Mesyuarat itu hanya untuk menjelaskan berkenaan kedudukan dan kerusi dalam Pakatan Harapan, tidak lebih dari itu, kata Abdullah Sani. - Gambar Fail |
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Khas PKR yang bakal berlangsung Ahad ini adalah bagi memberikan penerangan lanjut kepada ahli-ahli parti berhubung penubuhan Pakatan Harapan.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani, semua ahli dimaklumkan berkenaan perjumpaan tersebut dan ianya bukanlah sesuatu yang besar sehingga mampu menggugat kedudukan parti tersebut.
Malah jelasnya, tidak timbul isu tidak puas hati dengan penubuhan pakatan baru itu memandangkan semua pihak sudah dimaklumkan mengenai keperluan penubuhan segera gabungan pembangkang.
“Ianya mesyuarat khas, saya tidak tahu apa-apa berhubung petisyen.
“Ini bukan sebab tak puas hati dengan penubuhan PH, tetapi ahli memerlukan penjelasan lanjut berkenaan kedudukan parti bagi membolehkan kita menyusun gerakan di peringkat akar umbi.
“Mesyuarat itu hanya untuk menjelaskan berkenaan kedudukan dan kerusi dalam Pakatan Harapan, tidak lebih dari itu,” kata ahli PKR itu ketika dihubungi hari ini.
Mengulas berkenaan petisyen yang kini sudah heboh diperkatakan, Abdullah berkata bahawa perkara itu hanyalah satu masalah kecil.
“Lojiknya Ahli Jawatankuasa ada 72 orang, yang tanda tangan cuma 25 orang..tidak ada apalah..itu macam langau sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden PKR, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, mesyuarat yang bakal berlangsung ini tidak melibatkan kedudukan sesiapa sahaja di dalam parti.
Ini merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan ahli PKR, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard mengenai wujudnya Kartel Azmin yang berhasrat untuk menggulingkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Ini tidak ada kena mengena dengan presiden. Ini satu perbincangan dengan parti mengenai hal dalaman parti. Dan ini juga merupakan satu proses biasa,” katanya.
Malah jelasnya, apa yang perlu sekarang adalah perbincangan diadakan mengikut prosedur biasa parti bagi membolehkan penerangan diberikan kepada ahli-ahli.
Shaharuddin yang juga Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Unisel itu juga menolak dakwaan ada pihak yang tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan pada 22 September lalu.
“Tidak ada isu langsung mengenai setuju atau tidak, yang penting apa juga usaha untuk mewujudkan sesuatu gabungan itu mestilah bersifat inklusif iaitu melibatkan semua pihak.
“Semua (termasuk PAS) parti politik yang ada. Ini bagi mewujudkan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya nanti menentang Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya lanjut.
Ahad ini akan berlangsung satu mesyuarat khas melibatkan ahli-ahli PKR bagi membincangkan isu penubuhan Pakatan Harapan.
Mesyuarat berkenaan diadakan susulan satu petisyen yang ditanda tangani 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, lapor The Rakyat Post.
No comments
Post a Comment