Responsive Ad Slot

Showing posts with label Trending. Show all posts
Showing posts with label Trending. Show all posts

' usah jadi kuda tunggangan golongan tidak bertanggungjawab' - Najib Razak

No comments

24 April, 2018

' usah jadi kuda tunggangan golongan tidak bertanggungjawab' - Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak menjadi ejen kerosakan dengan menyebarkan fitnah dimainkan pembangkang pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau menegaskan bahawa penyebaran fitnah boleh memporak-perandakan hubungan persahabatan dan kekeluargaan malah, lebih teruk lagi, mampu bawa kehancuran serta kebinasaan kepada negara.

“Ini bukan kali pertama saya post perkara ini, tapi di musim pilihan raya ini semakin teruk fitnah-fitnah dilontarkan pembangkang, bagaikan #TsunamiPHitnah.

“Jadi, saya ingin ingatkan sekali lagi, usahlah kita jadi tali barut dan kuda tunggangan golongan tak bertanggungjawab ini,” katanya menerusi laman Twitter beliau hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan kononnya 15 juta sarung jari plastik dibekalkan pada PRU14 untuk membolehkan pemilih mengundi banyak kali.

Sambil menyifatkan fitnah itu sebagai ‘jahat’, gambar itu sebaliknya menjelaskan sarung jari berkenaan bukanlah seperti yang didakwa tetapi ia merupakan jari palsu untuk mereka yang terpotong jari terutama dalam kes gangster ‘Yakuza’ di Jepun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian bagi PRU14 dan 28 April sebagai hari penamaan calon sementara pengundian awal ialah pada 5 Mei. - Bernama

Mandat Baharu Dan Kukuh Untuk Teruskan Transformasi - Najib Razak

No comments

06 April, 2018

Mandat Baharu Dan Kukuh Untuk Teruskan Transformasi - Najib Razak

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN memerlukan mandat baharu yang kukuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk terus melakukan transformasi lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat dan negara, membawa Malaysia ke mercu kejayaan.

Beliau berkata kerajaan BN telah mampu menyempurnakan proses penyampaian dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan malah telah terbukti mampu menyampaikan dan akan terus melaksanakan penyampaian itu.

"Seandainya, rakyat terus memberi mandat, memilih kerajaan BN yang sedia ada untuk kekal memerintah bagi tempoh lima tahun ke hadapan, Insya-Allah, saya bersama pucuk pimpinan menjanjikan akan terus menyempurnakan tugas kita dengan lebih berkesan dan unggul demi mengangkat maruah negara agar terjulang gagah sebagai 20 negara terbaik lagi terhebat di dunia menjelang TN50," katanya.

Dalam ucapan khas pembubaran Parlimen Ke-13 yang disiarkan secara langsung di saluran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) serta Facebook rasmi beliau, Najib berikrar dan berjanji bahawa beliau bersama pucuk pimpinan kerajaan BN akan membangunkan negara ini dari Perlis ke Sarawak dan Sabah agar tidak ada satu kawasan atau rakyat yang akan ketinggalan, atas prinsip "tiada siapa yang tercicir.

"Demi rakyat dan negara tercinta, marilah kita teruskan perjalanan kejayaan transformasi yang lebih hebat bersama BN," katanya.

Najib berkata beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan BN akan turun menjelajah untuk bertemu rakyat di seluruh pelosok tanah air, memberi penerangan dan meyakinkan rakyat tentang manifesto dan hala tuju negara, agar para pengundi memberi mandat dan peluang untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

Beliau menyarankan rakyat agar menilai dengan sewajarnya akan usaha kerajaan BN yang telah stabil, berpengalaman luas serta berasaskan rekod yang terbukti cemerlang sehingga ke persada dunia.

Beliau berkata antara usaha dan pencapaian kerajaan BN sejak enam dekad lalu terutama sejak sembilan tahun yang lepas, ialah ia berjaya memastikan keamanan dan keselamatan negara tetap teguh terjamin lagi terpelihara.

"Kita telah berupaya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia serta sejahtera, malah, kita juga mempunyai pelan perancangan masa depan yang sangat hebat lagi tersusun rapi," katanya.

Najib berkata perjalanan transformasi tidak boleh terhenti setakat di sini sebaliknya meneruskan kejayaan transformasi inklusif negara untuk menuju masa depan yang lebih cerah serta sudah nampak kelihatan cahaya kegemilangannya.

"Saya amat berharap supaya pilihan raya kali ini tidak kira apa jua fahaman atau lambang politik akan dapat kita sama-sama langsungkan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar sehingga tercapai matlamatnya," katanya.

Najib dalam pada itu menyeru agar diteruskan perjalanan kejayaan transformasi yang lebih hebat bersama BN.

"Hari ini milik kita,... hari esok dan hari-hari berikutnya, mudah-mudahan bakal menjanjikan masa depan yang lebih cerah nan indah, bergemerlangan cahayanya, disinar kejayaan Malaysia di bawah panji Barisan Nasional.

"Saya dengan penuh kerendahan hati, memohon untuk diberi mandat baharu kepada Barisan Nasional untuk terus membawa Malaysia ke mercu kejayaan," katanya.-Bernama

Kegiatan Pencerobohan Punca Air Empangan Di Melaka Tercemar

No comments

29 November, 2017

Kegiatan Pencerobohan Punca Air Empangan Di Melaka Tercemar

BANDARAYA MELAKA - Kegiatan pencerobohan kawasan-kawasan berhampiran empangan di negeri ini dikenal pasti sebagai antara punca berlakunya pencemaran bekalan air di empangan di negeri ini, terutama di Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016, sejumlah 721 pencemaran kualiti air mentah dilaporkan antara 2014 dan 2016.

Menurut laporan berkenaan, baja kimia, perlombongan pasir, penternakan ikan keli serta aktiviti perladangan getah dan kelapa sawit merupakan antara penyumbang utama kepada pencemaran itu.

“Berdasarkan Laporan Kajian Kebersihan antara 2014 dan 2016 oleh Jabatan Kesihatan negeri, didapati pencemaran di semua sampel sumber air adalah berpunca dari aktiviti pertanian, perladangan, perindustrian dan pembuangan sisa buangan serta kumbahan.

“Antara kawasan terlibat termasuk Loji Rawatan Air Gadek, Bukit Sebukur, Merliau, Bertam dan Chin Chin.

“Sekiranya aktiviti sebegini tidak dikawal atau dihentikan, fungsi bekalan air mentah di kawasan tadahan akan terjejas sekali gus menjejaskan kualiti alam sekitar,” kata laporan berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, lawatan yang dijalankan ke atas dua empangan di negeri ini, iaitu Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus, mendapati Badan Kawal Selia Air tidak menjalankan pemantauan secara berkala bagi kualiti air di kawasan tadahan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Kajian Kebersihan bagi Loji Rawatan Air Jus pada 2015 mendapati tiada pemantauan dilakukan bagi kawasan pencemaran di sekitar empangan.

Selain itu, katanya, terdapat aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran seperti hakisan tanah, pertanian tidak mengikut kontor, sisa kumbahan dilepaskan tanpa rawatan, perumahan, ladang kelapa sawit dan getah serta penternakan.

“Kerjasama dari Agensi Remote Sensing Malaysia turut mendapati bahawa imej Geographic Information System (GIS) menunjukkan berlakunya perubahan muka bumi di sekitar kawasan empangan disebabkan aktiviti penerokaan daripada 2007 sehingga 2016,” katanya.

Ekoran penemuan ini, Laporan Audit telah mengesyorkan supaya Badan Kawal Selia Air memastikan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan empangan, lesen ekstraksi air mentak serta pencemaran sumber air dibuat secara berkala.

Pada masa sama, ia turut diminta menjalankan kajian secara terperinci berkaitan kualiti, kuantiti dan sumber alternatif air mentah bagi memastikan bekalan sumber air mentah yang optimum serta mencukupi dan terjamin kualitinya, lapor Sinar Harian.

Bonus RM2,000 Untuk Penjawat Awam Negeri Melaka

No comments

27 November, 2017

Bonus RM2,000 Untuk Penjawat Awam Negeri Melaka

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka hari ini mengumumkan lebih 4,000 penjawat awam di negeri itu bakal menerima bonus sebanyak RM2,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata bayaran itu akan dibuat dua kali tahun depan iaitu RM1,000 pada awal tahun dan RM1,000 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

“Bonus yang diberikan ini sebagai pengiktirafan kepada penjawat awam negeri atas khidmat bakti mendokong kemajuan serta melaksana sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya semasa membentangkan Bajet Negeri 2018 pada persidangan Dun Melaka, di sini hari ini.

Selain penjawat awam negeri, katanya, kerajaan negeri juga akan memberi insentif  RM500 secara ‘one-off’ (sekali bayar) kepada guru yang akan bersara tahun depan dan pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, selain itu, jemaah haji kali pertama yang berusia 60 tahun ke atas dan tidak berpencen serta golongan muda bawah 30 tahun yang terlantar setahun akibat kemalangan dan berkeluarga juga bakal menerima insentif secara ‘one-off’ RM500.

Idris berkata insentif secara ‘one-off’ antara RM100 hingga RM300 akan diberikan kepada anggota tentera kelahiran Melaka yang berhenti tidak berpencen, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 60 tahun ke atas dan nelayan berdaftar.

Selain itu, pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ibu tunggal berusia 69 tahun ke atas dan bekas pekerja kontrak pihak berkuasa tempatan turut akan diberikan insentif secara ‘one-off’ antara RM100 hingga RM300.

Kerajaan Melaka membentangkan Bajet 2018 melibatkan peruntukkan berjumlah RM373.67 juta, merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM269.67 juta dan perbelanjaan pelbagai pemberian sebanyak RM104 juta.- Bernama

Dua Pemimpin Bahagian PPBM Perak Tinggalkan Parti, Letak Jawatan

No comments

20 October, 2017

Dua Pemimpin Bahagian PPBM Perak Tinggalkan Parti, Letak Jawatan

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Perak terus menerima khabar buruk apabila dua Ketua Penaja Bahagian parti itu Perak mengumumkan melepaskan jawatan dan keluar parti semalam.

Ketua Penaja Bahagian PPBM Parit, Rosli Ali mengumumkan melepaskan jawatannya serta  keluar parti manakala Ketua Penaja Bahagian Kuala Kangsar, Dul Hayati Baharom melepaskan jawatannya.

Dalam sidang akhbar itu Rosli berkata, beliau meninggalkan parti kerana PPBM Perak kehilangan punca dan arah dalam perjuangannya.

Menurutnya, ini menyebabkan ahli terumbang ambing dan terbiar.

"Tidak wujud semangat sepasukan dan kami jarang dilibatkan dalam perbincangan parti sehingga kami tidak tahu apa yang berlaku," katanya pada sidang media.

Pertengahan bulan lepas, Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman dan bekas Ketua Srikandi Anina Saaduddin menginggalkan parti itu yang lebih setahun penubuhannya.

Mereka hilang kepercayaan kepada pemimpin PPBM yang diadakan mengamalkan pilih kasih di atas perlantikan pemimpin bawahan, memetik laporan Utusan Malaysia.

Lebih Ramai Ahli Politik Pembangkang Akan Sertai Umno

No comments

19 September, 2017

 Lebih Ramai Ahli Politik Pembangkang Akan Sertai Umno
KUALA LANGAT -  Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan ramai lagi ahli politik  Pakatan Harapan akan menyertai Umno  susulan kembalinya bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ke pangkuan parti itu.

Beliau berkata pengumuman perkara berkenaan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

"Saya sahkan memang ada anggota daripada Harapan yang akan menyertai Umno  dan kembali kepada Umno, pengumuman itu kami akan dilakukan secara berperingkat, kita tunggu sahajalah," katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Bersama Rakyat di Kolej Mara Banting di sini semalam.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat lapan anggota politik lain dari Selangor sepatutnya menyertai Muhammad Taib ketika beliau diumumkan menyertai kembali Umno Ahad lalu.

Muhammad Taib  keluar daripada Umno pada 2013 untuk menyertai Pas dan kemudian meninggalkan Pas untuk menganggotai PKR pada 2015.

Mengulas lanjut, Annuar berkata  pergeseran dalaman antara parti-parti komponen Harapan, tiada agenda untuk membangunkan ekonomi rakyat dan negara dilihat menjadi punca anggota politik yang berkenaan berminat dengan Umno dan BN.

"Harapan ini bukan sebenarnya mahu membantu rakyat dan membangunkan negara, mereka hanya berebut kuasa dan membuat tohmahan dan fitnah semata-mata.

"...dan sekarang banyak tohmahan dan fitnah mereka ini telah terjawab dengan sendiri, isu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditangkap jika ke Amerika Syarikat ternyata tipu, isu 1MBD, wang derma daripada  keluarga diraja Arab Saudi, semua itu sudah terjawab dan rakyat sendiri dapat melihat permainan kotor politik pembangkang ini," katanya. - Bernama

Insiden 'Nothing To Hide 2.0', Gambaran Malaysia Ditadbir Pembangkang

No comments

15 August, 2017

Kecoh 'Nothing To Hide 2.0', Gambaran Malaysia Ditadbir Pembangkang
Kekecohan yang berlaku pada forum 'Nothing to Hide 2.0' menggambarkan bencana yang bakal dihadapi Malaysia sekiranya pembangkang yang dijketuai DAP memperoleh kuasa pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri berkata dakwaan liar yang mempersalahkan UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kekecohan itu oleh pemimpin pembangkang adalah tidak benar, semberono dan tidak bertanggungjawab serta merupakan percubaan jelas untuk mengalih perhatian daripada perpecahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"PPBM bertanggungjawab sepenuhnya kepada acara itu, jadi untuk menyalahkan UMNO atas kekecohan itu merupakan percubaan pembangkang untuk menutup tindakan memalukan itu yang dilakukan anggotanya sendiri.

"Hakikatnya ialah penyokong pembangkang yang hadir kecewa dengan ketidakupayaan (Tun) Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan yang ditanyakan di forum berkenaan mengenai skandal semasa pemerintahannya seperti pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembunuhan Memali,"katanya dalam satu kenyataan hari ini dan menambah sebaliknya forum 'Nothing to Hide 2.0' bertukar menjadi 'Everything to Hide'.

Tengku Sariffuddin berkata setiap orang tahu dan jelas Pakatan Harapan pada asasnya berpecah belah.

"Apa lagi yang boleh diharapkan daripada pakatan itu yang terbentuk hasil daripada 'perkahwinan berdasarkan kepentingan' antara bekas musuh yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memusnahkan antara satu sama lain sejak berdekad lamanya,"katanya.

Tengku Sariffuddin berkata pihak berkuasa akan menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan perlu seperti yang diperuntuk undang-udang dan pada masa yang sama kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri akan terus memfokus kepada kebajikan ekonomi, kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat.-Bernama

UMNO Perlu Berani Tawan Kelantan

No comments

21 July, 2017

UMNO Perlu Berani Tawan Kelantan

Sudah sampai masa untuk UMNO Kelantan mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri daripada PAS sekiranya UMNO betul-betul berkeinginan ke arah mencapai matlamat itu.

Pada saat kritikal ini, sudah semestinya untuk UMNO memanfaatkan masa yang ada sekarang dan hari-hari mendatang untuk mempersiapkan, memperkemas dan memperkasakan jentera pilihan raya di semua 534 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Kelantan.

Pelbagai isu menyelubungi dan membelenggu kerajaan negeri terutama isu membabitkan rakyat marhaen Kelantan secara langsung seperti isu pembalakan di Ulu Kelantan, isu bantuan kepada mangsa banjir, isu Orang Asli, isu air bersih, isu sampah, isu pembangunan di Lembah Sireh, isu projek Kampung Warisan di Kampung Laut Tumpat, isu karbon kredit dan lain-lain isu lagi yang dilihat tiada kesudahannya.

Di samping kegagalan kerajaan PAS membangunkan Kelantan secara total, maka rakyat Kelantan sama ada yang tinggal di Kelantan dan juga yang tinggal di luar Kelantan sedang memerhati dan berasakan perlu ada perubahan besar berlaku dalam politik di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti sekiranya Kelantan ingin maju dan bergerak ke depan seiring negeri-negeri lain yang dikuasai BN/UMNO. Masa sudah sampai untuk kerajaan baharu dibentuk di Kelantan selepas PRU-14 nanti bagi membawa perubahan baru.

Sama ada UMNO mampu untuk menawan Kelantan atau sebaliknya, bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan, wibawa dan keberanian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa mengemudi UMNO/BN Kelantan dalam membuat percaturan strategi politik dan gerak kerja dalam menghadapi PRU-14.

Sejauh mana UMNO pandai mengambil peluang dan kesempatan terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan PAS Kelantan juga bergantung kepada kebijaksanaan Tok Pa dan pimpinannya. 

Saya yakin beliau dan pimpinannya begitu matang mengenai keunikan politik di Kelantan dan seterusnya memaksa beliau dan pimpinannya sentiasa peka serta mampu membawa idea baru bagi mengatur strategi dan gerak kerja untuk mengembalikan Kelantan di bawah kepemimpinan UMNO/BN.

Dalam kita memperkatakan kemampuan UMNO/BN untuk menawan Kelantan selepas PRU14 nanti, ia banyak bergantung kepada calon yang akan diketengahkan oleh UMNO nanti. Sudah sampai masanya untuk UMNO Kelantan mengetengahkan calon yang mampu menang dan disenangi rakyat.

Kebijaksanaan Tok Pa

Di sinilah memerlukan kebijaksanaan dan keberanian Tok Pa dalam membuat percaturan dan pemilihan calon-calon ini. UMNO Kelantan sepatutnya sudah di peringkat akhir untuk 'memuktamadkan' calon mereka yang boleh dikategorikan sebagai mampu menang dan disenangi rakyat yang akan ditonjolkan di dalam PRU-14 seperti saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Maka kepemimpinan dan ahli UMNO Kelantan perlu menerima dengan hati terbuka sekiranya calon yang dipilih bertanding pada PRU-14 bukan dari kalangan kepemimpinan parti. Mereka harus menerima calon berkenaan demi memastikan kemenangan parti dan bukannya kemenangan individu. Mereka juga perlu elakkan budaya 'cah keting' sekiranya tidak terpilih sebagai calon.

Sekiranya pucuk pimpinan UMNO Kelantan boleh menerima saranan Ahmad Zahid, maka tiada sebab untuk UMNO Kelantan tidak boleh menawan kembali Kelantan sekiranya calon mereka adalah yang mempunyai ciri-ciri 'mampu menang' dan 'disenangi'. 

UMNO Kelantan perlu yakin pada diri mereka sendiri bahawa mereka sudah bersedia dan mampu untuk menggantikan PAS dan seterusnya menawan kembali Kelantan selepas hampir tiga dekad Kelantan berada di tangan PAS.

Mereka perlu bersedia dan komited mulai hari ini dan hari-hari seterusnya, terutama ke arah untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang betul-betul memenuhi cita rasa dan cakna rakyat di Kelantan. 

Apa yang penting sekarang ini ialah kemantapan dalam pengurusan UMNO itu sendiri dan sejauh mana gerak kerjanya untuk menawan Kelantan serta kesungguhan dan kesediaan pemimpinnya untuk berkorban demi Kelantan yang tercinta serta sedia melupai kepentingan diri walaupun mereka tidak dicalonkan.

Bagi menarik sokongan rakyat Kelantan terutama sokongan generasi muda dan pengundi luar yang bekerja di luar Kelantan adalah disarankan supaya UMNO Kelantan yang diterajui berani mengambil langkah yang agak luar biasa tetapi selari dengan saranan Ahmad Zahid, iaitu memperkenalkan calon pelapis berwibawa, matang dan mempunyai integriti tinggi dalam PRU-14 nanti.

Mereka ini adalah calon yang mampu menang dan disenangi rakyat Kelantan. Seboleh-bolehnya UMNO perlu membuat rombakan calon yang lalu, terutama mereka yang sudah beberapa kali kalah. Sudah sampai masanya UMNO mencari jalan untuk melahirkan lebih ramai calon pelapis yang berupaya memimpin masa depan negeri Kelantan khususnya dan negara Malaysia amnya.

Ganti calon tak produktif

Calon lama yang tidak produktif perlu diganti dengan muka baharu. Golongan profesional muda dalam UMNO perlu diberi peluang untuk diangkat menjadi calon. Mereka yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan memiliki ciri-ciri kepemimpinan yang unggul serta mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, perlu diketengahkan.

Nama pemimpin muda UMNO Kelantan seperti Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Faizal Daud dan lain-lain lagi perlu diketengahkan oleh Tok Pa dalam PRU-14 nanti. Pengumuman calon-calon muda ini perlu dibuat awal dengan harapan supaya pihak pucuk kepemimpinan di peringkat bahagian boleh menerima mereka dengan hati terbuka dan ikhlas.

Bagaimanapun, calon lama yang masih dapat memberi daya tarikan kepada pengundi dan mempunyai integriti yang tinggi, seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Ramzi Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Md Alwi Che Amat, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan beberapa nama lagi perlu dikekalkan kerana mereka adalah aset tersendiri kepada UMNO dan dilihat berjaya memuaskan hati rakyat di kawasan masing-masing.

Saya yakin UMNO Kelantan mampu menawan kembali Kelantan sekiranya kebijaksanaan dan kewibawaan serta keberanian Tok Pa digunakan sebaik mungkin dalam membuat percaturan gerak kerja dan strategi politik dalam menghadapi PRU-14 nanti. Sudah sampai masanya, calon pelapis UMNO yang berwibawa, matang dan mempunyai integriti tinggi diberi peluang.

Saya optimistik sekiranya Tok Pa berjaya dan bijak dalam membuat percaturan calon-calon ini dan mampu menangani segala permasalahan atau isu yang membelenggu UMNO negeri serta bijak mengatur strategi dan gerak kerja politik, maka peluang UMNO untuk menawan kembali Kelantan adalah cerah.



Oleh,
Prof Dr Rusdi Omar

Rekod Baru 200M Khairul Hafiz Jantan Adalah Sah - KOM

No comments

20 July, 2017

Rekod Baru 200M Khairul Hafiz Jantan Adalah Sah - KOM
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membidas laporan sebuah akhbar tempatan yang mempertikaikan kesahihan rekod baharu kebangsaan 200m yang dicipta raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-94 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Selasa.

Presidennya Datuk Karim Ibrahim berkata dakwaan akhbar berkenaan memperlekehkan venue berkenaan yang sudah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) jelas mengecewakan KOM.

Justeru, beliau menegaskan dakwaan akhbar berkenaan seolah-olah menidakkan kemampuan Khairul Hafiz yang telah meleburkan rekod berusia 49 tahun iaitu 20.92 saat yang dicipta Tan Sri Dr M. Jegathesan pada Sukan Olimpik 1968 di Moscow.

"Saya sudah dua kali arahkan Jawatankuasa Teknikal KOM menjalankan pemeriksaan terhadap venue tersebut sebelum ini dan semuanya mematuhi garis panduan yang ditetapkan IAAF," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Karim menegaskan catatan Khairul Hafiz itu adalah sah kerana semua peralatan teknikal yang dipasang di stadium berkenaan telah mendapat pengiktirafan daripada IAAF.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa catatan 20.90s yang dilakukan Khairul Hafiz dalam acara 200m adalah rekod baharu kebangsaan yang sah dan tidak perlu diragui lagi dan saya mempunyai segala dokumentasi untuk membuktikan perkara berkenaan," jelas Karim.

Menerusi laporan akhbar tersebut, Karim dilaporkan sebagai berkata bahawa catatan 20.90s yang dicipta Khairul Hafiz perlu mendapat pengesahan badan induk olahraga itu kerana Stadium Nasional Bukit Jalil dikatakan masih belum mendapat pengiktirafan daripada IAAF. - Bernama

Melaka United Catat Kemenangan Kedua

No comments

19 July, 2017

Melaka United Catat Kemenangan Kedua

Melaka United mencatat kemenangan kedua di dalam saingan TM Piala Malaysia 2017 selepas berjaya menundukkan UITM FC dengan jaringan 2 - 1 dalam aksi yang berlangsung malam tadi di Stadium Hang Jebat.

Dalam aksi yang boleh dikatakan agak hambar dan perlahan itu, Melaka United berjaya mendahului lawan melalui jaringan pemain import mereka, Felipe De Souza melalui sepakan percuma pada minit ke-22.

Melaka United berpeluang menambah jaringan apabila dihadiakan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, namun sepakan yang diambil oleh Marco Simic tinggi melepasi palang gol UITM FC.

Perhujung separuh masa pertama, pasukan UITM FC berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Akanni Sunday untuk mengikat perlawanan 1 - 1 sehingga separuh masa.

Menuju separuh masa kedua, Melaka United beberapa kali cuba menembusi gawang lawan, namun masih gagal menambah jaringan.

Felipe De Souza sekali lagi menjadi pemusnah pasukan UITM FC apabila sekali lagi berjaya menjaringkan gol juga menerusi sepakan percuma menewaskan Mohd Soffuan pada minit ke-63.

Kedudukan 2 -  1 terus kekal sehingga ke wisel penamat. 

Dengan kemenangan ini, Melaka United berkongsi enam mata bersama-sama Kedah dan juga Kelantan dalam kumpulan yang sama, sementara UITM FC terus gagal mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan.

Pemain Melaka United Dakwa Tidak Terima Gaji

No comments

25 May, 2017

Pemain Melaka United Dakwa Tidak Terima Gaji

MELAKA - Isu gaji tertunggak dalam kalangan pemain di kancah liga bola sepak Malaysia nampaknya masih belum reda meskipun pelbagai tindakan tegas diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap pasukan yang gagal mematuhi peraturan berkaitan gaji.

Terbaharu, skuad Piala Belia dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) mendakwa tidak menerima bayaran sebulan gaji.

Menurut pemain Piala Belia yang enggan dikenali, pihak pengurusan gagal membayar gaji bagi April dan bimbang masalah itu berlanjutan untuk bulan Mei.

Selain meluahkan kekecewa terhadap kemelut itu, pemain berkenaan juga mendedahkan masalah yang sama turut dihadapi oleh skuad Piala Presiden.

"Masing-masing dah 'pokai' (kehabisan wang) dan terpaksa mencari duit sendiri bagi menampung perbelanjaan harian.

"Pemain tempatan (Melaka) ditanggung keluarga manakala pemain luar negeri berdepan situasi lebih sukar," kata pemain itu kepada media.

Difahamkan, kedua-dua pasukan akar umbi Melaka United itu menerima gaji pada 7 haribulan setiap bulan.

Kemelut itu juga dikhuatiri mempengaruhi prestasi kedua-dua pasukan apabila skuda Piala Belia Melaka United sekadar mencatat lima kemenangan, satu seri dan tujuh kekalahan daripada 13 perlawanan.

Manakala skuda Piala Presiden juga mempamerkan aksi mengecewakan dalam 15 perlawanan selepas hanya mencatat satu kemenangan, empat seri dan sembilan kekalahan.

Awal bulan ini, Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) memotong mata empat pasukan berikutan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia sejak musim 2015 dan 2016.

Empat pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain ialah Perlis dan ATM daripada Liga Premier manakala skuad Liga Super ialah Kelantan dan T-Team, lapor mStar.

Idris Kecewa Tahap Kebersihan Stadium Hang Jebat

No comments

23 May, 2017

Idris Kecewa Tahap Kebersihan Stadium Hang Jebat

MELAKA - Kecewa dengan tahap kebersihan Stadium Hang Jebat, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron memberi tempoh sebulan kepada Perbadanan Stadium Melaka untuk melaksanakan kerja pembersihan yang mana perlu dilakukan kakitangannya sendiri termasuk pengurusan tertinggi.

Idris berkata Sambutan Hari Belia Negara 2017 peringkat negeri yang diadakan selama tiga hari berakhir pada Ahad lepas di stadium itu berlangsung dalam suasana tidak terurus dan teratur akibat kegagalan pengurusan menjaga kebersihan.

"Ini dikhuatiri memberi imej dan persepsi negatif masyarakat terutama orang luar terhadap Melaka. Justeru saya meminta pengurusan stadium memainkan peranan masing-masing demi memulihkan kembali imej stadium merangkumi aspek kebersihan dan keindahan dengan melakukan aktiviti gotong-royong setiap hari," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata demikian selepas menerima tajaan bagi pasukan Melaka United daripada dua syarikat iaitu Nitizi Construction Sdn Bhd dan Hyundai Engineering Malaysia Sdn Bhd yang masing-masing menyumbang RM1 juta.

Idris yang meluahkan kekecewaannya terhadap pengurusan stadium itu menyifatkannya tidak cekap terutamanya dalam menjaga aspek kebersihan stadium, malah melabel pengurusan itu sebagai terburuk dalam kalangan organisasi di negeri ini.

Perbadanan Stadium Melaka bertanggungjawab menguruskan dua stadium di negeri ini iaitu Stadium Hang Jebat dan Stadium Hang Tuah.

Menurut Idris, stadium yang cukup dikenali sebagai 'rumah' kepada pasukan Melaka United sepatutnya menjadi kawasan yang dicontohi kebersihannya dan organisasi yang menguruskannya perlu menjadi kebanggaan negeri selaras dengan slogan laungan negeri ini iaitu 'Don't Mess With Melaka'.

"Pengurusan stadium memandang enteng terhadap kebersihan rumah Melaka United ini ... malu rasanya kita menggelar Melaka ini negeri maju namun soal kebersihan stadium yang menjadi tumpuan orang ramai ini dipandang ringan yang mana kadang kala gambarnya (stadium) dipaparkan di laman sosial," katanya.

Mengenai penajaan itu, Idris berkata ia merupakan motivasi kepada pemain untuk terus beraksi cemerlang di samping menampung perbelanjaan pasukan berkenaan termasuk mencari pemain berkaliber dan memastikan kebajikan pemain terjaga.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Melaka Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya mengambil serius teguran Idris mengenai tahap kebersihan dan ketidakcekapan pengurusan stadium berkenaan.

"Kami akan menjalankan aktiviti gotong-rotong seperti yang disarankan ketua menteri dengan menggerakkan kakitangan bagi menumpukan usaha membersihkan stadium.

"Apa yang penting aspek kebersihan perlu diberi keutamaan," katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Timbalan Presiden MUSA. - Bernama

'Saya buat sebab nak ajar cara beradab'

No comments

18 May, 2017

David Teo Kena Tampar Mat Over

Pelakon dan pelawak Sulaiman Yassin berkata, beliau tidak kesal diatas tindakan 'kasarnya' terhadap penerbit filem David Teo.

Memetik laporan media tempatan, Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Mat Over, menjelaskan bahawa beliau bertindak sedemikian kerana mahu mengajar David 'mengenai adab terhadap pemimpin'.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini.

"Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati," katanya.

Dalam pada itu,menurut David pula berkata, dia berhadapan dengan momen yang agak mencemaskan semalam.

"Tiba-tiba saja dia meluru serta menampar saya. Saya hanya mempersoalkan tindakan Rosyam tidak menggunakan pentas bulat itu dengan sepenuhnya dan hanya fokus satu arah di depan saja sedangkan saya juga mahu bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri.

"Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang dan sudah memaafkannya," katanya.

Terdahulu, kecoh seketika majlis TN50 Penggiat Seni bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam  apabila berlaku satu insiden memalukan.

Difahamkan insiden memalukan itu berlaku dihadapan Najib apabila seorang penerbit filem itu ditampar oleh seorang pelakon ketika sesi bersama selebriti dalam program berkenaan.

Namun, pada penghujung majlis, kedua mereka dilihat bersalaman di hadapan Datuk Seri Najib.

Hanya MELAKA.!

No comments

04 May, 2017


MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka hari ini memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka telah memutuskan nama 'Malacca' yang lazim digunakan dalam Bahasa Inggeris tidak lagi diguna pakai sebaliknya digantikan dengan nama 'Melaka'.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar berkata sehubungan itu semua akhbar dan media sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa hendaklah menggunakan nama 'Melaka' dalam penulisan atau sebutan pada setiap penerbitan mereka.

"Penyelarasan ini adalah bertujuan untuk menyeragamkan penggunaan nama 'Melaka' sama ada dalam bentuk penulisan atau sebutan dalam semua media khususnya yang berbahasa Inggeris," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap penyelarasan penggunaan nama Melaka ini dihebahkan kepada semua pihak yang terlibat dan kerjasama pihak media dalam menyokong penggunaan nama Melaka amat disanjung tinggi dan dihargai oleh Kerajaan Negeri Melaka. – Bernama

Emas Pertama Pocket Rocket Man Selepas 10 Tahun Mencuba

No comments

14 April, 2017

Emas Pertama Pocket Rocket Man Selepas 10 Tahun Mencuba
KUALA LUMPUR - Pelumba negara, Azizulhasni Awang muncul Raja Acara Keirin selepas memenangi pingat emas di Kejohanan Trek Berbasikal Dunia 2017 yang berlangsung di Hong Kong malam tadi.

Pelumba yang bergelar ‘The Pocketrocket Man’ itu merupakan atlet pertama negara memenangi emas di kejohanan trek dunia sekaligus menyarung jersi pelangi yang menjadi buruan pelumba.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio itu menewaskan pelumba dari Colombia, Fabian Puerta Zapata dan Tomas Babek dari Republik Czech.

Mohd Azizulhasni hanya berjaya memperoleh pingat perak pada 2010 di Denmark selain memenangi pingat gangsa, dua kali di Perancis pada 2015 dan 2016 di United Kingdom dalam acara keirin.

Pelumba kelahiran Terengganu itu juga memenangi pingat perak dalam acara pecut pada 2009 di Poland.


Hapus Bookies Hingga Akar Umbi

No comments

10 April, 2017

Hapus Bookies Hingga Akar Umbi
"Dalang utama (bookie) kegiatan mengatur keputusan perlawanan perlu ditangani dan dihukum bagi membanteras masalah itu secara keseluruhan," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, penahanan tiga pemain pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) adalah permulaaan untuk memburu sindiket itu.

"Saya harap tangkapan baru-baru ini akan berlanjutan sehingga sampai ke akar umbi kegiatan mengatur perlawanan. Pemain hanya agen sindiket haram. Biasanya sindiket ini ada kaitan dengan perjudian sukan tanpa lesen dan orang inilah yang perlu kita buru.

"Penyakit sebenar adalah sindiket yang menjadi dalang mengatur keputusan perlawanan...pemain harus dihukum jika terlibat tetapi apa yang kita mahu ia sebagai permulaan untuk mendapatkan sindiket itu sendiri," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas majlis tajaan antara Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan AirAsia, di sini hari ini.    

Minggu lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pemain termasuk seorang pemain import pasukan MISC-MIFA, kerana disyaki terbabit dalam mengatur perlawanan.

Khairy juga menggesa lebih banyak persatuan bola sepak negeri dan kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia menjalin kerjasama dengan polis dan SPRM untuk menangani isu itu dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki pemain mereka.

Ditanya sama ada lesen pertaruhan sukan mampu mengatasi masalah mengatur perlawanan, Khairy berkata majoriti rakyat Malaysia menentang perkara itu apabila ia dibangkitkan pada 2003.

"Sudah pasti ada buruk dan baiknya jika memberi lesen pertaruhan sukan dari segi mengawal selia dan mendapat pendapatan daripada cukai tetapi majoriti rakyat Malaysia tidak menerima satu lagi bentuk perjudian di negara ini," katanya. - Bernama

PPBM Anggap Keputusan GKCM Atas Dasar Kecewa

No comments

05 April, 2017

PPBM Anggap Keputusan GKCM Atas Dasar Kecewa
PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menganggap keputusan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) untuk tidak lagi menyokong kepimpinan pusat parti itu adalah berikutan rasa kecewa segelintir pihak.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebahagian besar ahli GKCM telah pun mendapat tempat dalam PPBM dan memegang beberapa jawatan dalam parti.

“Tak apalah. Dalam politik, ada orang suka, ada orang tak suka. Bagi kami, itu adalah satu cabaran.

"Walaupun kenyataan yang saya baca itu keluar daripada hanya satu kumpulan yang agak kecil, yang saya tahu, sebahagian besar daripada mereka yang menggerakkan GKCM ini sudah berada dalam PPBM kita,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Muhyiddin bagaimanapun menganggap ia sebahagian daripada cabaran dan pihaknya bersedia untuk berbincang dengan GKCM bagi menjelaskan hala tuju politik PPBM ketika ini.

Isnin lalu GKCM memutuskan untuk tidak lagi menyokong kepimpinan pusat PPBM menerusi Timbalan Presidennya Datuk Mohd Zin Mustafa.

Keputusan itu dibuat, katanya, berdasarkan beberapa punca permasalahan dalam PPBM, termasuk dakwaan bahawa pemimpin tertinggi parti itu mengamalkan kronisme dengan melantik di kalangan rakan mereka membarisi tampuk kepimpinan tertinggi.

Muhyiddin pada sidang media hari ini menafikan PPBM mengamalkan kronisme seperti didakwa.

Mohd Zin dalam kenyataannya turut menyatakan GKCM beranggapan PPBM tidak berjaya menepati citarasa politik generasi masa kini, seperti dilapor Astro Awani.

Liga Perdana 2016 Melaka Punya.!

No comments

21 October, 2016


Esok bersamaan 22hb Oktober 2016, bakal menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah kebangkitan bola sepak Melaka apabila secara rasminya akan dinobatkan sebagai Juara Liga Perdana 2016.

Segala kata-kata yang dilemparkan terhadap Melaka di awal musim bakal ditutup rapat oleh barisan pemain dan kejurulatihan. Cemuhan yang diberikan selepas Melaka berjaya keluar dari kancah kehinaan akan dibuktikan dengan gelaran Juara Liga Perdana 2016. Tiada lagi yang akan mempersoalkan 'Wujud kah pasukan bola sepak Melaka di Liga Malaysia ini?'.

Semestinya yang paling teruja dan gembira adalah Ultras Taming Sari yang merupakan tulang belakang kepada kejayaan Melaka pada hari ini. Tanpa mereka, stadium sunyi tanpa sorakan. Dari 5 tahun di Liga FAM sehingga berstatus Juara Liga Perdana, semangat mereka tidak pernah luntur untuk terus memberikan sokongan dengan chant bergema selama 90 minit masa permainan.

Sedikit fakta menarik mengenai Melaka. Ditubuhkan pada tahun 1924 dengan menjadikan Stadium Kubu (Stadium Hang Tuah) sebagai gelanggang rasmi sebelum berpindah ke Stadium Hang Jebat di Paya Rumput. Penjenamaan semula dari Melaka FA kepada Melaka United pada tahun 2013 dan kekal hingga sekarang.

Sekilas sejarah sebelum dinobatkan Juara Liga Perdana 2016.

Kelab ini telah berada dalam prestasi terumbang-ambing sejak Liga Perdana diperkenalkan pada tahun 2004 di mana Melaka bermain untuk tiga musim dan telah dinaikkan ke Liga Super sebelum diturunkan semula ke Liga Perdana dalam musim pertamanya.

Setelah itu, pasukan ini meneruskan cabaran dengan berjuang dari penyingkiran dalam Liga Perdana Malaysia untuk tiga musim berikutnya sebelum tumpas dan disingkirkan pada tahun 2010 ke Liga FAM di mana pasukan ini secara konsisten beraksi untuk lima tahun berturut-turut sebelum berjaya untuk kembali semula ke Liga Perdana Malaysia pada tahun 2016 setelah menjadi juara Liga FAM Malaysia 2015.

Sebelum menjuarai Liga FAM pada tahun 2015, pasukan ini telah berada dalam situasi kehausan kejuaraan untuk 32 tahun di mana kali terakhir pasukan ini menjuarai liga tahap utama Malaysia adalah pada tahun 1983 di mana Melaka menjuari Liga Perdana 1.

Mengenai Tajaan Untuk Skuad Hang Tuah.

Kit baju pasukan Melaka telah dikilangkan oleh Kronos semenjak 2014, di mana mereka telah dikontrakkan untuk membekalkan baju bagi pasukan ini dari 2014 hingga 2015. Perkongsian ini telah diteruskan sehingga 2017.

Mamee merupakan penaja utama bagi pasukan Melaka. Selain itu, terdapat juga penaja lain dan rakan kongsi seperti Edra Global Energy Bhd yang telah menaja pasukan sebanyak RM 5 juta untuk musim 2016.

Harapan Penyokong Dan Peminat Melaka.

Hanya satu harapan mereka, Melaka mampu bersaing di Liga Super 2017 dan mampu menutup mulut-mulut 'PUAKA' yang bertanyakan 'Melaka Ada Team Bola Ke.?'. Akhir kata, semoga Melaka Maju Jaya. Tahniah buat semua peminat bola sepak MELAKA. Malam esok adalah MALAM ANDA SEMUA. Demi Kebanggaan Melaka.! Melaka Sampai Mati.! Selamanya Melaka Tercinta.!

Proton Lancar Saga Baru, Harga Bermula Dari RM37,000

No comments

28 September, 2016

SHAH ALAM - Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan model terbaharu Saga pada harga bermula RM36,800 hingga RM45,800 seunit. 

Kereta yang dijana enjin 1.3 liter VVT itu didatangkan dalam empat varian iaitu 1.3L 5MT Standard; 1.3L CVT Standard; 1.3L CVT Executive dan 1.3L CVT2 Premium. 

Ditampilkan sebagai kereta mampu milik, Saga 1.3L 5MT Standard ditawakan pada harga RM36,800; 1.3L CVT Standard (RM39,800); 1.3L CVT Executive (RM42,800) dan 1.3L CVT2 Premium (RM45,800). 



Majlis pelancaran model yang sinonim dengan pengeluar kereta nasional itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Hadir sama, Pengerusi Proton yang juga Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, lapor Berita Harian.





Sumber Gambar - BHarian

Melaka United Kembali Selepas 10 Tahun

No comments

17 September, 2016


Melaka United Kembali Selepas 10 Tahun
Melihatkan pada prestasi mereka untuk tempoh enam ke tujuh tahun yang lepas, tiada siapa yang mampu menjangka bahawa pasukan Melaka United mampu kembali dalam saingan utama liga bolasepak Malaysia.

Bergelut pada prestasi pasukan yang kerap kali terumbang ambing tanpa hala tuju yang jelas, pasukan ini terus terperosok ke liga FAM untuk satu tempoh yang agak lama bagi pasukan yang pernah bergelar juara liga pada tahun 1983 dan juga pernah beraksi dalam saingan liga super 2006 ini.

Namun, kehadiran mereka mula dirasai apabila percubaan demi percubaan untuk layak ke saingan liga kompetetif mula menunjukkan hasil. Berjaya menjuarai liga FAM pada tahun 2015 dan layak ke saingan Liga Premier 2016, Melaka United terus tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus dinobatkan sebagai juara Liga Premier 2016 walaupun menjadi pasukan baru yang beraksi dalam saingan tersebut dengan berbaki dua perlawanan lagi.

Merekodkan 15 kemenangan, empat keputusan seri serta hanya sekali tewas dalam 20 perlawanan, tahun 2017 akan  menyaksikan pasukan ini kembali mewarnai kancah liga utama Malaysia, Liga Super selepas 10 tahun "hilang" dari kancah bolasepak negara.

Pujian harus diberikan kepada kepimpinan persatuan Melaka United Soccer Association (MUSA) yang terus menerus berusaha untuk memantapkan pasukan ini sejak dari bermulanya saingan Liga Premier 2016.

Meneruskan khidmat jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris, pihak MUSA terus merangka perancangan rapi bagi menempuh musim liga yang mana saingan lebih sengit berbanding Liga FAM.

Jika diimbas kembali, pihak MUSA mula membawa masuk pemain import seperti Illija Spasojevic, Labinot Harbuzi, Balsa Bozovic, dan Shin Jae Pil di awal saingan Liga Premier bermula.

Ditambah pula dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan R. Surendran dalam senarai pemain utama Melaka United,  pihak MUSA benar-benar ingin menjadikan pasukan ini benar-benar mantap serta mampu menjadi pencabar dalam saingan Liga Premier 2016.

Dalam usaha untuk terus memantapkan pasukan, pertengan musim menyaksikan Melaka United membawa masuk muka baru dalam pasukan mereka apabila mengikat duan pemain import baru mengantikan Balsa Bozovic dan Shin Jae Pil iaitu pemain kelahiran Palestin Yashir Pinto, Alex Tudose, serta bekas pemain Felda United Mohd Ferris Danial.

Atas usaha berterusan dari pihak MUSA, hasilnya. . . . . .

MELAKA UNITED JUARA LIGA PREMIER 2016!

Namun, kejayaan yang dicipta oleh Melaka United tidak harus terhenti di Liga Premier sahaja. Banyak lagi perkara yang perlu ditingkatkan dalam pasukan ini.

Pasukan yang menanti mereka di dalam saingan Liga Super nanti bukan calang-calang. Pasukan seperti Selangor, JDT, Kelantan dan Felda United merupakan antara nama-nama besar yang perlu mereka hadapi.

Disini, faktor pengalaman yang memisahkan mereka dengan pasukan-pasukan besar ini. Selebihnya bergantung kepada strategi dan taktikal jurulatih untuk terus membawa nama Melaka United sebagai salah satu kuasa bolasepak di Malaysia.

Diharapkan dengan kejayaan terbaru Melaka United ini, mereka akan terus memberikan saingan dalam kancah Liga Super 2017.

Usah risau, penyokongmu senantiasa setia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada anda. Kita lupakan sejarah lama, kita bina legasi baru bolasepak Melaka.

Ayuh Melaka United!! Perjuanganmu belum selesai. Kita gegarkan Liga Super tahun depan.

Gegau Melaka Gegau!!!



Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo