KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah unit di Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci ketika cuba melarikan diri dari rumah kawan wanitanya di Pantai Dalam, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Senior Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata dalam kejadian 11 malam itu, mangsa, Mohd Shaz Zereen Mohd Yaziz, 28, dipercayai cuba melarikan diri melalui tingkap belakang rumah itu apabila pintu rumah itu diketuk.
"Mangsa panik setelah pintu rumah kawan wanitanya diketuk oleh individu tidak dikenali menyebabkan mangsa cuba melarikan diri sebelum terjatuh.
"Mayat mangsa ditemui di aras bawah PPR itu dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan. Penduduk yang menemui mayat itu telah bertindak menghubungi polis," katanya kepada Bernama hari ini.
Kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah didapati dalam kes itu, katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat. - Bernama
No comments
Post a Comment