Responsive Ad Slot

Showing posts with label Travel. Show all posts
Showing posts with label Travel. Show all posts

Pantai Pengkalan Balak Melaka

No comments

18 October, 2016


Pantai Pengkalan Balak merupakan salah satu pantai yang terkenal di Melaka bagi anda yang gemarkan aktiviti mandi manda. Pantai Pengkalan Balak ini terletak dalam daerah Alor Gajah dan berhampiran dengan Pantai Tanjung Bidara.

Pesisir pantainya yang luas didampingi keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya damai dan permai. 

Pantai yang popular dengan pelbagai bentuk chalet persendirian ini memberikan peluang kepada pengunjung dan pelancong untuk menginap dan menikmati suasananya yang permai pada sebelah malam. 

Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan nelayan-nelayan yang pulang membawa hasil laut menjelang senja hari.

Penempatan ini terdiri daripada 11 buah kampung tradisional dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani dan nelayan.


Pengunjung juga boleh ke Pantai Padang Kemunting yang terletak berhampiran dengan pantai Pengkalan Balak ini untuk melihat sendiri penyu karah iaitu spesies penyu yang hampir pupus. 

Dikendalikan oleh Pusat Penetasan Penyu Jabatan Perikanan, pusat ini berperanan dalam menyelamat dan melindungi penyu karah ini.

Selain itu, berdekatan pantai Pengkalan Balak ini juga terdapat Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang menempatkan Balai Cerap, Planetarium, Pusat Latihan Falak dan Balai Cerap Robotik.

Muzium Istana Kesultanan Melaka, Dimana Sejarah Melayu Bermula

No comments
Muzium Istana Kesultanan Melaka ini terletak di kaki Bukit St. Paul, iaitu di kawasan Bandar Hilir Melaka. Perjalanan dari susur keluar Tol Ayer Keroh mengambil masa lebih kurang 40 minit perjalanan.

Replika Istana ini dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan senibina Istana Melayu, di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah negeri Melaka dari tahun 1456 hingga 1477.


Antara tujuan utama pembinaan replika Istana Kesultanan Melaka ini adalah untuk mempamerkan kepada umum suasana di Istana Kesultanan Melayu Melaka dan ruang-ruang tertentu seperti Balairong Seri, Balai Beradu serta ciri-ciri Adat Istiadat Raja-Raja Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ianya juga menunjukkan keagungan institusi beraja sebagai warisan sejarah budaya Bangsa Melayu yang pernah menerajui Negeri Melaka suatu ketika dahulu disamping mengimbas kembali sejarah pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat dan pengajaran dari peristiwa tersebut.


Replika istana ini dibina pada tahun 1984 dan dijadikan sebagai Muzium Budaya apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 17 Julai 1986.

Keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada kayu keras manakala atapnya dari kepingan kayu belian.

Apa yang menariknya di Muzium Istana kesultanan Melaka ini ialah pembinaannya bercirikan seni pertukangan Rumah Melayu Melaka di mana sendi bangunan diperkuatkan dengan pasak sahaja, bermakna tiada langsung penggunaan paku dalam pembinaan ini.

Secara keseluruhannya muzium ini memperlihatkan fungsi dan peranan istana ketika itu dengan memaparkan Balairong Seri, Bilik Beradu Diraja dan balai-balai yang melambangkan ketamadunan masyarakat Melayu.

Harga Tiket Muzium Istana Kesultanan Melaka

Dewasa - RM 2.00
Kanak-kanak - RM 1.00
Waktu Operasi - 9.00 Pagi - 5.00 Petang

Melaka Mural Art, Tarikan Terbaru Di Melaka

No comments

Sekiranya anda berkunjung ke bandar George Town Pulau Pinang, salah satu tarikan pelancong disana ialah lukisan mural yang menghiasi dinding bangunan kedai di sepanjang jalan tersebut. 

Lukisan yang dilukis menggunakan teknik 3D ini mengambarkan seolah-olah gambaran lukisan tersebut hidup dan nyata.

