grand Riverview (GRV) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Akta Pendidikan Perlu Dipinda Untuk Sekolah Tahfiz

No comments

19 September, 2017

Akta Pendidikan Perlu Dipinda Untuk Sekolah Tahfiz
PUTRAJAYA - Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) disyorkan dipinda bagi  membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.

Cadangan itu adalah langkah proaktif yang dikemukakan dalam mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Syor yang dikemukakan pada Mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini melihat keperluan bagi menambah baik Akta 550 untuk penguatkuasaan ke atas sekolah-sekolah tahfiz yang lebih baik.

"Demi kepentingan bersama, saya berharap mereka (kerajaan negeri) bersetuju," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Perdana Putra, hari ini.

Kita prihatin masalah ini biarpun di bawah bidang kuasa negeri tetapi kerajaan pusat ambil kepedulian kerana kita tidak boleh melihat adanya ketidakpedulian oleh maahad tahfiz," katanya.

Mesyuarat yang mengemukakan beberapa syor untuk isu-isu sekolah tahfiz itu turut dihadiri tujuh menteri kabinet antaranya Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ahmad Zahid  berkata Jamil Khir diberi tanggungjawab untuk berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan cadangan itu.

"Kita berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum kita meminda akta itu," katanya. – Bernama

Malaysia Bawa Isu Rohingya Di UNGA Ke-72

No comments
Malaysia Bawa Isu Rohingya Di UNGA Ke-72
PUTRAJAYA - Isu penindasan terhadap etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar merupakan antara isu yang akan ditekankan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-72 yang bermula hari ini hingga 26 September ini di New York, Amerika Syarikat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, antara isu lain yang turut dibawa oleh Anifah dalam perhimpunan tersebut ialah mengenai Palestin, perkembangan di Semenanjung Korea, penghapusan senjata nuklear, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global serta inisiatif pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Anifah mengetuai delegasi Malaysia dalam perhimpunan tersebut dan beliau diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari kementerian.

“Beliau dijadual menyampaikan isu-isu tersebut dalam Kenyataan Negara semasa sesi debat umum pada 22 September nanti,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, UNGA Ke-72 yang bertemakan 'Tumpuan Kepada Rakyat: Ke Arah Keamanan dan Kehidupan Yang Baik Untuk Semua' bakal menfokuskan kepada usaha PBB dalam meningkatkan kualiti hidup manusia sejagat dalam keadaan aman dan menjalani kehidupan yang sejahtera melalui pembangunan mapan.

“Tema ini turut menggambarkan penekanan yang lebih tinggi oleh PBB kepada pelaksanaan dan pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Mampan di bawah Agenda Pembangunan Mampan 2030,” menurut kenyataan itu.

Anifah juga dijangka menandatangani Triti Pengharaman Senjata Nuklear dan memorandum persefahaman (MoU) Pasukan Penyiasat Bersama berhubung MH17 pada 20 September ini bagi pihak kerajaan Malaysia.

“Semasa di New York, Anifah turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya di UNGA Ke-72 untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.

“Beliau juga akan mengha­diri mesyuarat ber­kait­an ASEAN, Pertubuhan Kerja­sama Islam (OIC); Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Komanwel dan Mesyuarat Koordinasi Gerakan Negara-negara Berkecuali,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, Malaysia akan terus bekerjasama dengan ahli-ahli PBB yang lain untuk menyokong usaha-usa­ha ke arah mencapai matlamat di bawah tema tahun ini dan terus menyokong peranan utama pertubuhan itu sebagai platform ke arah mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, lapor Utusan Online.


Lelaki Didakwa Cuma Bunuh Anggota Polis

No comments
Lelaki Didakwa Cuma Bunuh Anggota Polis
IPOH - Seorang lelaki didakwa atas enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini atas pelbagai kesalahan termasuk cubaan membunuh serta mencederakan polis dan orang awam di Taman Tasek Jaya, dekat sini, Jumaat lalu.

Penganggur, Leong Chee Kae, 45, didakwa atas lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh, Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah, Seksyen 324 KK kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 KK kerana menghalang tugas penjawat awam.

Dia juga berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan dan aib terhadap seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 malam dengan cuba untuk membunuh Inspektor Ishak Jumain, Lans Koperal V Prabhakaran, Lans Koperal A Puvandra, Inspektor Nizam Ab Latiff dan Korperal Yong Kok Vui dengan menyimbah cecair dipercayai minyak tanah dan cuba melemparkan lilin menyala kepada mereka.

Bagi tuduhan kedua, Chee Kae pada masa dan lokasi sama didakwa menakutkan secara jenayah Inspektor Ishak Jumain dengan berkata akan membakar beliau jika cuba menangkapnya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pada masa dan lokasi sama menyebabkan kecederaan terhadap Lans Korperal A Puvandra menggunakan pisau pemotong daging.

Bagi pertuduhan keempat pada masa dan lokasi sama, dia didakwa menghalang Inspektor Ishak Jumain daripada menjalankan tugas dengan lari masuk ke dalam rumah bagi mengelak ditangkap, selain turut didakwa menggunakan perkataan aib dan kurang sopan terhadap pegawai polis terbabit bagi pertuduhan kelima.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nazatul Natrah Mohd Yusuf, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chiang Mei Wan.

Terdahulu, peguam bela memohon tertuduh dihantar menjalankan pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta kerana keluarga tertuduh mendakwa dia mempunyai rekod berdepan masalah mental.

Hakim membenarkan tertuduh menjalankan pemeriksaan dalam tempoh sebulan dan menetapkan 16 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap orang awam pada tarikh dan lokasi sama, lapor Berita Harian.

PR1MA Jana Peluang Niaga RM15 Bilion Untuk Firma Bumiputera

No comments

17 August, 2017

PR1MA Jana Peluang Niaga RM15 Bilion Untuk Kontraktor Bumiputera

PUTRAJAYA - Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sudah mengagihkan pelbagai kontrak bernilai lebih RM15 bilion kepada 574 firma Bumiputera, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kontrak berkenaan membabitkan pelbagai jenis kerja pembinaan, perundingan dan perkhidmatan sokongan.

"Ini jumlah yang besar, tanda komitmen bagi meneruskan projek (PR1MA). Nilai kontrak diagihkan juga dijangka terus meningkat pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Rakan Bumiputera PR1MA bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Najib juga memberi jaminan kerajaan akan terus memberi sokongan kepada projek PR1MA kerana perumahan adalah antara agenda utama kerajaan selain pengangkutan awam, kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.

"Menerusi PR1MA, rumah dijual secara adil dan imbangi nisbah penduduk dalam negara supaya agihannya adil dan saksama untuk semua kaum," katanya.

Katanya, PR1MA bukan sahaja bermatlamat menyediakan rumah berkualiti pada harga mampu milik untuk rakyat, tetapi juga mengukuhkan ekosistem ekonomi masyarakat Bumiputera.

"Dari soal kecairan, iaitu kemampuan kewangan (PR1MA), kita sudah meluluskan RM3.9 bilion, namun PR1MA memerlukan suntikan tambahan.

"Saya beri jaminan kerajaan akan tetap memberi sokongan kepada PR1MA supaya mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakan projeknya. Ini (suntikan tambahan) akan ditentukan sedikit masa lagi," katanya.

Katanya idea penubuhan PR1MA bukan sekadar untuk membina rumah sahaja, tetapi juga rumah yang dimiliki rakyat itu adalah berkualiti dan dibina dalam komuniti berkualiti dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

"Sebagai contoh, projek PR1MA di Kuala Ketil, Kedah, bernilai RM235,000 seunit sedangkan harga rumah yang kurang berkualiti di seberang jalan RM295,000. Beza RM60,000.

"Ini contoh terbaik kejayaan PR1MA, ramai yang mampu miliki rumah kerana projek PR1MA," katanya sambil menambah, 80 peratus rumah PR1MA yang ditawarkan berjaya dijual.

PR1MA ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan rumah berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias pada sidang media, berkata nilai hartanah projek PR1MA di tanah rizab Melayu kini meningkat sehingga 10 kali ganda.

Beliau berkata, lonjakan nilai hartanah itu membabitkan 61 projek PR1MA dengan pembinaan 53,062 unit rumah di atas tanah rizab Melayu di seluruh negara.

"Sebelum ini nilai tanah terbabit dianggarkan sekitar RM1.2 bilion, tapi kini dengan adanya projek PR1MA, nilai hartanah ini (nilai tanah, pembangunan) meningkat lebih 10 kali ganda kepada RM13 bilion," katanya.

Beliau berkata, banyak lagi tanah rizab Melayu di lokasi strategik di seluruh negara dan berharap PR1MA diberi peluang untuk membangunkan kawasan berkenaan.

"Ia bukan hanya untuk meningkatkan nilainya tetapi juga untuk mewujud dan merangsang aktiviti ekonomi, seterusnya menyumbang kepada memperkasakan agenda Bumiputera," katanya, lapor Berita Harian.

