
MELAKA - Kerajaan negeri akan membangkitkan isu operasi perniagaan pengusaha makanan Islam di bulan Ramadan ke mesyuarat EXCO esok, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kerajaan memandang serius sikap ambil mudah segelintir pengusaha yang dilaporkan menjual makanan pada waktu pagi.
"Kita ada terima laporan daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung perkara itu (menjual makanan waktu pagi) pada bulan Ramadan.
"Justeru, kerajaan negeri akan memberi keutamaan untuk membangkitkan isu ini dalam mesyuarat EXCO berserta pengeluaran lesen pusat hiburan baharu di negeri Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 274 penerima bantuan Ramadan Bahagian Bukit Katil di Masjid Nur As-Saa'dah, Pengkalan Batu di sini.
Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Othman Muhamad dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam.
Dalam pada itu, Idris yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, sudah menjadi tradisi bagi parti UMNO dan BN untuk terus membela nasib rakyat tidak kira masa.
"Seperti yang kita tahu, walaupun kita (UMNO) tewas di Parlimen Bukit Katil, nasib rakyat (di sini) tetap dibela dan menjadi keutamaan." - BHarian
No comments
Post a Comment