Bagi orang Melaka, anda tidak perlu pergi sehingga ke Pulau Pinang untuk melihat hasil seni menarik ini, kini lukisan mural ini boleh anda jumpai di sekitar bangunan kedai di Jalan Kampung Kuli, Melaka.

Untuk lebih memudahkan pencarian anda, lokasi ini berhampiran dengan deretan bangunan kedai lama di Jonker Walk.

Anda boleh membuat carian di Google Map dengan lokasi magnitud 2.196353, 102.248901.

Melaka Mural Art merupakan antara tarikan terbaru pelancong untuk dilawati di Melaka. Pelbagai jenis lukisan yang boleh anda lihat disana. 







Jadi, pada anda yang ingin berkunjung ke Melaka, apa kata anda bawa keluarga anda bersama untuk melihat sendiri Melaka Mural Art.







Menara Taming Sari Saji Panorama Terindah Bumi Melaka

No comments

Menara Taming Sari merupakan menara pandang setinggi 110 meter yang terletak di Bandar Hilir, Melaka. Ianya juga berdekatan dengan Dataran Pahlawan Melaka.

Menara ini mampu berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka secara keseluruhan. 

Menara ini merupakan menara berputar jenis Gyro yang pertama di Malaysia. Menara ini dibuka secara rasmi pada 18 April 2008. Rekaannya adalah berdasarkan reka bentuk Keris Taming Sari.

Ia mampu memuatkan sehingga 66 orang dalam satu-satu masa dan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam.


Menariknya pemilik Mykad pula berpeluang mendapat potongan harga sehingga 50 % apabila menggunakan perkhidmatan ini. Menara tersebut yang dibina menggunakan kepakaran Switzerland mampu mengangkut seramai 240 penumpang dalam tempoh sejam. Satu sesi putaran akan mengambil masa kira-kira 7 minit.

Lokasi asal menara ini adalah di tebing Sungai Melaka berdekatan Bangunan Stadthuys, namun dipindahkan di tapak baru di atas sebab tapak asal tersebut terdapat runtuhan tembok lama zaman Kesultanan Melayu Melaka selain memelihara geofak arkeologi tersebut.

Di sekitara Menara Taming Sari juga terdapat beberapa buah kedai kraftangan yang menjual pelabagai jenis produk makanan tempatan dan cenderamata, sesuai bagi anda yang ingin membawa pulang 'ole-ole' dari bumi Hang Tuah ini.


Harga Tiket Menara Taming Sari

Dewasa - RM 20.00 
Kanak - Kanak - RM 10.00
Warga Emas - RM 17.00

*Pemegang MyKad layak mendapat potongan 50 % bagi setiap pembelian tiket.

Menyusuri Sungai Melaka Dengan Melaka River Cruise

No comments

Sungai Melaka dipenuhi dengan sejarah sejak kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka yang berpengaruh dan berkuasa suatu ketika dulu.

Sungai Melaka berjaya menarik pedagang seluruh dunia untuk datang berniaga dan berdagang seterusnya mempengaruhi Tome Pires, sejarawan Portugis untuk menamakan negeri ini sebagai ‘Venice di Timur'.

Sungai Melaka kini sebahagian besarnya hanya menjadi peringatan berharga tentang masa silamnya yang gemilang dan kaya serta pembangunan masa kininya. Dan cara terbaik untuk mengetahuinya ialah dengan merasai kembara sungai untuk menjejaki sejarah dan menyaksikan keindahannya yang menarik dan mempersonakan melalui Melaka River Cruise.


Melaka River Cruise merupakan antara tarikan utama produk pelancongan di Melaka. Anda boleh merasai sendiri pengalaman menyusuri Sungai Melaka menaiki River Cruise. 

Perjalanan bagi perkhidmatan bot ini adalah sejauh 9 KM. Penumpang boleh membeli tiket dan menaiki bot di Taman Rempah atau di Dataran Muara Sungai Melaka. Perjalanan bermula di Taman Rempah Ratus hingga ke Muara Sungai Melaka dan berpatah balik ke Taman Rempah atau sebaliknya. Tempoh perjalanan mengambil masa selama 45 minit.

Setiap bot mempunyai nama yang diambil sempena nama para pembesar Negeri dan Negara yang telah banyak menabur jasa ke atas pembangunan Negeri Melaka.

Harga Tiket Melaka River Cruise

Dewasa - RM 10.00
Kanak - Kanak - RM 5.00

Waktu Operasi - 9.00 Pagi - 12.00 Malam

Homestay Darul Qaseh Tawar Penginapan Selesa Kepada Penghuni

No comments

11 March, 2015

Sekiranya anda bercuti ke Melaka Bandaraya Bersejarah, dan masih lagi tercari-cari homestay yang selesa pada harga berpatutan, kami cadangkan Homestay Darul Qaseh di Seksyen 3 Taman Saujana Bukit Katil, Melaka.


Mengambil masa 10 minit sahaja dari Tol Ayer Keroh dan berdekatan dengan Bayou Lagoon, homestay Darul Qaseh merupakan sebuah kediaman rumah teres 2 tingkat, dilengkapi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air ditingkat atas dan bawah. 

Homestay Darul Qaseh Bukit Katil, Melaka

Semua bilik dilengkapi dengan katil bersaiz queen, manakala bilik utama turut dilengkapi dengan air-cond. Homestay Darul Qaseh juga turut menyediakan kemudahan memasak bagi anda yang ingin menyediakan masakan sendiri dirumah.

Ruang tamu yang luas dan selesa
Bilik utama dilengkapi dengan katil queen size dan air-cond
Ruang makan yang kemas dan teratur
kemudahan peralatan dapur
kemudahan perlatan memasak turut disediakan
Peti ais turut disediakan untuk kemudahan penghuni
Bilik air yang kemas dan bersih
Homestay Darul Qaseh berdekatan dengan tempat pelancongan di Melaka seperti Zoo Melaka, Taman Buaya, Taman Rama-Rama, Taman Mini Malaysia/Asean dan Melaka Wonderland yang mengambil masa 7 minit perjalanan.

Selain itu ianya juga Berdekatan dengan Bandar Hilir, River Cruise di Taman Rempah, Kg Morten (Kg Tradisional), Eye of Melaka (6-9km).

Kemudahan di sekitar Homestay Darul Qaseh ( 2 minit perjalanan ) kedai serbaneka 24jam, Petronas, kedai makan, manakala Hospital Pantai, Aeon Jusco Ayer Keroh, dan Melaka Mall hanya mengambil masa 5 minit perjalanan.

Harga Homestay Darul Qaseh

Check in - 2.00pm
Check out - 12.30pm
RM 120 - Isnin hingga Khamis - 2 hari 1 malam.
RM 150 - Jumaat hingga Ahad termasuk hari kelepasan dan cuti am - 2 hari 1 malam.

**Other Terms & Conditions:
Homestay ini hanya untuk muslim sahaja

Pada anda yang berminat untuk menginap di homestay ini, bolehlah menghubungi:-

En. Izam - 011-39051829
https://www.facebook.com/homestatbajetdarulqaseh





Melaka Alive Satu Lagi Tarikan Terbaru Pelancong Di Melaka

No comments

09 March, 2015


Melaka Alive menawarkan satu konsep baru dalam mempelajari sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Dengan menggabungkan unsur-unsur teater dan sejarah berlatarbelakangkan penggunaan teknologi canggih seperti air pancut sebagai layar bagi memaparkan video dan penggunaan audio bagi menambahkan impak kepada pengunjung yang hadir merasai pengalaman kembali ke dalam Zaman Emas melalui Melaka Alive.

Dengan matlamat untuk menjadikan Melaka Alive! Sebagai daya tarikan utama bagi pelancongan dan kebudayaan di Malaysia, adalah diharapkan sokongan setiap agensi pelancongan diseluruh Negara dan khususnya kerajaan negeri Melaka dapat membantu meningkatkan lagi jumlah pengunjung yang ingin mengetahui tentang sejarah dalam konsep yang sangat menarik dan berbeza.

Membawa kembali pengunjung di era abad ke 6, Melaka Alive! adalah satu pengalaman yang sukar diperolehi dengan dikelilingi bangunan-bangunan warisan sedia ada dan muzium di Melaka. Tarikan lain adalah termasuk kesan khas yang digunakan semasa persembahan teater muzikal dan konsep bazaar yang berbeza di tempat lain.

Bahtera Merdeka



Persembahan teater muzikal yang dilakukan diatas pentas dengan senibina seperti seperti sebuah bahtera berkapasiti 400 penonton bagi setiap persembahan. Kisah Panglima Awang dihidupkan semula dalam teater muzikal ini dimana kisah hidup beliau disepanjang pelayaran mengelilingi dunia dan serangan ke atas Portugis. Menggabungkan fakta kajian sejarah, teater dan tarian melayu tradisional akan lebih menarik minat semua pengunjung yang menonton teater tersebut.

Colors of Melaka


Colours of Melaka adalah bazaar malam yang direka bagi semua pengunjung yang mengunjungi tapak Melaka Alive dengan berkonsepkan pasar kuno abad ke-15 kesultanan melayu. Setiap gerai jualan menyajikan makanan tradisional melayu, dan baba nyonya Melaka mengunakan konsep kereta lembu sebagai gerai jualan yang berlatarbelakangkan persembahan teater dimana menambahkan lagi kepada suasana dan persekitaran pada zaman dahulu seperti yang terdapat dalam sejarah.

Harga Tiket Melaka Alive

MyKad
Dewasa - RM35
Kanak-Kanak (4-12 tahun ) - RM20

Non MyKad
Dewasa - RM45
Kanak-Kanak ( 4-12 tahun ) - RM20

Persembahan Melaka Alive bermula pada setiap hari khamis sehingga ahad sahaja. Masa persembahan adalah pada pukul 7.30 petang dan 9.00 malam.

Bagi anda yang hendak melakukan pembelian tiket secara online, anda boleh layari laman web seperti dibawah ini:-

http://www.melakaalive.com.my/ticket.php

10 Tempat Menarik Di Melaka Yang Harus Anda Lawati

No comments
Melaka sememangnya terkenal dengan kepelbagaian kaum dan budaya yang menghiasi latar kehidupan masyarakat di Melaka. Sejarah membuktikan Melaka kaya dengan sejarahnya yang tersendiri.

Pada anda yang masih lagi tercari-cari tempat percutian untuk seisi keluarga, apa kata anda bawa keluarga anda berkunjung ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia. 

10 Tempat Menarik Di Melaka Yang Harus Dikunjungi

1. Menara Taming Sari

Rasai pengalaman melihat keindahan dan keunikan tempat bersejarah seperti Bukit St Paul, Dataran Pahlawan, Sungai Melaka dan Selat Melaka dari ketinggian 80 meter. Disamping itu, anda bepeluang melihat kepesatan pembangunan di negeri Melaka, Bandaraya Warisan Dunia.

Laman web rasmi :- http://menaratamingsari.com/

2. Melaka River Cruise

Tidak lengkap ke Melaka jika anda tidak merasai pengalaman menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki Melaka River Cruise. Perjalanan selama 45 minit ini akan membawa anda menikmati keindahan panorama indah sepanjang Sungai Melaka hingga ke muaranya.

Laman web rasmi :- http://melakarivercruise.com/

3. Jonker Walk Night Market

Dibuka pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, Jonker Walk Night Market merupakan antara tempat yang menyediakan pelbagai barangan cenderahati buat anda. Pelbagai barangan dan koleksi antik yang boleh anda temui disini.

4. Waterworld A Famosa Resort

Pada anda yang inginkan aktiviti mandi manda bersama keluarga, Waterworld A Famosa Resort adalah tempat yang harus anda lawati. Terdapat pelbagai jenis alatan sukan air yang disediakan di Waterworld A Famosa Resort.

5. Bandar Hilir, Melaka

Bandar Hilir di Melaka merupakan salah satu kawasan yang terkenal dengan pelbagai kesan-kesan peninggalan sejarah pada zaman penjajahan dahulu. Di kawasan yang semakin membangun ini, anda masih lagi boleh melihat tinggalan-tinggalan bangunan lama pada zaman pemerintahan Portugis, Belanda dan juga Inggeris. 

6. Kota A Famosa

Terletak di tengah-tengah Bandar Melaka, anda patut bekunjung ke Kota A Famosa ini bagi melihat dengan mata sendiri tinggalan bangunan dan pintu utama kubu tentera Portugis yang dibina pada zaman pemerintahan Portugis. Anda juga boleh mendaki Bukit St. Paul yang berhampiran dengan Kota A Famosa ini.

7.  Hang Tuah Centre (Perkampungan Hang Tuah)

Hang Tuah Centre merupakan salah satu tarikan terbaru yang ada di Melaka. Di Hang Tuah Centre, anda boleh merasai suasana rumah tradisional melayu Melaka. Terdapat lima buah rumah iaitu rumah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan juga Hang Lekiu. 

Setiap rumah ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Dilengkapi dengan gelanggang silat dihadapan setiap rumah, anda pasti dapat merasa suasana perkampungan melayu Melaka pada zaman dahulu. Di Hang Tuah Centre juga terdapatnya Galeri Hang Tuah yang memaparkan kisah Hang Tuah dan rakan-rakannya yang lain. Lokasi ini juga berhampiran dengan Perigi Hang Tuah.

8. Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka

Dibina mengikut rekabentuk asli Istana Melaka pada zaman dahulu, Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka ini memaparkan sejarah asal usul negeri Melaka. Dari zaman sultan Melaka yang pertama hinggalah yang terakhir, semuanya disediakan disini.

9. Melaka Zoo And Night Safari

Terletak berhampiran dengan susur keluar Tol Ayer Keroh, Melaka Zoo And Night Safari meruapakn antara Zoo yang terbesar di Malaysia. Terdapat lebih dari 100 spesis haiwan yang boleh anda lihat dan disini anda boleh elihat sendiri kehidupan spesis-spesis haiwan ini pada waktu malam.

10. Dataran 1 Malaysia Klebang (Bustel) 

Tidak hanya popular kerana 'coconut shake', kini Dataran 1 Malaysia Klebang menyediakan satu lagi pengalaman unik untuk anda sekeluarga mencuba iaitu Bustel. Bustel merupakan lokasi bas-bas awam lama yang pernah beroperasi di negeri Melaka diubahsuai menjadi hotel. Anda boleh merasai pengalaman bermalam di dalam bas pada harga yang amat-amat berpatutan. Terdapat juga bas yang telah diubahsuai menjadi restoran untuk melengkapkan lagi pengalaman menarik anda di Melaka.

Rancang percutian anda bersama keluarga dengan melawati tempat-tempat menarik yang ada di Melaka. Anda pastinya tidak rugi jika berkunjung ke bumi Hang Tuah.

12 Panduan Penting Sebelum Melancong Dan Bercuti

No comments

12 February, 2015


Percutian atau melancong merupakan aktiviti untuk merehatkan diri dan minda setelah penat bekerja. Untuk melancong mahupun pergi bercuti, anda perlulah melakukan pelbagai perancangan, termasuk persiapan belanjawan agar tidak berlaku pembaziran dan memastikan percutian anda berjalan dengan lancar.

Perancangan kewangan yang rapi dan teliti sangat penting bagi mengelakkan kekusutan fikiran setelah pulang bercuti. Berikut adalah beberapa tip yang boleh diamalkan jika anda merancang untuk melancong atau bercuti, tidak kira di dalam negeri mahupun di luar negara.

12 Panduan Penting Sebelum Melancong Dan Bercuti

Menabung

Mempunyai tabungan yang mencukupi sangat penting untuk bercuti. Jika anda mahu merancang untuk bercuti, mula menabung seawal mungkin. Asingkan duit persiapan percutian ke dalam tabung khas. Disiplinkan diri anda dan terus fokus pada perancangan anda.

Pakej promosi

Apabila memilih untuk bercuti di luar negara, pilih negara yang mengadakan promosi pelancongan. Tanya ejen pelancongan tempatan. Selidik terlebih dahulu tempat-tempat menarik di sesebuah negara, supaya percutian anda diisi dengan aktiviti dan pemandangan yang memberikan kepuasan percutian yang maksimum. Biasanya menjelang musim sejuk, negara di Eropah giat mengadakan promosi pelancongan.

Perancangan percutian

Sebelum melancong dan bercuti, anda perlu membuat persiapan diri dan minda dengan perancangan yang rapi dan teliti. Tentukan dengan betul negara, kota atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda.

Buatlah pendaftaran di tempat yang akan anda kunjungi. Untuk menjimatkan tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang untuk mengunjungi lokasi menarik berhampiran dalam sehari. Melalui perancangan itu, anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran tambang.

Bajet semasa bercuti

Sediakan anggaran perbelanjaan harian semasa anda bercuti, termasuk kos penginapan, makan, pengangkutan, dan cenderamata yang akan dibeli. Anggaran perbelanjaan semasa bercuti adalah satu langkah wajib bagi mengawal perbelanjaan anda semasa bercuti, terutama jika anda bercuti di luar negara.

Apabila bercuti ke luar negara, anda juga haruslah mengetahui kadar pertukaran wang negara yang ingin dilawati supaya percutian tersebut bersesuaian dengan anggaran perbelanjaan anda. Ini juga penting bagi mengelakkan anda tertipu semasa menukar wang. Mengetahui kadar pertukaran wang asing memudahkan perancangan perbelanjaan, terutama ketika membeli-belah.

Tempahan awal

Industri pelancongan banyak bergantung kepada keadaan ekonomi sesebuah negara serta permintaan pelancong tempatan atau asing. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda menempah tiket penerbangan atau tiket bas lebih awal, bagi mendapatkan harga yang murah. Tempahan saat akhir adalah sangat mahal dan merugikan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah. Begitu juga dengan tempahan penginapan. Anda juga haruslah membuat tempahan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan atau sebarang masalah semasa percutian anda.

Bercuti bersama anak-anak

Jika bercuti bersama anak-anak, pastikan persiapan makanan dan kelengkapan mereka yang lain. Jika tempat yang ingin dituju menyediakan kelengkapan dan makanan yang bersesuaian untuk anak-anak anda, pastikan anda memasukkan keperluan perbelanjaan ini dalam anggaran perbelanjaan percutian anda. Jika anda lebih selesa untuk membawa semua kelengkapan anak-anak anda sendiri semasa bercuti, pastikan anda membawa kelengkapan yang secukupnya dan harus mempersiapkan diri dan minda anda untuk lebihan tenaga dan perhatian yang diperlukan untuk mengawasi bagasi yang banyak. Di sini, perancangan yang rapi juga memainkan peranan yang penting.

Peta

Sebaik sahaja anda sampai ke destinasi percutian anda, pastikan anda membeli peta tempat tersebut. Ini akan memudahkan anda untuk merancang jenis pengangkutan yang sesuai untuk pergi melawat tempat-tempat menarik yang telah anda tetapkan sebelumnya.

Pengangkutan

Dapatkan maklumat yang mencukupi mengenai tempat atau negara yang ingin dilawati supaya lebih selesa dan mudah bergerak serta merancang aktiviti dan tempat yang bakal dilawati. Pilih pengangkutan yang paling murah serta pemandu pelancong yang tahu mengenai selok-belok kawasan percutian tersebut bagi mengelakkan anda daripada ditipu ataupun tersesat.

Apabila anda bercuti di dalam kumpulan atau beramai-ramai, anda digalakkan menggunakan perkhidmatan teksi kerana ia lebih murah berbanding bas atau kereta. Justeru, anggaran perbelanjaan percutian anda dapat diringankan kerana berkongsi dan dibahagikan secara adil beramai-ramai.

Sarapan percuma

Manfaatkan sarapan percuma yang disediakan oleh pihak hotel dan makan hingga kenyang. Jika anda bercuti di Eropah, makanan di sana adalah mahal. Dengan memanfaatkan sarapan yang disediakan di hotel, anda boleh mengurangkan lagi perbelanjaan anda.

Ole-ole/ buah tangan

Buat penyelidikan di internet atau dalam kalangan rakan atau keluarga yang pernah berkunjung ke tempat percutian yang anda rancangkan. Dapatkan maklumat tentang kawasan yang menjual buah tangan yang murah. Senaraikan juga semua nama ahli keluarga dan rakan supaya anda tidak membeli buah tangan secara berlebihan. Senarai ini membantu anda berbelanja dengan bijak dan secara adil dan saksama.

Dana Kecemasan

Simpan 20 peratus daripada anggaran perbelanjaan percutian anda untuk dana kecemasan. Dana ini amat berguna jika berlakunya sebarang perkara yang tidak disangka seperti jatuh sakit dan memerlukan rawatan hospital. Dana ini juga membantu anda untuk menampung perbelanjaan anda sekiranya anda telah terlebih belanja daripada anggaran perbelanjaan anda.

Penggunaan wang tunai

Sebaik mungkin cuba gunakan wang tunai untuk membayar perbelanjaan, terutama apabila bercuti di luar negara. Anda akan dikenakan caj perkhidmatan atau faedah yang tinggi jika menggunakan kad kredit.-sumber

Dengan tip-tip yang dikongsikan diatas, diharap anda akan lebih bersedia sekiranya ingin melancong bersama keluarga.

10 Tempat Percutian Menarik Di Perak

No comments
Perak merupakan antara salah satu negeri yang kaya dengan pelbagai sejarah dan lokasi percutianya yang menarik. Disini kami paparkan 10 Tempat Percutian Menarik di Perak pilihan The Kickster.

1. Pulau Pangkor

Pulau Pangkor merupakan antara tempat yang menarik dan selesa untuk anda bercuti bersama keluarga. Dua kawasan pantai yang terkenal iaitu Pasir Bogak dan Teluk Nipah menawarkan kepada peminat aktiviti laut seperti aktiviti menyelam, luncur angin dan memancing. Teluk Ketapang atau Teluk Penyu masih menerima kehadiran penyu untuk singgah bertelur. Beberapa resort di pulau itu juga mempunyai padang golf yang sangat baik di kawasan mereka.

2. Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah

Konsep unik yang direka khas bagi air mengalir dari mata air panas ke Kolam Renang dan Taman terapi di kaki Banjaran Titiwangsa berketinggian 200 kaki di atas paras laut sememangnya kejuruteraan yang kreatif untuk menarik pengunjung yang menghargai keajaiban semulajadi. Keluarga yang melawat taman itu boleh mencuba tempat mandi yang tersedia di sini bersama- sama keluarga. Satu lagi aktiviti terkenal yang harus dicuba ialah pengalaman merebus telur dalam air panas.

3. Hutan Simpan Belum

Hutan Simpan Belum memiliki kekayaan flora dan fauna dengan kawasan luas yang masih belum diterokai. Pelbagai pengusaha pelancongan kini menawarkan perkhidmatan lawatan berpandu ke kawasan-kawasan tertentu rizab dan akan menguruskan permit yang diperlukan, pengangkutan jalanraya dan sungai dan penginapan, termasuk perkhemahan. Kehadiran spesies mamalia besar seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Hutan Simpan Belum sangat istimewa.

4. Gua Tempurung

Gua ini mungkin merupakan gua batu kapur semulajadi terbesar di Semenanjung Malaysia. Terdiri daripada lima bentuk kubah besar yang siling atasnya berbentuk tempurung kelapa, setiap satu kubah mempunyai pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit. Kubah-kubah ini juga berbeza di antara satu sama lain dari segi suhu, paras air, kandungan batu kapur dan marmar.

5. Bukit Larut

Mencapai ketinggian 1250 meter di atas paras laut, tempat yang paling basah di Malaysia, dengan hujan tahunan yang melebihi 500sm. Suhu udara di sini adalah sekitar 15 darjah celsius pada awal pagi dan lewat petang, mencecah sehingga 10 darjah celsius pada malam hari. Pada hari yang cerah, anda boleh melihat pesisiran pantai semenanjung dan Selat Melaka, menjangkau sehingga ke Pulau Pinang di utara dan Pulau Pangkor di selatan. Pemandangan yang indah dapat dilihat di siang hari, dan kelihatan mempesonakan pada waktu malam.

6. Kompleks Sejarah Pasir Salak

Kompleks Sejarah Pasir Salak memberi penghormatan kepada pahlawan-pahlawan seperti Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela. Terdapat memorial yang didirikan untuk menghargai pengorbanan mereka, dalam bentuk sundang (pedang), satu replika berbentuk pisau yang digunakan dalam pembunuhan Mr. Birch. Tarikan lain di kompleks itu adalah Monumen J.W.W. Birch, kubur Sipuntum, kubu Datuk Maharaja Lela, meriam Lela Rentaka yang digunakan dalam penentangan terhadap tentera penjajah British, dan dua Rumah Kutai (rumah tradisi Perak) dipenuhi dengan artifak sejarah dan budaya tempatan.

7. Taman Tasik Taiping

Taman yang dibina di atas lombong bijih timah terbiar ini telah dibuka pada tahun 1880, menjadikan ia sebagai taman awam pertama di Tanah Melayu ketika itu, taman ini memiliki sepuluh tasik dan kolam yang indah, Kolam Teratai, jambatan yang mempesonakan, trek untuk berjoging serta refleksologi, semuanya dikelilingi oleh tanaman tropika, bunga-bungaan, pokok dan hidupan liar. Untuk kanak-kanak, terdapat gelanggang bermain kasut roda, bot kayuh, dan taman permainan yang pasti mengembirakan anak-anak anda.

8. Menara Condong Teluk Intan

Keunikan menara ini adalah ia menyerupai Menara Pisa, Itali. Menara ini dibina pada tahun 1885. Ia memiliki ketinggian setiggi 85 kaki dan ada 110 anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh. Bangunan tiga tingkat ini dilengkapi dengan jam besar. Kini menara ini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi tarikan pelancong yang mengunjungi bandar Teluk Intan. 

9. Taman Orang Hutan, Bukit Merah

Pulau Orang Utan yang yang seluas 35 ekar ini merupakan pusat perlindungan, pembiakan, pengekalan, penyelidikan dan pendidikan Orang Utan.Para pelancong diberi peluang untuk melihat orang utan ini melakukan aktiviti harian mereka melalui terowong sangkar besi sepanjang 100 meter. Pulau Orang Utan ini merupakan sebahagian dari pusat Peranginan Laketown Bukit Merah yang turut memiliki taman air dan ekologi.

10. Lost World Of Tambun

Salah satu tarikan terbaru yang pastinya menggamit anda untuk datang ke Perak. Lost World Of Tambun merupakan salah sebuah taman temai air yang dilengkapi dengan pelbagai tempak rekreasi serta taman ekologi. Di sini anda boleh mencuba pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan oleh pihak Lost World Of Tambun. Merupakan salah satu destinasi wajib jika anda berkunjung ke Perak.

Sememangnya Perak merupakan antara pilihan terbaik anda untuk bercuti bersama keluarga. Rancang percutian anda bersama keluarga.


Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo