MELAKA – Melaka Halal Valley yang akan dibangunkan di Mukim Serkam, Jasin bakal membuka pelbagai peluang pekerjaan berasaskan industri halal kepada masyarakat setempat apabila siap kelak.
Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Rahman berkata pembangunan pusat industri yang merangkumi tiga fasa dan dijangkakan siap sepenuhnya pada 2020 itu, menyediakan tujuh bidang perniagaan teras.
Katanya fasa pertama melibatkan pembangunan kompleks penyembelihan ternakan lembu dan kambing serta pembuatan gelatin halal, diikuti industri makanan halal dan pusat komersial menerusi fasa kedua dan pembangunan industri kosmetik serta farmaseutikal pada fasa ketiga.
“Sudah pasti kita akan bagi keutamaan kepada anak tempatan kerana setakat ini hanya terdapat 94 usahawan yang telah dikenal pasti berkelayakan dan 17 usahawan telah mendapat sijil pemprosesan produk halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) yang bertanyakan mengenai peluang perkerjaaan bagi usahawan tempatan di Halal Valley, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.
Hasan berkata projek yang mempunyai nilai pelaburan RM2.5 bilion itu memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk mengerakkan industri serta urus niaga halal.
Selain membangunkan Melaka sebagai pusat halal bertaraf antarabangsa, industri hub halal ditapak seluas kira-kira 213 hektar itu juga akan memberi manfaat dalam menambah pendapatan penduduk setempat.
Beliau berkata sehubungan itu semua usahawan di negeri ini perlu merebut peluang berkenaan kerana industri halal bukan hanya untuk masyarakat Islam, malah ia diterima oleh masyarakat antarabangsa dalam trend hidup zaman ini yang mementingkan kualiti.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Zaidi mengenai kaedah yang perlu dilaksanakan untuk membina kolej atau insitusi teknologi halal di Serkam, Hasan berkata perkara tersebut telah dimasukkan dalam perancangan awal projek berkenaan.
“Dalam perancangan yang sedia ada kita bukan hanya membina kolej atau institusi teknologi halal di Serkam, bahkan pembangunan turut merangkumi instrument bandar halal yang dilengkapi kompleks perniagaan halal dan perumahan halal,” katanya.
Hasan menambah konsep perumahan halal berkenaan bermaksud rumah yang memenuhi standard piawaian kebersihan dan suci setaraf dengan keperluan antarabangsa. - Bernama
No comments
Post a Comment