Responsive Ad Slot

Mayat Dalam Tong Bersimen Dipercayai Kevin Morais – Polis

Polis percaya mayat yang ditemui di dalam tong dram di dalam sungai di tepi Jalan Subang 3, USJ Subang Jaya, pagi ini adalah milik Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais yang dilaporkan hilang pada 4 September lalu.

16 September, 2015

/ by Admin
SUBANG JAYA - Polis percaya mayat yang ditemui di dalam tong dram di dalam sungai di tepi Jalan Subang 3, USJ Subang Jaya, pagi ini adalah milik Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais yang dilaporkan hilang pada 4 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, penemuan mayat tersebut adalah susulan penangkapan tujuh suspek sejak kehilangan Morais dilaporkan.


Menurutnya, tujuh suspek berusia 22 hingga 52 tahun ditahan sekitar Rawang dan Lembah Klang termasuk seorang wanita dan kanak-kanak.

Beliau bagaimanapun menafikan penglibatan dua suspek iaitu wanita dan kanak-kanak dalam kes tersebut. Mereka sebaliknya hanya akan dirakamkan kenyataan sebelum dibebaskan.

Katanya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Mitshibushi Triton yang dipercayai melanggar mangsa, kereta Honda Accord, kereta Proton Pesona dan wang tunai RM32,100 dalam serbuan serentak di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

“Polis turut merampas sekeping resit pembelian perkasasan simen di sebuah kedai sekitar kawasan ini (Subang Jaya) yang dipercayai digunakan suspek dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohmad berkata, mayat yang ditemui dalam tong konkrit tersebut dibawa naik kira-kira jam 8 pagi tadi dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang.

Difahamkan, mayat yang ditemui, diikat didalam guni sebelum disimen di dalam tong dram dan dibuang di dalam kolam di belakang Sekolah Cina Chee Wen di Taman Subang Mewah, dekat sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kematian Morais tiada kaitan dengan isu kontroversi yang dimainkan dalam media massa sebaliknya siasatan mendapati ianya membabitkan pendakwaan kes rasuah yang dijalankan terhadap pegawai perubatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang kini sedang dalam perbicaraan.

Difahamkan, Morais merupakan Pendakwa Raya bagi kes membabitkan pegawai perubatan tersebut.
Katanya, Ketua Makmal Patalogi yang berusia 52 tahun itu ditahan untuk siasatan dan dipercayai dalang yang mengupah empat suspek itu.

“Mayat mangsa ditemui selepas salah seorang suspek dibawa ke tempat kejadian pagi tadi dan mayat akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengenal pasti identiti,” katanya yang mengucapkan takziah kepada keluarga Morais.

Mohmad tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermotifkan dendam namun siasatan masih dijalankan dan polis masih mencari individu yang dipercayai terlibat.

Katanya, siasatan awal daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Jalan Duta memberi panduan kepada kehilangan Morais sejak 13 hari lalu.

Difahamkan, kenderaan milik Morais dihalang sebuah kereta di Jalan Bangsar, dua kilometer dari kediamannya di Kondominium Menara Duta.

Morais dikatakan telah turun untuk memeriksa kerosakan pada keretanya, sebelum penyerangnya menculik dan memindahkannya ke dalam trak lebih besar, sehingga akhirnya membawa kepada penemuan mayatnya di Subang Jaya.

Morais dilaporkan hilang pada 4 September lalu selepas keluar dari rumahnya di Menara Duta, Kondominium Duta Mas untuk ke tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Susulan itu, sebuah kenderaan dipercayai jenis Proton Perdana yang dikaitkan dengan mangsa dijumpai terbakar di ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak Hutan Melintang, Perak pada 6 September lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, peguam Ram Karpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, dalam mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa turut menawarkan sebarang bantuan terutama dari segi perundangan kepada mereka, memetik laporan The Rakyat Post.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo