SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan laporan dua akhbar tempatan kelmarin, bahawa beliau pernah menawarkan AS$2 juta (RM8.6 juta) kepada bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo dalam bentuk kontrak kerajaan sekiranya pembangkang mentadbir negara.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar-akhbar tersebut.
“Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya saya pernah menawarkan AS$2 juta kepada Justo dalam bentuk kontrak kerajaan jika parti pembangkang memegang kuasa. Saya tidak pernah berjumpa dengannya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Dalam laporan akhbar tersebut, Nurul Izzah dikatakan berminat membeli maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri Justo pada 2011.
Bagaimanapun, Justo dalam pengakuannya berkata, dia menolak tawaran Nurul Izzah kerana mahu AS$2 juta itu dalam bentuk wang tunai.
Selain Nurul Izzah, nama pemimpin pembangkang lain yang turut dikaitkan dalam penjualan maklumat tersebut ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Nurul Izzah berkata, persoalan utama bukan mengenai dokumen dicuri Justo tetapi apa yang lebih penting kandungan dokumen itu.
“Ini termasuk laporan-laporan oleh The Wall Street Journal, Sarawak Report dan The Edge berkenaan rasuah besar, pengubahan wang haram, penyelewengan dan dakwaan rasuah pilihan raya dikaitkan dengan 1MDB,” katanya.
Beliau turut mendakwa, percubaan mengaitkan pembangkang dengan Justo adalah untuk mengalihkan tumpuan daripada isu 1MDB dan derma berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami menuntut agar akaun bank Najib didedahkan, terutamanya kerana ia mengandungi elemen rasuah besar daripada bank-bank berikut; AmIslamic Bank Berhad, Affin Islamic Bank Berhad dan Goldman Sachs (Malaysia) Sdn Bhd.
“Ini merupakan persoalan dan isu sebenar yang patut dijawab oleh Perdana Menteri. Beliau patut menghentikan penggunaan media kawalan BN dan kenyataan Justo untuk mengalihkan tumpuan daripada salah laku beliau sendiri,” katanya, dipetik dari Sinar Harian.
No comments
Post a Comment