Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Ibarat Tinggal Dalam Hutan

Beberapa penduduk di Kampung Tersusun, Bukit Larang di sini merasakan mereka bagai tinggal di dalam hutan, berikutan beberapa lot tanah di sekeliling rumah ditumbuhi semak samun dan diabaikan pemilik tanah sejak kira-kira 15 tahun lalu.

13 April, 2015

/ by Admin
TELOK EMAS - Beberapa penduduk di Kampung Tersusun, Bukit Larang di sini merasakan mereka bagai tinggal di dalam hutan, berikutan beberapa lot tanah di sekeliling rumah ditumbuhi semak samun dan diabaikan pemilik tanah sejak kira-kira 15 tahun lalu.

Paling dihimpit masalah itu, Rosli Ali, 72, apabila rumahnya berada di tengah-tengah lot tanah terbiar tersebut sehinggakan ketinggian semak samun sudah hampir menyamai paras bumbung rumah.

Beliau yang juga Pemangku Yang Dipertua Persatuan Penduduk Kampung Tersusun mendakwa, tanah berkenaan dimiliki oleh individu yang tidak menetap di kawasan itu dan pemiliknya tidak pernah datang membersihkan tanah mereka.

“Kami sentiasa berdepan masalah kehadiran binatang liar seperti babi hutan, kera dan ular berbisa. Sudah banyak kali ular tedung selar menceroboh di halaman rumah kami.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya terpaksa upah orang membersihkannya dan terpaksa keluar duit belanja sendiri. Lama kelamaan apabila tidak tahan, saya habiskan RM16,000 untuk bina tembok sekeliling rumah.

“Memang sebelum ini kerajaan janji beberapa lot tanah berkenaan hendak didirikan sekolah agama tetapi perkara itu sudah dibangkitkan sejak lima tahun lalu dan sehingga sekarang tidak buat apa-apa, malah semak samun semakin meninggi,” katanya kepada Sinar harian semalam.

Penduduk, Daud Mahmud, 66, berkata, pelbagai usaha pernah dilakukan bagi menyelesaikan masalah itu termasuk meminta bantuan Pejabat Daerah dan Tanah.

“Diharap bukan sahaja pihak Pejabat Daerah dan Tanah tetapi pemilik sendiri mungkin boleh tampil untuk membersihkan kawasan berkenaan.



“Saya tidak mahu hingga berlaku sebarang kejadian tidak diingini baru pemilik mahu pun pihak bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Abu Samah Abdullah, 45, berkata, keadaan itu membuatkan penduduk merasakan tidak tenteram meskipun tinggal di halaman sendiri.

“Pemilik tanah sememangnya tidak berdepan masalah ini, namun bagi kami di sini, ia mendatangkan bahaya termasuk kehadiran binatang liar apabila setiap hari begitu banyak nyamuk, kadang-kadang ada ular atau babi yang datang ke kawasan rumah. Situasi ini amat membimbangkan kami.

“Apa yang kami tahu, perkara ini sudah banyak kali diajukan kepada JKKK dan Japerun sendiri tetapi tiada sebarang tindakan diambil,” katanya, lapor Sinar Harian.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo