![]() |
Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, pertelingkahan politik perlu diketepikan dan ahli politik perlu dipandu dengan kesedaran dalam melayani pelbagai pihak berkepentingan. - Gambar Fail |
SHAH ALAM - Perkembangan perlahan berkaitan kematangan politik di negara ini menjejaskan hubungan antara parti pemerintah dengan pembangkang.
Memetik laporan Sinar Harian, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa, keadaan tersebut telah menyebabkan wujud pemikiran 'mereka dan kami' dalam kalangan ahli politik serta ahli parlimen dengan menafikan perkembangan negara dari sisi berbeza.
“Mungkin sudah tiba masanya kita merubah pemikiran tersebut dan pada saya Lim Kit Siang (Penasihat DAP) selaku orang lama dapat memberikan sumbangan positif dengan pengalaman selaku ahli Parlimen. Pengalamannya pasti berguna walaupun beliau berada dalam parti pembangkang selama ini,” katanya dalam ucapan sempena sambutan hari lahir ke-75 Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Sabtu lalu yang dimuat naik di Facebooknya.
Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, pertelingkahan politik perlu diketepikan dan ahli politik perlu dipandu dengan kesedaran dalam melayani pelbagai pihak berkepentingan.
“Dalam hal ini, Kit Siang selaku orang lama dan veteran ahli parlimen boleh memainkan peranan. Keupayaan kita mendekati usaha untuk bekerjasama antara satu sama lain pastinya menyumbang kepada peningkatan kualiti politik dan pada masa sama mempercepatkan tempoh matang,” katanya.
Menurut Tengku Razaleigh, ahli politik hari ni perlu didorong niat mulia untuk berkhidmat kepada rakyat dan kebaikan negara.
“Oleh itu kurangkan politik kepentingan peribadi, hapuskan politik konfrontasi dan kurangkan perselisihan yang merugikan semua pihak.
“Kerajaan dan pembangkang seharusnya menerima antara satu sama lain sebagai rakan kongsi dengan bergerak seiringan,” katanya.
Katanya, pendirian perdamaian oleh ahli politik yang mempunyai kepercayaan berbeza perlu membawa budaya lebih mesra walaupun berlainan parti dan terbuka untuk menerima.
“Pada pandangan peribadi saya, pendekatan profesional dan mesra dalam menjalankan tugas kepada rakyat bakal mewujudkan hubungan awam lebih bermakna,” katanya.
No comments
Post a Comment