TABOH NANING - “Saya hanya ingat mati dan berdoa ada yang membantu,” kata Nurul Syafiqqah Shamsudin, 19, salah seorang mangsa yang nyaris dihanyutkan air deras akibat banjir di di Jalan Datuk Megat Alam Melintang, Kampung Cherana Putih, petang semalam.
Nur Syafiqqah yang juga pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dekat sini, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, dia dalam perjalanan pulang dari tempat belajar ke rumah sewa bersama rakan karibnya Nurain Annisah Mohd Zulkifli, 19.
Namun, katanya, ketika melalui satu kawasan dipenuhi air, kereta yang dipandu Nurain Annisah tidak dapat dihidupkan dan menyebabkan hilang kawalan sebelum kereta tersebut dibawa arus deras sejauh lima meter sehingga hampir termasuk ke dalam parit berdekatan.
Menurutnya, dia yang ketika itu berseorangan dalam kereta memandang rakannya, Nurain Annisah berjaya keluar dari kereta tersebut terus berusaha menyelamatkan diri dengan membuka kereta sehingga menyebabkan telefon bimbitnya basah.
“Saya panik lagipun saya tidak tahu berenang dan mengucap banyak sebelum meredah air setinggi paras dada untuk ke tempat yang tidak dinaiki air.
“Apa yang berlaku buat saya nak belajar berenang selepas ini dan bersyukur kami selamat,” katanya yang berasal dari Ampangan, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Nurain Annisah yang mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal berkata, disebabkan terlalu panik, dia segera membuka pintu kereta dan tidak menyedari telah meninggalkan Nur Syafiqqah bersendirian dalam kereta sebelum berpatah balik ke arah rakan baik yang dikenali sejak sekolah rendah.
“Saya panik dan terkejut menyebabkan saya keluar terlebih dahulu dari kereta namun., nasib baik Nur Syafiqqah dapat membuka pintu di bahagiannya sebelum keluar menyelamatkan diri.
“Dalam keadaan itu, saya sempat menghantar mesej melalui WhatsApp ke dalam grup rakan untuk meminta bantuan daripada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, seorang rakannya, Syafiq Hashim, 21, berkata, dia yang berada di rumah sewa di Simpang Ampat terkejut membaca mesej Nurain Annisah di dalam grup.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi bomba sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama 10 orang rakan yang lain untuk membantu kedua-dua rakannya.
“Saya hanya dapat mesej minta tolong tapi tidak dinyatakan lokasi sebelum menghubungi bomba dan dimaklumkan kawasan tersebut.
“Alhamdulillah mereka berdua berjaya diselamatkan biarpun terpaksa menunggu hampir 30 minit sebelum bantuan tiba,” katanya.
Dalam pada itu, sebuah jentera bomba dan penyelamat dengan kekuatan sembilan anggota tiba di tempat kejadian dan berjaya membawa mangsa keluar dari kawasan terbabit,” katanya, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment