Pantai Pengkalan Balak merupakan salah satu pantai yang terkenal di Melaka bagi anda yang gemarkan aktiviti mandi manda. Pantai Pengkalan Balak ini terletak dalam daerah Alor Gajah dan berhampiran dengan Pantai Tanjung Bidara.
Pesisir pantainya yang luas didampingi keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya damai dan permai.
Pantai yang popular dengan pelbagai bentuk chalet persendirian ini memberikan peluang kepada pengunjung dan pelancong untuk menginap dan menikmati suasananya yang permai pada sebelah malam.
Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan nelayan-nelayan yang pulang membawa hasil laut menjelang senja hari.
Penempatan ini terdiri daripada 11 buah kampung tradisional dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani dan nelayan.
Pengunjung juga boleh ke Pantai Padang Kemunting yang terletak berhampiran dengan pantai Pengkalan Balak ini untuk melihat sendiri penyu karah iaitu spesies penyu yang hampir pupus.
Dikendalikan oleh Pusat Penetasan Penyu Jabatan Perikanan, pusat ini berperanan dalam menyelamat dan melindungi penyu karah ini.
Selain itu, berdekatan pantai Pengkalan Balak ini juga terdapat Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang menempatkan Balai Cerap, Planetarium, Pusat Latihan Falak dan Balai Cerap Robotik.
No comments
Post a Comment