Sudah sampai masa untuk UMNO Kelantan mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri daripada PAS sekiranya UMNO betul-betul berkeinginan ke arah mencapai matlamat itu.
Pada saat kritikal ini, sudah semestinya untuk UMNO memanfaatkan masa yang ada sekarang dan hari-hari mendatang untuk mempersiapkan, memperkemas dan memperkasakan jentera pilihan raya di semua 534 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Kelantan.
Pelbagai isu menyelubungi dan membelenggu kerajaan negeri terutama isu membabitkan rakyat marhaen Kelantan secara langsung seperti isu pembalakan di Ulu Kelantan, isu bantuan kepada mangsa banjir, isu Orang Asli, isu air bersih, isu sampah, isu pembangunan di Lembah Sireh, isu projek Kampung Warisan di Kampung Laut Tumpat, isu karbon kredit dan lain-lain isu lagi yang dilihat tiada kesudahannya.
Di samping kegagalan kerajaan PAS membangunkan Kelantan secara total, maka rakyat Kelantan sama ada yang tinggal di Kelantan dan juga yang tinggal di luar Kelantan sedang memerhati dan berasakan perlu ada perubahan besar berlaku dalam politik di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti sekiranya Kelantan ingin maju dan bergerak ke depan seiring negeri-negeri lain yang dikuasai BN/UMNO. Masa sudah sampai untuk kerajaan baharu dibentuk di Kelantan selepas PRU-14 nanti bagi membawa perubahan baru.
Sama ada UMNO mampu untuk menawan Kelantan atau sebaliknya, bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan, wibawa dan keberanian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa mengemudi UMNO/BN Kelantan dalam membuat percaturan strategi politik dan gerak kerja dalam menghadapi PRU-14.
Sejauh mana UMNO pandai mengambil peluang dan kesempatan terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan PAS Kelantan juga bergantung kepada kebijaksanaan Tok Pa dan pimpinannya.
Saya yakin beliau dan pimpinannya begitu matang mengenai keunikan politik di Kelantan dan seterusnya memaksa beliau dan pimpinannya sentiasa peka serta mampu membawa idea baru bagi mengatur strategi dan gerak kerja untuk mengembalikan Kelantan di bawah kepemimpinan UMNO/BN.
Dalam kita memperkatakan kemampuan UMNO/BN untuk menawan Kelantan selepas PRU14 nanti, ia banyak bergantung kepada calon yang akan diketengahkan oleh UMNO nanti. Sudah sampai masanya untuk UMNO Kelantan mengetengahkan calon yang mampu menang dan disenangi rakyat.
Kebijaksanaan Tok Pa
Di sinilah memerlukan kebijaksanaan dan keberanian Tok Pa dalam membuat percaturan dan pemilihan calon-calon ini. UMNO Kelantan sepatutnya sudah di peringkat akhir untuk 'memuktamadkan' calon mereka yang boleh dikategorikan sebagai mampu menang dan disenangi rakyat yang akan ditonjolkan di dalam PRU-14 seperti saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Maka kepemimpinan dan ahli UMNO Kelantan perlu menerima dengan hati terbuka sekiranya calon yang dipilih bertanding pada PRU-14 bukan dari kalangan kepemimpinan parti. Mereka harus menerima calon berkenaan demi memastikan kemenangan parti dan bukannya kemenangan individu. Mereka juga perlu elakkan budaya 'cah keting' sekiranya tidak terpilih sebagai calon.
Sekiranya pucuk pimpinan UMNO Kelantan boleh menerima saranan Ahmad Zahid, maka tiada sebab untuk UMNO Kelantan tidak boleh menawan kembali Kelantan sekiranya calon mereka adalah yang mempunyai ciri-ciri 'mampu menang' dan 'disenangi'.
UMNO Kelantan perlu yakin pada diri mereka sendiri bahawa mereka sudah bersedia dan mampu untuk menggantikan PAS dan seterusnya menawan kembali Kelantan selepas hampir tiga dekad Kelantan berada di tangan PAS.
Mereka perlu bersedia dan komited mulai hari ini dan hari-hari seterusnya, terutama ke arah untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang betul-betul memenuhi cita rasa dan cakna rakyat di Kelantan.
Apa yang penting sekarang ini ialah kemantapan dalam pengurusan UMNO itu sendiri dan sejauh mana gerak kerjanya untuk menawan Kelantan serta kesungguhan dan kesediaan pemimpinnya untuk berkorban demi Kelantan yang tercinta serta sedia melupai kepentingan diri walaupun mereka tidak dicalonkan.
Bagi menarik sokongan rakyat Kelantan terutama sokongan generasi muda dan pengundi luar yang bekerja di luar Kelantan adalah disarankan supaya UMNO Kelantan yang diterajui berani mengambil langkah yang agak luar biasa tetapi selari dengan saranan Ahmad Zahid, iaitu memperkenalkan calon pelapis berwibawa, matang dan mempunyai integriti tinggi dalam PRU-14 nanti.
Mereka ini adalah calon yang mampu menang dan disenangi rakyat Kelantan. Seboleh-bolehnya UMNO perlu membuat rombakan calon yang lalu, terutama mereka yang sudah beberapa kali kalah. Sudah sampai masanya UMNO mencari jalan untuk melahirkan lebih ramai calon pelapis yang berupaya memimpin masa depan negeri Kelantan khususnya dan negara Malaysia amnya.
Ganti calon tak produktif
Calon lama yang tidak produktif perlu diganti dengan muka baharu. Golongan profesional muda dalam UMNO perlu diberi peluang untuk diangkat menjadi calon. Mereka yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan memiliki ciri-ciri kepemimpinan yang unggul serta mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, perlu diketengahkan.
Nama pemimpin muda UMNO Kelantan seperti Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Faizal Daud dan lain-lain lagi perlu diketengahkan oleh Tok Pa dalam PRU-14 nanti. Pengumuman calon-calon muda ini perlu dibuat awal dengan harapan supaya pihak pucuk kepemimpinan di peringkat bahagian boleh menerima mereka dengan hati terbuka dan ikhlas.
Bagaimanapun, calon lama yang masih dapat memberi daya tarikan kepada pengundi dan mempunyai integriti yang tinggi, seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Ramzi Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Md Alwi Che Amat, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan beberapa nama lagi perlu dikekalkan kerana mereka adalah aset tersendiri kepada UMNO dan dilihat berjaya memuaskan hati rakyat di kawasan masing-masing.
Saya yakin UMNO Kelantan mampu menawan kembali Kelantan sekiranya kebijaksanaan dan kewibawaan serta keberanian Tok Pa digunakan sebaik mungkin dalam membuat percaturan gerak kerja dan strategi politik dalam menghadapi PRU-14 nanti. Sudah sampai masanya, calon pelapis UMNO yang berwibawa, matang dan mempunyai integriti tinggi diberi peluang.
Saya optimistik sekiranya Tok Pa berjaya dan bijak dalam membuat percaturan calon-calon ini dan mampu menangani segala permasalahan atau isu yang membelenggu UMNO negeri serta bijak mengatur strategi dan gerak kerja politik, maka peluang UMNO untuk menawan kembali Kelantan adalah cerah.
Oleh,
Prof Dr Rusdi Omar
No comments
Post a Comment