
MARANG - Polis menahan seorang mekanik dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM4,000 di sebuah bengkel yang dipercayai turut dijadikan sebagai stor penyimpanan di Kampung Gemuruh, Bukit Payong, di sini.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, suspek berusia 43 tahun yang dipercayai menggunakan bengkel tersebut untuk mengaburi mata pihak berkuasa, ditahan kira-kira jam 3.30 pagi.
Menurutnya, suspek dipercayai baru selesai mengambil dua guni mercun itu dari Kuala Terengganu dan belum sempat membukanya.
“Semua mercun itu ditemui di ruang tamu rumah berkenaan (bengkel) yang kita percaya turut dijadikan sebagai lokasi untuk melakukan jualan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
Tambah Mohd Suhaimi, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan intipan sekumpulan tujuh anggota diketuai seorang pegawai yang ditubuhkan bagi mengekang aktiviti penjualan bunga api serta mercun di daerah ini.
Bagaimanapun katanya, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing juga negatif.
"Stok mercun itu dipercayai untuk permintaan pasaran di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu.
“Rampasan ini merupakan yang pertama di Marang sepanjang Ramadan ini. Kita turut berharap ibu bapa dapat memantau anak mereka supaya tidak bermain mercun bagi mengelak sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment