Responsive Ad Slot

Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Dakwaan PPBM Memalukan - Puteri UMNO

No comments

15 August, 2017

Dakwaan PPBM Memalukan - Puteri UMNO
MELAKA - Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai punca kekecohan pada forum 'Nothing To Hide 2.0' semalam adalah tidak profesional dan memalukan.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ini kerana tuduhan itu semata-mata mahu menutup kelemahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta rakan pakatan mereka.

"Kepemimpinan Armada PPBM sendiri pun tak percaya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal menjawab soalan yang dikemukakan, sekali gus menunjukkan program itu tidak mencapai matlamat sebenar.

"Kekecohan ini memberi tamparan hebat buat Armada dan lebih memalukan apabila Azmin dan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyalahkan Perdana Menteri dan UMNO kononnya menjadi dalang kepada kekecohan itu.

"Mereka cuba menutup kelemahan sendiri dengan meletakkan kesalahan kepada orang lain...ini sangat tidak profesional dan memalukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengulas mengenai kekecohan ketika program 'Nothing to Hide 2.0' di Shah Alam, Selangor.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, dalam kenyataannya semalam, menuduh Perdana Menteri menggunakan gangsterisme untuk menggagalkan forum berkenaan.

Malah, beliau juga dilaporkan mahu Perdana Menteri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kekecohan itu, memetik laporan Berita Harian.

Pakatan Pembangkang Bukan Wadah Selesai Masalah Negara

No comments
Pakatan Pembangkang Bukan Wadah Selesai Masalah Negara

KUALA LUMPUR - Kerjasama pakatan pembangkang diterajui DAP didakwa hanya bermatlamat menyelamatkan kerusi parti tertentu bukannya menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan menjadikan jentera pilihan raya PAS sekali lagi sebagai kuda tunggangan.

Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata apabila gabungan parti pembangkang itu berjaya memenangi kerusi, sekali lagi agenda Islam akan ditendang dan diperangi, manakala PAS akan terus diserang dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, berkata negara perlu diselamatkan daripada pelbagai kerosakan ekonomi, politik dan sosial dengan Islam, malah pakatan pembangkang bukan wadah untuk menyelesaikan masalah negara dengan Islam.

"PAS terus komited mencanangkan kepada rakyat penyelesaian Islam menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera dan dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera.

"Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar lalu bertajuk Sejahtera Bersama Islam sedang dihayati oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat bagi menghadapi PRU14," katanya, lapor Berita Harian.

PAS Diminta Henti Uji Kesabaran PKR

No comments

20 July, 2017

PAS Diminta Henti Uji Kesabaran PKR

SHAH ALAM - PKR minta Pas menghentikan segala tindakan yang boleh mencabar kesabaran parti tersebut.

Perkara itu disuarakan Naib Presidennya, Tian Chua selepas Pas mengambil pendekatan melancarkan jentera pilihan raya di Parlimen Permatang Pauh.

Beliau mendakwa, ia satu tindakan provokasi dan angkuh yang tidak membantu pembangkang menewaskan BN.

“Permatang Pauh dikenali umum sebagai kerusi parlimen yang berkait rapat dengan PKR dan menjadi lambang kebangkitan rakyat melalui gerakan Reformasi sejak PRU 1999 lagi.

“Sejak itu, Parlimen Permatang Pauh telah dimenangi PKR sebanyak enam kali pada PRU dan PRK. Sudah tentu kami sanggup mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan kekuatan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pendirian Pas mahu menawan Permatang Pauh hanya menunjukkan pembangkang sedang bertelagah sesama sendiri.

“Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Pas yang menganggap ia masih sebahagian daripada pembangkang yang ingin mengalahkan Umno dan BN pada PRU14,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof  ketika dihubungi membidas kenyataan Tian Chua itu.

Mohd Fauzi berkata, Pas tidak ada kena mengena dengan Pakatan Harapan, apatah lagi tahaluf siyasi dengan PKR di negeri ini.

“Atas dasar apa yang dia (Tian Chua) nak pertikai apa yang hendak Pas lakukan?

“Kita dah tak ada apa-apa ikatan dengan mereka dan Pas kini berada di dalam Gagasan Sejahtera. Jadi kami berhak melakukan apa sahaja gerak kerja yang dirasakan perlu,” katanya, semalam.

Mohd Fauzi berkata, PKR tidak mempunyai hak untuk mengarah dan menghalang sebarang tindakan dilakukan Pas.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Pas Permatang Pauh hanyalah gerak kerja awal untuk menggerakkan jentera parti.

“Sama ada Pas akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan empat Dun, hanya bergantung kepada keputusan kepimpinan Pas Pusat,” katanya, lapor Sinar Harian.

"Tak puas hati punca pertikai Muhyiddin"

No comments

30 May, 2017

Tak puas hati punca pertikai Muhyiddin

KUALA TERENGGANU – Bersatu Terengganu kesal dengan tindakan pihak tertentu mempersoalkan kewibawaan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan Muhyiddin dengan kepincangan yang berlaku dalam Bersatu di peringkat kebangsaan dan Perak.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris menegaskan, pihaknya mengutuk dan menolak sebarang perbuatan mensabotaj kepimpinan serta menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan juga timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membawa parti ke arah yang lebih teguh dan cemerlang.

Beliau mendakwa, pihak yang mendatangkan suasana tidak selesa dalam parti adalah pemimpin di peringkat negeri dan bahagian tertentu yang tidak berpuas hati disebabkan tuntutan mereka bersifat peribadi tidak dilayan.

“Sewajarnya kita sebagai ahli dan pemimpin bawahan menghormati dan memahami arah dan matlamat kepimpinan atasan, bukan mengkritik secara terbuka.

“Sebarang pendapat atau pandangan kedua perlu dikemukakan dan dibincangkan pada mesyuarat dalaman parti, bukan mengkritik secara terbuka dan menggunakan media bagi mencari populariti diri,” katanya.

Razali berkata sebagai mengulas mengenai Ketua Pendaftar Bersatu Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar kononnya seluruh bahagian Bersatu Perak membuat desakan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan ekoran kepincangan di peringkat kebangsaan dan Perak.

Azrul Suhadi juga didakwa turut menyatakan Muhyiddin tidak pernah ikhlas kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyokong dan pendokong parti.

Mengulas lanjut, Razali menolak dakwaan berhubung sikap tidak ikhlas Muhyiddin sambil menyifatkan ia bertujuan memecahbelahkan parti dengan sengaja.

Jelasnya, berdasarkan kenyataan ditunjukkan oleh 3M atau Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, ternyata ketiga-tiganya menunjukkan semangat setia kawan dan persefahaman padu dalam meningkatkan maruah dan perjuangan parti.

“Tuduhan bahawa sepanjang masa Tan Sri Muhyiddin ‘menangguk di air yang keruh’ dengan mengambil kesempatan di atas populariti Tun Mahathir bagi mencatur parti adalah pandangan cetek dan dipengaruhi akal yang sempit dan berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, dakwaan yang mengaitkan Muhyiddin mahu bersekongkol dengan Pas disifatkan tuduhan untuk memperkecilkan usaha bertujuan memenangi pilihan raya.

Sedangkan sebagai presiden parti katanya, Muhyiddin sudah tentu arif dalam membentuk formula dan hala tuju parti untuk menang pilihan raya.

“Semua pihak perlu bergerak secara berpasukan dan meletakkan nilai serta situasi menang-menang untuk kestabilan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

PAS Sangkal Dakwaan 70 Peratus Ahli Sertai Amanah

No comments
PAS Sangkal Dakwaan 70 Peratus Ahli Sertai Amanah

SELAYANG - Pas Selayang menyangkal dakwaan 70 peratus  ahli Pas kawasan tersebut keluar parti menyertai Amanah.

Ketua Penerangan Pas Selayang, Mohd Farhan Madzlan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Amanah Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim adalah dakwaan yang disifatkan sebagai mengarut dan tidak berasas.

Jelasnya, kurang 10  ahli Pas meninggalkan parti itu termasuk dua ahli yang aktif namun bermasalah.

“Saya rasa Amanah terlalu kemaruk untuk mempengaruhi pengundi-pengundi dengan dakyah tanpa asas dan bukti.

“Dia (Wan Anwar) tidak pernah menjadi ahli Pas dan tidak tahu dari mana asal usulnya. Tiba-tiba sibuk cerita tentang parti yang dia pun tidak tahu menahu tentang hal ehwalnya,” katanya.

Katanya, Pas Selayang juga sudah bersedia untuk mempertahankan kemenangan sedia ada dan bersedia ke arah menawan parlimen Selayang Dun-Dun lain jika mendapat desakan.

“Saya kira lebih baik mereka sibuk tentang ahli partinya dari menyibuk dengan parti orang lain dengan mencari publisiti murahan.

“Pas sedang giat bekerja setiap hari mempertahankan kemenangan di Dun Taman Templer dan  Selayang umumnya.

Tambahnya, keyakinan ahli Pas juga semakin menunjukkan peningkatan dengan aktifnya ahli di seluruh peringkat.

“Dari kawasan hingga cawangan-cawangan melalui penubuhan cawangan-cawangan baru  dan pemerkasaan cawangan sedia ada bagi persiapan untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Wan Anwar melalui kenyataan di sebuah portal berita mendakwa 70 peratus ahli Pas yang aktif telah keluar parti untuk menyertai Amanah.

Laporan menyebut, mereka terdiri penggerak strategik dalam Pas pada pilihan raya lalu terdiri Wanita dan Pemuda, lapor Sinar Harian.


Putus Hubungan Dengan PKR Keputusan Tepat

No comments

18 May, 2017

Putus Hubungan Dengan PKR Keputusan Tepat

KUALA LUMPUR - Pemuda Pas mempertahankan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR walaupun dianggap sesetengah pihak akan merugikan parti itu.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pas tidak perlu fikir panjang apabila melibatkan perkara yang melanggar perjuangan parti.

“Ramai penganalisis yang melihat ia satu langkah tidak betul kerana sifir politiknya merugikan Pas. Tetapi Pas adalah parti yang memberikan perhatian kepada prinsip perjuangan.

“Kalau ada prinsip perjuangan yang dilanggar, kita tidak fikir panjang untuk ambil tindakan putus hubungan dalam tahaluf siyasi,” katanya, semalam.

Beliau memberitahu, keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamak itu juga adalah tindakan paling tepat.

“Kalau mengikut fahaman politik Barat, sesuatu yang dibuat mestilah mahu dapat sokongan ramai khususnya dalam PRU. Tetapi dalam politik Islam kita bukan saja melihat dari sudut kekuatan orang yang sokong.

“Pas adalah sebuah parti bertunjangkan politik Islam yang asasnya ialah politik yang benar.

"Jadi bagi Pemuda Pas, kita lihat putus hubungan dengan PKR ini adalah keputusan yang benar,” katanya.

Muhammad Khalil turut menafikan dakwaan yang mengatakan Pemuda Pas kurang bersuara dalam isu tersebut.

“Pemuda Pas sudah bawa perkara ini dalam muktamar untuk dibahas dan dilulus sebulat suara.

"Jadi ini satu suara dan signal yang sangat jelas daripada Pemuda Pas berkait hubungan dengan PKR.

“Majlis Syura Ulamak juga telah lihat daripada semua aspek sebelum membuat keputusan. Pemuda Pas pastinya mendokong penuh keputusan tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pihak Istana Masih Belum Terima Pengesahan Rasmi Azmin Ali

No comments

17 May, 2017

Pihak Istana Masih Belum Terima Pengesahan Rasmi Azmin Ali

SHAH ALAM - Istana Selangor mengesahkan masih tidak mendapat maklumat secara rasmi berkenaan kedudukan tiga exco Pas dalam Kerajaan Selangor daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, setakat ini kedudukan barisan exco kerajaan negeri masih status quo sehinggalah Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sehingga saat ini juga, pihak istana tidak menerima apa-apa surat rasmi daripada kerajaan negeri. Saya difahamkan Mohamed Azmin sekarang berada di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah Sultan Selangor sudah dimaklumkan mengenai kedudukan exco kerajaan negeri Selangor rentetan Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Difahamkan Mohamed Azmin berada di Belgium atas urusan rasmi dan dijangka pulang Ahad ini.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, hanya Sultan Selangor boleh mengarahkan tiga exco Pas berkenaan meletakkan jawatan.

Beliau dilaporkan berkata, Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib akan kekal memegang jawatan selagi diperkenan sultan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media sama turut mengesahkan parti itu tidak menerima sebarang makluman rasmi mengenai arahan agar exco mereka letak jawatan.

Sebelum ini,  beberapa media arus perdana melaporkan Mohamed Azmin mengarahkan exco Pas meletakkan jawatan namun dinafikan ketiga-tiganya.

Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan menegaskan bahawa jawatan exco yang disandang oleh ahli Pas dalam kerajaan negeri Selangor tidak boleh dilucutkan dengan mudah kerana mereka diikat dengan bai'ah, memetik laporan Sinar Harian.

PAS Terengganu Sedia Tanding 32 Kerusi Pada PRU14

No comments

15 May, 2017

PAS Terengganu Sedia Tanding 32 Kerusi Pada PRU14

KUALA NERUS - PAS Terengganu akan bertanding di semua 32 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), umum Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu Datuk Husain Awang.

Beliau berkata daripada kesemua kerusi itu, PAS optimis memenangi lebih banyak kerusi berbanding 15 kerusi yang disandangnya di Terengganu ketika ini berikutan sokongan barisan kepimpinan PAS negeri yang baharu selepas rombakan dilakukan PAS Pusat baru-baru ini.

"Kita akan bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN negeri. Kita bersedia menghadapi apa jua keadaan dan suasana termasuk pertandingan tiga penjuru," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Husain mengumumkan anggota jawatankuasa baharu Badan Perhubungan PAS Terengganu Sesi 2017-2019 dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka Satiful Bahri Mamat yang sebelum ini Pesurujaya PAS Terengganu kini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri I manakala ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri II.

Mengulas mengenai rombakan beberapa barisan kepimpinan PAS negeri oleh PAS Pusat baru-baru ini, Husain menafikan berlakunya perpecahan atau pergolakan dalaman parti seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya menafikan perkara itu sebab tiada sebarang krisis, tiada perpecahan dan perebutan jawatan yang berlaku dalam PAS berkaitan rombakan kepimpinan itu," katanya.

Sebaliknya, anggota-anggota jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri yang baharu akan memantapkan lagi saf kepimpinan PAS negeri di samping meneruskan legasi peimpin terdahulu.

Ditanya sama ada PAS Terengganu telah menyenaraikan calon bagi semua kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang, beliau berkata perkara tersebut belum diputuskan.

Husain juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRU14.- Bernama

Warga Pekan Tidak Mudah Terpedaya Hasutan

No comments

09 May, 2017

Warga Pekan Tidak Mudah Terpedaya Hasutan

KUANTAN -  Usaha NGO Anak dengan kerjasama Hisbah yang mahu memerangi rasuah di Felda dan memilih Parlimen Pekan sebagai lokasi utama hanya sekadar mengambil kesempatan menjatuhkan populariti Ahli Parlimen Pekan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan kedua-dua NGO yang turut bekerjasama dengan Amanah itu dilihat tidak mudah memandangkan Pekan adalah kubu kuat Najib.

Menurutnya, pengundi di Pekan pastinya tidak mudah terpengaruh dengan isu dibawa NGO tersebut.

“Pengundi di Pekan pastinya lebih bijak menilai kehadiran NGO berkenaan yang mungkin ingin meraih sokongan menjelang PRU14.

“Justeru, boleh saya katakan warga Pekan tidak mudah mengalihkan sokongan mereka terhadap Najib yang sudah memberi sumbangan kepada mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, keutamaan pastinya diberikan kepada Najib yang banyak membantu mereka sepanjang menjadi Ahli Parlimen dan Perdana Menteri.

Pada masa sama katanya, pengundi pasti mempertikai kehadiran NGO itu pada ketika ini dan bukannya sebelum ini.

“Pasti ada agenda di sebaliknya, namun tindakan secara bermusim ini  sudah boleh dinilai pengundi di Pekan,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Rafizi Berhasrat Jadi Ketua Audit Negara

No comments
Rafizi Berhasrat Jadi Ketua Audit Negara

PETALING JAYA - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhasrat memegang jawatan sebagai Ketua Audit Negara sekiranya Pakatan Harapan berjaya memerintah negara pada PRU14 nanti.

Menurutnya, jika diberi peluang, beliau ingin jawatan tersebut kerana mahu siasat 1MDB dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya sendiri mungkin akan dikenakan hukuman penjara tidak lama lagi. Oleh itu tidak mungkin akan bertanding dalam PRU kali ini.

"Cuma nak jadi Ketua Audit Negara sahaja kalau Pakatan Harapan dapat tumbangkan kerajaan BN," katanya seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Rafizi berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran DAP di Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, di majlis yang sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula berkata, ramai rakyat Malaysia rasa bangga kerana lahir sebagai rakyat Malaysia, tetapi keadaan ini berubah selepas terbongkarnya skandal 1MDB.

"Hari ini, ramai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara akan jadi malu kerana sentiasa ditanya oleh rakyat negara asing mengenai isu 1MDB," kata Kit Siang.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah ini, beliau akan terus berjuang dalam arena politik memandangkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah berusia 91 tahun masih bertenaga untuk meneruskan kariernya sebagai ahli politik.

"Saya sudah berusia 76 tahun, tetapi masih nampak muda kalau berbanding dengan Tun Mahathir yang sudah berusia 91 tahun.

"Tun Mahathir dilihat lebih rajin daripada saya. Beliau masih mampu berceramah di seluruh negara dan berjaya memasuki kawasan yang tidak pernah dimasuki parti pembangkang," kata Kit Siang, lapor Sinar Harian.

Pas Tidak Pernah Terima Dana

No comments

13 April, 2017

Pas Tidak Pernah Terima Dana

SHAH ALAM - Pas mengesahkan tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada atau melalui Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dalam apa bentuk sejak beliau tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden parti pada 2011.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, parti hanya menerima sumbangan tetap bulanan Nasharudin sebagai Ahli Parlimen Bachok yang berakhir pada 2013.

Menurut beliau, Nasharudin juga tidak pernah memegang jawatan dalam Pas sejak 2011 dan setelah ditamatkan sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak Pas.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas menyerahkan perkara Akuan Bersumpah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkaitan dakwaan Nasharudin menerima dana daripada 1MDB kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut undang-undang.

“Namun, Pas berpandangan ia kekal berstatus dengar cakap (hearsay) selagi individu yang dikatakan memberitahu ‘maklumat’ ini kepada beliau mengesahkannya.

“Dalam masa sama, Pas menggesa Rafizi agar segera membuat Akuan Bersumpah tentang dakwaan ‘bersifat rasuah’ yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin dan Chegubard baru-baru ini terhadap beliau dan beberapa pemimpin PKR yang lain untuk maklumat dan pertimbangan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, usaha media untuk mendapat penjelasan Nasharudin mengenai dakwaan Rafizi menemui jalan buntu selepas beliau gagal dihubungi.

Sebelum ini, Rafizi menerusi sidang media di Ibu Pejabat Invoke, hari ini berkata, pendedahan itu dibuat setelah seminggu beliau mendakwa ada wang dari akaun peribadi Najib mengalir kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas, memetik laporan Sinar Harian.

Pas Tidak Akan Runding Dengan DAP

No comments

04 November, 2016

Pas Tidak Akan Runding Dengan DAP

KUALA LUMPUR - Pas tidak akan berunding dengan DAP dalam usaha mewujudkan pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PU14) akan datang, kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz.    

"Kita dah jawab dahulu bahawa tak ada rundingan dengan DAP," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.    

Beliau mendakwa kenyataan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti telah ditokok tambah.    

Semalam, Abdul Hadi dilapor sebagai berkata Pas tiada masalah berbincang dengan mana-mana parti blok pembangkang termasuk DAP berhubung calon pilihan raya bagi mengelak pertandingan tiga penjuru tetapi DAP tidak boleh mencampuri keputusan yang dibuat Pas.    

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin sebelum ini dilapor sebagai berkata bahawa parti itu bersetuju dengan konsep satu lawan satu seperti diharapkan rakan pembangkang lain untuk menghadapi BN.    

Terdahulu, dalam sidang media di Parlimen, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan niat Pas yang mahu memperbaiki hubungan dengan rakan pembangkang lain dalam rundingan berhubung agihan kerusi.    

Beliau berkata partinya sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang bagi memastikan wujud pertandingan satu lawan satu pada PRU14. - Bernama

Pengambilalihan Parti Di Sabah Platform Untuk Shafie Berpolitik - Penganalisis

No comments

26 September, 2016

Pengambilalihan Parti Di Sabah Platform Untuk Shafie Berpolitik - Penganalisis
KUALA LUMPUR - Keputusan bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah, dilihat oleh penganalisis politik sebagai laluan pintas yang menyediakan platform politik untuk beliau bertanding pilihan raya umum akan datang.

Walaupun masih awal untuk mengetahui kesan daripada langkah beliau itu, penganalisis bagaimanapun percaya bahawa bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu tidak mungkin memberi kesan terhadap senario politik Sabah, mahupun menyebabkan sebarang perubahan besar dalam sokongan rakyat terhadap UMNO.

Khamis lepas, Shafie pergi ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya untuk memutuskan sebarang perubahan kepada nama parti, logo dan pelbagai butiran lain.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong, dan bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Penampang Darell Leiking.

Shafie, yang mengambil alih sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah pada 2013, memberitahu pemberita bahawa nama dan lain-lain butiran baharu parti itu hanya akan diumumkan selepas RoS meluluskannya.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata adalah jelas bahawa Mohd Shafie cuba untuk menjimatkan masa dan tenaga dengan mengambil alih parti sedia ada kerana urusan untuk mendaftarkan parti baru akan memakan masa.

"Dengan khabar angin yang tersebar bahawa pilihan raya akan diadakan lebih awal, mengambil alih (sebuah parti yang tidak aktif) adalah satu langkah bijak. Dia (Shafie) kini perlu mempunyai strategi (untuk memastikan kejayaan parti)," kata Jeniri, yang berkhidmat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tanpa sokongan kuat daripada peringkat akar umbi dan senarai calon-calon yang boleh dipercayai, agak sukar bagi parti itu untuk memenangi sokongan rakyat, katanya.

Selain itu, cabaran paling besar bagi Shafie adalah untuk menyatukan semua parti pembangkang di negeri itu di bawah satu pakatan.

"Dia tahu bahawa satu-satunya cara untuk dia (kekal dalam politik) adalah dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan bukannya menebarkan sayapnya ke Semenanjung. Inilah hakikat praktikalnya. Saya tidak memandang rendah terhadap Datuk Seri Shafie tetapi pengaruhnya adalah terhad kepada kumpulan tertentu," kata Jeniri.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Suffian Mansor berkata keputusan Shafie untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah mungkin berpunca daripada fakta bahawa kebanyakan ahli-ahli politik Sabah dan Sarawak tidak mahu dikaitkan dengan parti-parti dari Semenanjung.

"Adalah bijak bagi beliau untuk tidak menyertai PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Dia perlu mendapat sokongan akar umbi masyarakat tempatan. Seperti yang anda tahu, rakyat di Sabah dan Sarawak lebih suka menyokong parti tempatan. Jika dia bergabung dengan PPBM, pasti ramai yang akan akan menyoalnya tentang bagaimana dia akan berjuang untuk membela hak-hak Sabah," katanya.

Suffian, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Shafie mungkin telah mengkaji pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan menyedari bagaimana sentimen tempatan  memberi kesan terhadap keputusannya dan membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar.

(Pada pilihan raya Sarawak 7 Mei lepas, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.)

"Pertama, dia perlu menambat hati dan minda pengundi Sabah tetapi saya rasa akhirnya partinya akan bergabung dengan PPBM.

"Tetapi kini, masalah yang paling besar adalah bagaimana parti itu akan bekerjasama dengan PKR di Sabah. DAP tidak menjadi masalah kerana mereka lebih cenderung untuk bertanding di kawasan majoriti Cina; PKR, di sisi lain, akan memilih untuk kerusi campuran dan juga majoriti Islam," kata Suffian.

Pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial UNIMAS Dr Arnold Puyok percaya bahawa Shafie berkemungkinan "menyekutukan dirinya" dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu atau USNO Baru, yang ditubuhkan pada 2013.

"Bagaimanapun, saya kira pengundi Islam berkemungkinan besar akan menyokong CM (Ketua Menteri) Musa Aman dan pemimpin-pemimpin Bajau lain seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia)," katanya.

Profesor Madya di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penyertaan parti yang diterajui Shafie dalam politik Sabah boleh menjejaskan PKR lebih daripada BN atau parti-parti pembangkang lain seperti DAP.

"Kesan awal terhadap PKR berlaku selepas Darell keluar parti (untuk menyertai Shafie). Di Sabah, adalah perkara biasa untuk ahli-ahli politik melompat dari satu parti kepada yang lain. Sekarang kesemua mata tertumpu kepada (Ketua PKR Sabah) Datuk Seri Lajim Ukin... pastinya menarik untuk melihat apakah langkah beliau seterusnya. Adakah beliau akan menyertai parti Shafie?"

Awang Azman berkata politik Sabah sangat bersifat kenegerian dan pembentukan satu lagi parti pembangkang akan menolak PKR, yang merupakan parti nasional, terpinggir ke satu sudut.

Lajim, yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meninggalkan UMNO pada 2012 untuk menyertai PKR. Beliau kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik dan Keselamatan Universiti Malaysia Sabah, Dr Zaini Othman pula berpendapat bahawa adalah terlalu awal untuk meramalkan kesan langkah terbaru Shafie.

"Ia adalah jelas bahawa dia mahu menjadikan kehadirannya dirasai di Sabah selepas meninggalkan UMNO. Orang ramai telah menjangkakannya tetapi bagi saya, ia masih terlalu awal untuk menganalisis kesan politiknya ke atas Sabah dan pada peringkat kebangsaan," katanya. - Bernama

Tidak Perlu Pilihan Raya Mengejut - Azmin Ali

No comments

19 September, 2016

Tidak Perlu Pilihan Raya Mengejut - Azmin Ali
SHAH ALAM - Selangor tidak perlu mengadakan pilihan raya mengejut berikutan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya tidak boleh mengkhianati mandat yang diberikan rakyat Selangor kepada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

"Tidak perlu (pilihan raya mengejut) sebab mandat yang diberi rakyat Selangor pada 2013 adalah amat besar, dan mandat itu diberi untuk tempoh lima tahun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Agensi-agensi Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Penasihat DAP Lim Kit Siang supaya Selangor mengadakan pilihan raya mengejut ekoran cadangan persempadanan semula, yang didakwa sengaja 'mengubah' peta negeri itu.

Selain Lim, beberapa pemimpin pakatan pembangkang lain mempersoal persempadanan semula yang diumumkan SPR pada Khamis lepas.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohamed Azmin berkata kerajaan Selangor akan meneliti usul persempadanan semula kawasan pilihan raya berkenaan sebelum membuat sebarang bantahan terhadap cadangan tersebut. Beliau berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan sekiranya persempadanan itu dilihat tidak mengikut terma atau peruntukan yang telah ditetapkan.

"Kita sedang teliti (persempadanan itu) dan petang ini, saya akan bertemu dengan barisan peguam untuk melihat kemungkinan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada ruang bagi maksud tersebut," katanya.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan bahawa kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan satu kerusi baharu Damansara, yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.- Bernama

Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh Sokong PM

No comments

24 March, 2016

Pengerusi KBUP, Datuk Yusof A Bakar, berkata selain itu pergerakan ini juga ditubuhkan untuk memastikan UMNO Pagoh tidak terasing atau bersendirian dalam soal membela masyarakat, rakyat dan pengundi di kawasan terbabit. Foto - BHarian.

PAGOH - Sekumpulan ahli dari tujuh cawangan UMNO Bahagian Pagoh hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. 

Memetik laporan BHarian, Gerakan yang dikenali sebagai Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh (KBUP) itu ditubuhkan untuk memastikan UMNO Bahagian Pagoh terus sentiasa bersama arus perdana UMNO Pusat. 

Pengerusi KBUP, Datuk Yusof A Bakar, berkata selain itu pergerakan ini juga ditubuhkan untuk memastikan UMNO Pagoh tidak terasing atau bersendirian dalam soal membela masyarakat, rakyat dan pengundi di kawasan terbabit. 

"Bukan kami tidak sayang Tan Sri Muhyiddin Yassin (Ketua UMNO Bahagian Pagoh) tetapi kami lebih sayangkan parti UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO tetap menjadi wadah perjuangan orang Melayu. 

"Kami sangat terkilan dan kecewa apabila Muhyiddin sanggup bersekongkol dengan DAP. Kami orang Melayu sudah lama menolak dan menentang DAP kerana mereka menentang dasar Melayu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Taman Pagoh Jaya di sini. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi KBUP, Datuk Zaaba Aman, wakil ketua cawangan dan ketua sayap cawangan UMNO Bahagian Pagoh. Yusof berkata, pihaknya juga selepas ini akan turut mengadakan sesi penerangan kepada semua ahli UMNO Pagoh secara harmoni bagi memastikan parti ini akan terus utuh pada masa depan.

Najib Perlu Sokongan Anggota UMNO Untuk Terus Bekerja Demi Rakyat

No comments

10 March, 2016

UMNO terus tetap bertahan sehingga sekarang untuk membela bangsa Melayu serta berjaya memperjuangkan dasar bermanfaat untuk rakyat biarpun pernah menghadapi pelbagai cabaran sejak penubuhan parti itu. - Gambar Fail

KUANTAN - Pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang komited memberikan fokus kepada agenda pembangunan negara dan kebajikan rakyat, memerlukan sokongan padu semua anggota UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata sehubungan itu peringkat akar umbi UMNO bahagian itu bersatu hati dengan berikrar taat setia mendukung dan menyokong penuh kepimpinan Najib yang juga Presiden UMNO.

"UMNO Bahagian Kuantan telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama dengan saf kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Pahang serta mengutuk sekeras-kerasnya cubaan mengguling kerajaan melalui 'Deklarasi Mahathir' ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Isu-Isu Semasa Parlimen Kuantan di sini, Rabu malam yang dihadiri 420 anggota UMNO peringkat cawangan dan bahagian.

Wan Adnan berkata UMNO Bahagian Kuantan turut kesal dan kecewa dengan tindakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama bekas pemimpin parti dan Barisan Nasional (BN) yang bersekongkol dengan pembangkang untuk cuba menjatuhkan kerajaan yang ditadbir Najib.

Katanya tindakan seumpama itu berada di luar kerangka perundangan serta melanggar prinsip dan perjuangan yang pernah didukung Dr Mahathir dan bekas pemimpin yang suatu ketika dahulu bersama wadah perjuangan BN.

"Ia merupakan satu pengisytiharan 'perang' kepada keseluruhan anggota UMNO dan rakyat yang telah memberi mandat kepada kerajaan yang diterajui Datuk Seri Najib.

"Kemelut persepsi serta konspirasi yang cuba dicetuskan tokoh itu yang memanipulasi situasi telah memberi gambaran negatif ketidakstabilan politik dan pentadbiran kerajaan dan dirancang untuk mencetuskan panik dan ketidakyakinan kepada kepimpinan yang ada," katanya.

Wan Adnan berkata UMNO terus tetap bertahan sehingga sekarang untuk membela bangsa Melayu serta berjaya memperjuangkan dasar bermanfaat untuk rakyat biarpun pernah menghadapi pelbagai cabaran sejak penubuhan parti itu.

Dalam pada itu, beliau meminta pengurusan tertinggi UMNO mempertimbangkan untuk memecat keanggotaan beberapa pihak yang turut bersama Dr Mahathir menghadiri majlis menandatangani 'Deklarasi Mahathir' dengan pembangkang yang mahukan Najib meletakkan jawatan.-Bernama

Annuar Musa Dedah Plot Mahathir Capai Agenda Politik

No comments
Annuar berkata, bekas perdana menteri itu merupakan seorang strategis dan sepanjang karier politiknya, matlamatnya sentiasa menghalalkan cara. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup melakukan apa sahaja termasuk mempergunakan orang lain demi mencapai agenda politik peribadinya.

Annuar berkata, bekas perdana menteri itu merupakan seorang strategis dan sepanjang karier politiknya, matlamatnya sentiasa menghalalkan cara.  

"Beliau seorang strategis. Kita perlu lihat beberapa langkah ke hadapan termasuk apa yang telah dilakukan baru-baru ini (Deklarasi Mahathir yang bertujuan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Bagi Dr Mahathir, (apabila bersekongkol dengan pembangkang), matlamat menghalalkan cara dan beliau sangat cekap dalam menggunakan orang lain demi merealisasikan impiannya," kata Annuar ketika menjadi tetamu program 'Soal Jawab' di TV3, Sri Pentas, Rabu.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata permainan politik itu juga dapat dilihat sepanjang beliau (Dr Mahathir) memimpin negara ini sebagai perdana menteri ke-4.

"Ada satu waktu, beliau tidak suka kepada Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li kerana sebab tertentu. Bayangkan, Ku Li, orang yang bina PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), urus perbelanjaan parti, juga Naib Presiden (ketika itu) tetapi Mahathir tidak suka caranya. 

"Oleh kerana beliau tidak mahu mengambil Ku Li, maka atas kepintaran politiknya, jawatan itu dipertandingkan dan secara langsung dia beri sokongan kepada (Datuk Seri) Musa Hitam (kini Tun) untuk mengalahkan Ku Li," katanya.

Annuar mendakwa, namun selepas Dr Mahathir tidak selesa dengan pengaruh Musa, beliau mula mempergunakan Tun Ghafar Baba menyingkirkan Musa. 

Namun selepas itu, Dr Mahathir berpaling tadah lagi dan memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga memenangi jawatan menjadi timbalan presiden Umno dengan menyingkirkan Ghafar. 

"Apabila perjalanan politik Anwar menjadi kuat malah membina kekuatannya sendiri yang akhirnya menimbulkan lagi kebimbangan, maka Dr Mahathir sekali lagi menggunakan strategi dan permainan yang sama untuk menyingkirkan Anwar," katanya. 

Annuar berkata, Dr Mahathir kemudian sekali lagi mempergunakan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang merupakan anak jati Pulau Pinang untuk menjadi Timbalan Presiden Umno yang seterusnya menjadi Perdana Menteri. 

"Usaha itu dengan harapan kuasa masih di tangan Dr Mahathir sehingga di saat beliau tidak menyukai Paklah, Datuk Seri Najib pula digunakan. Dan terkini, beliau menggunakan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula untuk mengatur segalanya bagi memastikan usaha beliau menjatuhkan Najib berjalan lancar.   

"Memandangkan usaha tersebut gagal, Dr Mahathir menjelmakan pula Deklarasi Rakyat (Jumaat lepas). Malah beliau sanggup bekerjasama dengan pembangkang setelah tidak mendapat sokongan dari Umno sendiri termasuk dalam isu pemecatan anaknya, (Datuk Seri) Mukhriz," dakwanya.

Annuar berkata, apa yang dilakukan Mahathir itu jelas tidak melambangkan perjuangannya dalam parti tetapi lebih kepada dendam, kepentingan dan agenda peribadi. - Bernama

Pas Tidak Terlibat Usul Undi Tidak Percaya MB Terengganu - Hadi

No comments

09 March, 2016

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak terlibat dengan gerakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang mencadangkan usul itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.- Gambar Fail

KUALA LUMPUR - PAS mengambil pendirian berkecuali dalam isu cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman semalam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak terlibat dengan gerakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang mencadangkan usul itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

"Sehingga kini kita (PAS) tidak ambil bahagian. PAS hanya lihat isu-isu yang munasabah dan bukan isu untuk merebut jawatan," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, di sini Rabu.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai cadangan usul dibawa Ahmad, yang juga bekas menteri besar Terengganu selama enam tahun bermula 2004, sebelum mengakhiri perbahasannya di DUN itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pendirian PAS mengenai 'Deklarasi Mahathir', Abdul Hadi berkata parti itu tidak bersetuju dengan tindakan 'gopoh'.

"Saya sebelum ini sudah beri kenyataan bahawa ada perkara yang kita setuju dan ada yang tidak setuju mengenai deklarasi itu. Yang kita setuju adalah perubahan. Yang kita tidak setuju adalah gopoh.

"Kita mahu perubahan secara demokratik sama ada pilihan raya atau undi tidak percaya. Undi tidak percaya mestilah undi di Parlimen, mestilah (melibatkan) orang UMNO sendiri. Kalau UMNO tak ubah dan kita (PAS) saja yang ada 14 kerusi nak buat apa, maka sia-sialah. Mesti ada kemunasabahannya," katanya.

Jelasnya, PAS tidak akan bersetuju dengan perkara-perkara yang tidak mengikut proses demokrasi.

Beberapa anggota UMNO dan pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu menandatangani deklarasi yang antara lain mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai perdana menteri.-Bernama

Pemimpin Akar Umbi Saran Pemutihan Umno

No comments
Kumpulan itu turut menyerahkan memorandum menyatakan kesetiaan kepada Najib yang juga Perdana Menteri kepada wakil Ibu Pejabat Umno. Foto - TMI
KUALA LUMPUR - Umno digesa melancarkan 'pemutihan' dalaman secara besar-besaran terhadap semua pihak yang menentang pentadbiran presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Kelab Naib Ketua Umno Bahagian 1Malaysia, Datuk Muhammad Anuar Mohd Yunus berkata, usaha pemutihan itu perlu dimulakan dengan pemecatan Timbalan Presiden Umno yang digantung jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kami juga menyarankan Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat keahlian Tan Sri Sanusi Junid.

"Susulan itu kami juga mengusulkan harapan agar Majlis Tertinggi mempertimbangkan usaha pemutihan yang lebih luas untuk membersihkan parti daripada mana-mana individu yang tidak mampu sehaluan, taat dan setia bersama pucuk pimpinan parti," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Hadir sama pada sidang media itu ialah 80 naib ketua Umno bahagian dari seluruh negara.

Kumpulan itu turut menyerahkan memorandum menyatakan kesetiaan kepada Najib yang juga Perdana Menteri kepada wakil Ibu Pejabat Umno.

Selain itu Muhammad Anuar berkata, kumpulan itu turut mendesak supaya kerajaan melucutkan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipengerusikannya iaitu Petronas, Proton Holdings serta Yayasan Kepimpinan Perdana.

Gesaan itu dibuat susulan tindakan Dr Mahathir bersama 50 yang lain termasuk pemimpin dan aktivis pembangkang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' bagi menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Turut sama ialah Muhyiddin Yassin dan Mukhriz.

Deklrasi itu turut mendapat sokongan daripada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik serta Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Kami melafazkan kekecewaan dan rasa tersinggung yang amat mendalam di atas tindakan dan penglibatan Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz serta segelintir mantan pemimpin dan ahli Umno, yang telah secara terbuka bersekongkol untuk menurunkan Datuk Seri Najib secara tidak berperlembagaan.

"Kami mengecam dan menolak sekeras-kerasnya segala bentuk penglibatan mantan pemimpin, pemimpin semasa serta para ahli Umno yang sanggup bersetuju, bersekutu dan menurunkan tandatangan ke atas sebuah dokumen yang kononnya bersifat Deklarasi Rakyat," katanya, lapor mStar.

Jangan Kaitkan Saya - Ku Li

No comments
Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu pemberita di Parlimen bahawa isu tersebut tidak penting untuk dirinya dan tiada kena-mengena dengan beliau.- Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Tengku Razaleigh Hamzah tidak mahu diheret bersama ke dalam isu berkaitan cadangan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno.

Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu pemberita di Parlimen bahawa isu tersebut tidak penting untuk dirinya dan tiada kena-mengena dengan beliau.

Ketika ditanya jika beliau berpendapat kedua-dua pemimpin itu boleh dipecat daripada Umno kerana menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, "Itu tidak penting. Janganlah heret saya ke dalam perkara karut ini."

Beliau berkata ia terpulang kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan tindakan kepada kedua-dua pemimpin itu.

Ahli MT Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya dipecat daripada Umno kerana mereka telah bertindak melampaui batasan, memetik laporan mStar.
Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo