Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Port Dickson Dilanda Air Pasang Besar

Fenomena air pasang besar dilaporkan berlaku di empat kawasan pusat peranginan Port Dickson, pagi tadi.
PORT DICKSON - Fenomena air pasang besar dilaporkan berlaku di empat kawasan pusat peranginan Port Dickson, pagi tadi.

Empat kawasan yang dipantau adalah Pantai Teluk Kemang di Batu 8; Pantai Bagan Pinang, Batu 3; Pantai Saujana, Batu 4 serta Pantai Tanjung Biru atau Blue Lagoon di Batu 10.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Port Dickson ketika dihubungi Bernama berkata kemuncak air pasang telah berlaku pada 9 pagi dan sehingga 11 pagi ini, air sudah kembali surut.

Katanya paras ketinggian ombak direkodkan 3.35 meter dari aras laut.  

"Keadaan masih terkawal setakat ini tetapi di Taman Wawasan Port Dickson air naik pada paras minimum dan tiada rumah terjejas.

"Kami juga tidak buat pemindahan kerana air hanya bertakung di kawasan itu yang dipercayai berpunca dari limpahan air pasang besar dan hujan pagi tadi," katanya.    

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Kamal Mokhtar berkata anggota akan terus ditempatkan di kawasan berkenaan sehingga 20 Okt ini. 

"Kami akan tempatkan anggota sehingga 20 Okt tetapi bergantung kepada keadaan semasa juga. 

"Untuk fenomena gelombang kedua, kami akan tempatkan semula anggota bergantung kepada keputusan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Port Dickson. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata anggotanya hanya akan ditempatkan sekiranya keadaan memerlukan.

"Setakat ini keadaan ombak tidak begitu berbahaya...jika keadaan memerlukan yang mana pihak kami akan buat kawalan di sekitar pantai untuk tidak membenarkan pengunjung mandi di kawasan terbabit kerana akan mendatangkan bahaya," katanya. - Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo