Responsive Ad Slot

KAFA Akan Buat Rayuan Berhubung Pemotongan Mata

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan membuat rayuan terhadap Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung pemotongan mata yang dikenakan terhadap Kelantan.

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan membuat rayuan terhadap Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung pemotongan mata yang dikenakan terhadap Kelantan.

Penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan pemotongan mata dilihatnya tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sesuatu persatuan, bahkan hanya memberi lebih tekanan kepada pihak pengurusan dan pemain.

"Jika mereka sentuh soal hutang, kenapa bekas pemain pertahanan Selangor, S. Subramaniam yang kini beraksi dengan Kelantan mengadu beliau masih belum menerima bayaran enam bulan gaji daripada bekas majikannya itu.

"Kenapa hal itu seolah-olah ditutup, bukankah ia perkara dan situasi yang sama," katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, FMLLP mengumumkan dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team antara empat pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta ekoran kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.

Sementara dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib yang sama setelah gagal menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) Mahizi Mahmood berkata pihaknya melihat tindakan terbabit sebagai jalan singkat dalam menangani masalah yang berlaku dalam KAFA.

"Walaupun tindakan itu satu tindakan tegas dan berani yang dikenakan kepada Kelantan namun bagi saya, FMLLP memerlukan satu penyelesaian dan keadah yang bersesuaian.

"Ia hanya memberikan lebih tekanan kepada pihak yang dikenakan tindakan walaupun tindakan itu satu pengajaran kepada pasukan lain dan KAFA sendiri," katanya kepada wartawan Bernama.

Selain itu, menerusi akaun 'Facebook' FMLLP, mereka telah menjawab persoalan yang ditimbulkan mengenai tunggakan gaji bekas pemain Selangor dan Melaka United yang tidak dibayar oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) di media sosial, 

Pihak Football Malaysia LLP (FMLLP) ingin menegaskan bahawa tidak ada apa-apa kes yang telah dijatuhkan hukum oleh FAM/FIFA berkenaan tunggakan gaji pemain tersebut.

Pihak FMLLP tidak mengambil tindakan ke atas mana-mana isu yang dilaporkan di media sosial. FMLLP perlu mendapat kesahihan daripada pihak berkuasa yang berkaitan sebelum bertindak seterusnya.

Harus diingat, penalti yang dijatuhkan atas pasukan-pasukan yang terlibat adalah berkait dengan kegagalan mereka memenuhi syarat-syarat pendaftaran yang terhasil dari keengganan atau ketidakbolehan mereka membuat deklarasi dan memuatnaik dokumen yang perlu hasil dari pasukan itu mempunyai tungakkan. Jika tidak, sudah tentu mereka dapat melengkapkan pendaftaran mereka dengan deklarasi dan dokumen-dokumen yang sahih. Jika mereka dikatakan telah lengkap pembayaran kesemua perkara yang perlu, tetapi gagal memuatnaik dokumen yang perlu untuk melengkapkan pendaftaran mereka, walau telah diberi ruang masa, diberi peringatan bertulis dan lisan, maka kesalahan atau perlanggaran syarat pendaftaran pasukan tetap sudah berlaku. Ini bukanlah peraturan baru sebaliknya peraturan sediada dalam Liga Malaysia sejak zaman liga diuruskan oleh FAM lagi.

Jadi, adalah amat mengelirukan apabila sesetengah pihak cuba menyamakan isu ditangan dengan kes-kes individu yang mungkin tidak ada kata putus atau keputusan dari pihak yang berkuasa di dalam membuat keputusan mengenai perkara itu. Pihak FMLLP amat berharap bahawa pihak yang cuba mencari "fakta" kes-kes lain untuk memesong perhatian daripada fakta yang sebenarnya. Kesalahan telah berlaku. Baiki lah kesalahan tersebut kerana walau berapa banyak lagi "fakta" yang dapat dicari, ia tidak akan menukar fakta bahawa anda telah melakukan kesalahan dan ia perlu dibetulkan. Untuk masa depan bolasepak Malaysia, mainkanlah peranan anda dan betulkanlah kesalahan itu. Itu akan lebih membantu industri bolasepak tempatan dari mencari kesalahan pihak yang lain.

Mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetangah pihak yang dikenakan hukuman pemotongan mata di akhbar-akhbar, FMLLP ingin memaklumkan bahawa kami telah berhubung dengan setiap pasukan mulai bulan Januari 2017 lagi, termasuk melalui pemberitahuan dan peringatan bertulis serta disusuli dengan panggilan telefon. Pasukan-pasukan tersebut tahu apa yang perlu dilakukan dan dilengkapkan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan. Ini jelas membuktikan bahawa FMLLP telah cuba untuk memberikan bantuan yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak adalah jauh tersasar dan tidak benar sama sekali.

6 mata dipertikaikan walaupun FMLLP jelas menunjukkan artikel mana di dalam Manual Liga telah digunakan untuk menjatuhkan hukum. Kenapa 6? Adakah kita pertikaikan kenapa 6 apabila FIFA menjatuhkan hukuman 6 mata atas kegagalan membayar pampasan pemain? Kenapa bukan 3? Kes 1 pemain saja. Terdapat pelbagai kes di serata dunia termasuk dari Romania, Itali, Ireland dan England di mana pemotongan mata telah digunakan di pertengahan musim sebagai tindakan ke atas pasukan yang melanggar peraturan atau mempunyai masalah kewangan. Di dalam beberapa kes, jumlah mata yang di potong jauh lebih dari 6 dan mengakibatkan relegasi.

Adakah kesemua liga ini ditindas kerana menjatuhkan semangat pemain, bias atau menidakkan penyokong, atau adakah liga mereka ini dilihat sebagai menegakkan integriti dan melakukan yang sepatutnya serta berlaku adil kepada mereka yang mematuhi syarat atau peraturan yang perlu dipatuhi?

Kita disini lebih gemar untuk berteori konspirasi, menuduh bias dan apa saja yang boleh digunakan untuk memastikan bahawa diri sendiri tidak dipersalahkan, termasuk menuding jari ke arah pasukan atau individu lain yang dikatakan mahu menjatuhkan pasukan kami.
Matlamat FMLLP dalam isu ini ialah untuk meningkatkan tahap pematuhan dan bukan menghukum. Diharap perkara ini membolehkan semua pihak mengorak langkah ke arah pematuhan 100% yang menjadi petanda bahawa Liga Malaysia berada di landasan yang betul. Di hari tiada hukuman diperlukan, kita telah berjaya.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo