KEPALA BATAS - Dua rakan maut selepas kenderaan dinaiki mereka bersama empat lain terbabas dan melanggar pokok di Jalan Penaga, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pemandu kereta, Nuur Alihadi Syuhibbulaswa Mohd Sofian, 19, dan penumpang hadapan, Mimi Mariam Abdullah, 15, meninggal dunia akibat parah pada bahagian badan dan kepala.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata lapan anggota bersama satu jentera tiba di lokasi pada jam 3.44 pagi bagi membantu mengeluarkan mangsa.
"Sebaik tiba, kita mendapati enam mangsa berada dalam kereta jenis Proton Iswara yang remuk akibat terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.
"Kita mengambil masa kira-kira hampir satu jam bagi mengeluarkan semua mangsa dan dua daripada mereka dilaporkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) bagi pemeriksaan lanjut dan dilaporkan stabil, memetik laporan Berita Harian.
No comments
Post a Comment