Pembayaran BR1M Peringkat Ketiga Bermula Hari Ini

No comments

16 August, 2017

Pembayaran BR1M Peringkat Ketiga Bermula Hari Ini

PUTRAJAYA - Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia peringkat ketiga, yang juga pembayaran terakhir BR1M 2017, akan dibuat mulai hari ini (16 Ogos) bersempena sambutan Aidiladha yang dijangka pada 1 Sept ini.

Bagi permohonan yang lulus pada peringkat rayuan, pembayaran akan dibuat pada 29 Ogos ini.

"Kerajaan berharap pemberian BR1M dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Aidiladha kelak," kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan mereka semalam. .

Menurut kementerian pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

Bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran, katanya.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta e-mel kepada: br1m@treasury.gov.my.

Syabu Bernilai RM10.55 Juta Dirampas

No comments
Syabu Bernilai RM10.55 Juta Dirampas

SERI KEMBANGAN - Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah disyaki syabu seberat 150 kilogram dianggarkan bernilai RM10.55 juta di premis di Seri Kembangan, petang semalam.

Serbuan kira-kira 6 petang itu juga menahan tujuh lelaki berusia 22 hingga 43 tahun.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, hasil pemeriksaan dalam premis itu, pihaknya menemui enam guni serbuk putih disyaki dadah jenis syabu.

"Barang dagangan bersama barang disyaki dadah dibawa masuk dari Chennai, India melalui Pelabuhan Klang dan diikrarkan sebagai Magnesium Sulfat.

"Mereka didapati mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan enam guni syabu berkenaan bersama 794 magnesium sulfat untuk masuk ke sempadan negara," katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.

Beliau berkata, ketika serbuan terdapat enam pekerja terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal sedang memunggah guni dari kontena masuk ke premis.

"Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berhampiran lokasi. Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Siasatan masih diteruskan untuk menjejaki dalang dan ahli sindiket itu. Kami yakin akan menahan saki baki kumpulan ini dalam masa terdekat," katanya, lapor myMetro.

Isa Samad Tiba Di Mahkamah Untuk Prosiding Reman

No comments
Isa Samad Tiba Di Mahkamah Untuk Prosiding Reman

PUTRAJAYA - Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini untuk prosiding reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa kes.

Mohd Isa yang berbaju lokap SPRM dan bergari serta diiringi anggota SPRM, tiba pada 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan agensi penguatkuasaan itu.

Beliau kelihatan tenang dan mengukir senyuman kepada anggota keluarga, penyokong serta media yang menunggu sejak 8 pagi.

Isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang turut menunggu di perkarangan mahkamah, kelihatan menangis ketika suaminya itu tiba di mahkamah.

Mohd Isa ditahan kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini untuk memberi keterangan.-Bernama

1MDB Akan 'Diselamatkan' Kerajaan Adalah Tidak Relevan - Khalid Ibrahim

No comments

15 August, 2017

1MDB Akan 'Diselamatkan' Kerajaan Adalah Tidak Relevan - Khalid Ibrahim
SELANGOR - Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim percaya bahawa pelan "rasionalisasi" 1MDB sedang mencapai kemajuan dan cakap-cakap bahawa firma itu akan diselamatkan (Bail-Out) adalah "tidak relevan".

Khalid, yang pernah menerajui Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd, berkata kesimpulan ini dibuat susulan taklimat oleh CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy pada Isnin, lalu.

"Perlu dinyatakan bahawa walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (#PAC) berjaya menilai operasi 1MDB tetapi tidak jelas jika firma itu boleh dipertahankan.

"Pada taklimat itu, Arul Kanda menjelaskan kepada kami bahawa kedudukan kewangan semasa firma itu dengan menunjukkan kepada kami kunci kira-kira 1MDB berikutan pelan penstrukturan semula yang dijalankan oleh pihak pengurusan.

"Kesimpulannya, nilai semasa aset bersih yang dimiliki oleh 1MDB mampu membayar liabiliti semasa dan masa hadapan serta akan mempunyai lebihan," kata Khalid, yang juga adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berkata 1MDB kini boleh membuat bayaran ke atas hutangnya apabila pendapatan dan keuntungan dari asetnya, yang kini di tangan Kementerian Kewangan Inc (MOF Inc), membawa hasil.

"Memandangkan senario penstrukturan semula ini menunjukkan kemajuan baik, isu menyelamatkan (Bail-Out) 1MDB tidak relevan," tulis Khalid di laman Facebooknya.

Awang Adek dilantik Pengerusi MARA

No comments
Awang Adek dilantik Pengerusi MARA
KUALA LUMPUR - Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelantikan Awang Adek itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya percaya dengan pengalaman Awang Adek yang akan dapat memimpin MARA dalam melaksanakan dasar dan perancangan kementerian demi mencapai objektif Transformasi Negara," katanya mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan di sini.

Awang Adek, 62, adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan (2006-2013) dan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2004-2006) selepas memenangi kerusi Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum 2004.

Pernah dilantik sebagai senator Dewan Negara pada 2009 hingga 2013, Awang Adek pernah bertugas sebagai Pensyarah Universiti Sains Malaysia pada 1983 hingga 1985 kemudian menyertai Bank Negara dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Gabenor.

Awang Adek kini adalah Ketua UMNO Bahagian Bachok.

Pelantikan Awang Adek itu menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tamat kontraknya pertengahan bulan ini, lapor Berita Harian.

Pindaan POCA Lebih Efektif Banteras Jenayah

No comments
Pindaan POCA Lebih Efektif Banteras Jenayah
PUTRAJAYA - Akta Pencegahan Jenayah (POCA) telah ditambah baik melalui beberapa pindaan supaya lebih efektif membanteras jenayah terutama jenayah terancang dan jenayah sindiket yang menggunakan kekerasan dan keganasan serta bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata POCA dikuatkuasakan sejak 1959 untuk pencegahan jenayah di Semenanjung Malaysia terutama bagi mengawal penjenayah, anggota kongsi gelap dan individu yang mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata POCA (Pindaan dan Pemerluasaan) 2014 yang diberi "nafas baharu" kepada POCA 1959 adalah lebih efektif dari segi keberkesanan dalam mencegah jenayah kekerasan dan dapat mengimbangi hak asasi manusia seiring dengan keselamatan dan keamanan negara.

"Kita mempunyai obligasi untuk memastikan pindaan-pindaan terhadap POCA 1959 lebih mantap, lebih baik," katanya ketika mengimbau mengenai perjalanan penggubalan POCA ketika melancarkan buku "POCA:Nafas Baharu Banteras Jenayah" karya beliau di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia mencapai tahap keselamatan yang terkawal sejak penguatkuasaan POCA (Pindaan dan Pemerluasaan) dari 2014 hingga hari ini, dengan kadar jenayah dilaporkan turun sebanyak 47 peratus.-Bernama

Polis Melaka Siasat Laporan Budak 7 Tahun Didakwa Rogol Murid Tadika

No comments

27 July, 2017

Polis Melaka Siasat Laporan Budak 7 Tahun Didakwa Rogol Murid Tadika

MELAKA - Polis sedang menyiasat laporan berhubung dakwaan seorang murid Tahun Satu telah merogol seorang murid  tadika.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata laporan polis telah dibuat oleh ibu kepada kanak-kanak enam tahun itu pada 20 Julai lalu, selepas kanak-kanak terbabit mengadu tentang kesakitan yang dialaminya.

Ibu tunggal berusia 30 tahun itu mendapat tahu mengenai perkara itu selepas mengambil anaknya dari rumah penjaganya pada 19 Julai.

Dia kemudiannya mendapati terdapat kesan kemerahan pada kemaluan anaknya itu yang memberitahunya bahawa anak penjaga yang dipanggilnya 'abang' telah menyebabkan kesakitan itu.

Perbuatan itu dakwa anaknya itu sering dilakukan sewaktu tiada orang di rumah.

Laporan perubatan kanak-kanak itu kemudiannya menunjukkan terdapat koyakan baharu di bahagian kemaluannya.

Kes kini disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, lapor The Star Online.

Kerajaan Kaji Benarkan Hanya Kanak-Kanak Divaksin Ke Tadika

No comments
Kerajaan Kaji Benarkan Hanya Kanak-Kanak Divaksin Ke Tadika

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji untuk membenarkan hanya kanak-kanak yang divaksin penuh sahaja mendaftar untuk belajar ke tadika, seperti mana yang diamalkan di Australia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata keputusan mengenainya akan dibuat selepas menerima maklum balas dari segi penerimaan rakyat.

Katanya, pendirian kementerian ketika ini adalah lebih wajar perkara itu dilakukan menerusi pendekatan pendidikan, bimbingan dan kaunseling.

"Kaedah yang kita sedang kaji ini diamalkan di Australia di mana apabila seseorang murid mahu didaftarkan di tadika, ia mewajibkan kanak-kanak supaya divaksin sepenuhnya terlebih dulu.

"Ia bukan mahu mendiskriminasi kanak-kanak yang tidak divaksin, tetapi sebagai langkah perlindungan kepada kanak-kanak lain. Ini adalah antara kaedah yang kita sedang kaji yang sudah dilaksanakan di satu, dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mahu mengenakan tindakan lebih tegas kepada pihak yang enggan memberi imunisasi kepada anak mereka, di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, bilangan pihak yang menolak imunisasi kepada anak mereka pada tahun 2016 ialah seramai 1,603 kes, meningkat berbanding 1,541 pada 2015, memetik laporan Berita Harian.

Tapak Pelupusan Sampah Di Krubong Mungkin Dibuka Semula

No comments
Tapak Pelupusan Sampah Di Krubong Mungkin Dibuka Semula

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka terpaksa mengambil inisiatif membuka semula tapak pelupusan sisa pepejal Krubong, di sini sekiranya kapasiti tapak pelupusan sanitari Sungai Udang yang dijangkakan hanya bertahan dalam tempoh kurang daripada sebulan, telah penuh.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, langkah itu diambil berikutan kapasiti tapak yang merupakan satu-satunya pusat pelupusan sampah di negeri ini menerima antara 1,000 dan 1,200 tan sampah sehari termasuk pada hujung minggu menyebabkan hayat tapak itu menjadi semakin pendek.

"Bagaimanapun, saya khuatir ini tidak baik (memberi impak negatif) apabila kawasan yang diakses sebagai kawasan 'tutup selamat' itu dibuka semula bagi menangani masalah berkenaan.

"Justeru, kerajaan negeri memohon Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempercepatkan pembinaan pusat pelupusan sampah yang menggunakan teknologi insinerator bagi menampung sampah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, pengurusan sampah secara berkesan di peringkat isi rumah juga perlu diberi perhatian dalam usaha memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah di negeri ini.

"Saya percaya melalui pendidikan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menguruskan bahan buangan yang mana jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi impak besar kepada kehidupan masa depan terutamanya terhadap kelestarian alam sekitar.

“Anggota masyarakat juga perlu mengubah mentaliti dengan meningkatkan lagi tahap kesedaran masing-masing berhubung tanggungjawab menjaga persekitaran melalui pengurusan sampah secara berkesan dengan menggunakan konsep 3R," katanya.

Tapak pelupusan sanitari Sungai Udang mula beroperasi sejak April 2015 setelah tapak pelupusan sampah seluas 25.5 hektar di Krubong, di sini ditutup pada akhir 2014. - Bernama

Suspek Kes Liwat Tiga Pelajar Ditemui Mati

No comments
Suspek Kes Liwat Tiga Pelajar Ditemui Mati

IPOH - Tiga pelajar berusia 13 dan 14 tahun membuat laporan polis Isnin lalu, mendakwa dicabul dan diliwat jurulatih fisioterapi pasukan bola sepak sekolah mereka di sini.

Bagaimanapun, suspek yang berusia 54 tahun ditemui mati dipercayai menggantung diri di sebuah bilik hotel di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee, berkata siasatan awal mendapati, dakwaan cabul dan liwat berlaku antara Mei 2016 hingga Mac tahun ini di rumah suspek dan bilik hotel.

Katanya, suspek masih bujang, sudah hampir 10 tahun bertugas sebagai jurulatih kecergasan di sekolah itu.

"Suspek akan memberikan sebiji pil kepada mangsa dengan alasan untuk membesarkan badan.

"Selepas menelan pil, mangsa menjadi separuh sedar dan suspek akan meliwat dan menghisap kemaluan mangsa.

"Sebaik selesai, mangsa dibawa untuk membeli barangan seperti telefon bimbit, kasut, seluar dan baju," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tian Kee berkata, kira-kira jam 5.40 petang Selasa lalu, polis menerima panggilan dari sebuah hotel di sini, tempat suspek menginap.

Suspek ditemui mati dipercayai menggantung diri dalam sebuah bilik di hotel itu, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, susulan laporan pelajar berkenaan, polis masih mengesan beberapa lagi rakan mereka yang turut dipercayai menjadi mangsa dalam kes berkenaan, namun bilangan sebenar mangsa masih dalam siasatan.

Katanya, kes membabitkan pelajar berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, manakala kematian suspek diklasifikasikan kes mati mengejut, lapor Berita Harian.
Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo