Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Ahok Dijatuhi Hukuman Dua Tahun Penjara Kerana Menghina Islam

Mahkamah mendapati Ahok terbukti bersalah melakukan penghinaan agama kerana membuat kenyataan menyentuh Surah Al Maidah ayat 51 ketika bertemu pengundi di Pulau Pramuka, Kepulauan Seribu pada September tahun lepas.

09 May, 2017

/ by Admin
Ahok Dijatuhi Hukuman Dua Tahun Penjara Menghina Islam

JAKARTA - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib Gabenor ibu kota Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok yang baru saja gagal mempertahankan jawatannya pada Pilihan raya Kepala Daerah (Pilkada) bulan lepas, hari ini pula dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah di sini atas kesalahan menghina Islam.

Mahkamah mendapati dia terbukti bersalah melakukan penghinaan agama kerana membuat kenyataan menyentuh Surah Al Maidah ayat 51 ketika bertemu pengundi di Pulau Pramuka, Kepulauan Seribu pada September tahun lepas.

Ketua Majlis Hakim yang dianggotai oleh lima hakim, Dwiarso Budi Santiarto dalam penghakimannya berkata Basuki Tjahaja Purnama terbukti secara sah bersalah melakukan penodaan agama apabila menyebut pengundi di kawasan itu akan diperbodohkan oleh pihak tertentu yang menggunakan surah Al Maidah.

Ahok ditahan mulai hari ini dan akan dihantar ke penjara yang belum disebut lokasinya dan dia diberi tempoh tujuh hari untuk membuat rayuan.

Ahok melakukan kesalahan di bawah Fasal 156a Kanun Undang-undang Hukum Pidana Indonesia iaitu secara sengaja di hadapan khalayak menimbulkan perasaan atau melakukan perbuatan permusuhan, penyalahgunaan atau penodaan terhadap sesuatu agama.

"Daripada ucapan tersebut terdakwa telah menganggap surat Al Maidah adalah alat untuk membohongi umat atau masyarakat, atau surat Al Maidah 51 sebagai sumber kebohongan dan dengan adanya anggapan demikian maka menurut pengadilan terdakwa telah merendahkan dan menghina surat Al Maidah ayat 51," kata Dwiarso.

Keputusan mahkamah itu mengejutkan pihak pendakwa apabila sebelum ini mereka meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun dengan dua tahun di bawah pemerhatian pihak berkuasa.

Ahok yang kalah pada pilihan raya pusingan kedua pada bulan lepas akan mengakhiri tempoh perkhidmatannya sebagai gabenor pada Oktober ini.

Ahok dalam kenyataannya kepada hakim berkata dia akan membuat rayuan secepat mungkin.

Terdahulu itu, ratusan penyokong Ahok di luar bangunan Kementerian Pertanian yang dijadikan mahkamah sementara untuk perbicaraan kes itu dilihat meratap dan menangis kerana terlalu kecewa dengan keputusan mahkamah manakala satu lagi kumpulan umat Islam pula bertakbir.

Kenyataan Ahok yang menyentuh surah Al Maidah itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh Indonesia dan ratusan ribu umat Islam menyertai demonstrasi di ibu kota pada Oktober dan Disember tahun lepas bagi membantah dan mendesak supaya gabenor Jakarta itu dikenakan hukuman yang setimpal kerana menghina agama.- Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo