Jasin - Seorang bayi lelaki berusia enam hari ditemui mati di dalam perigi disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri di Kampung On Lok, Batang Melaka dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mayat bayi berkenaan berjaya dikeluarkan pasukan forensik dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Jasin Bistari.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, bayi tersebut sebelum ini dilaporkan hilang di kediaman dan laporan dibuat oleh bapa mangsa di Balai Polis Batang Melaka kira-kira pukul 7.45 malam semalam.
Jelasnya, bapa bayi malang itu mendakwa kali terakhir anaknya itu berada di dalam jagaan ibunya dan sedang tidur di dalam bilik.
Polis katanya menerima maklumat daripada jiran yang mengesyaki terdapat mayat bayi di dalam perigi di belakang rumah keluarga mangsa dan pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 petang.
Pihaknya turut menahan enam suspek termasuk ibu dan bapa bayi berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
No comments
Post a Comment