BERLIN - Seorang ahli politik Jerman mahu Kesatuan Eropah (EU) menggantung perjanjian perkongsiannya dengan Israel, susulan tindakan rejim itu melanggar hak asasi manusia penduduk Palestin, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).
"EU patut menangguhkan perjanjian perkongsian dengan Israel. Kami telah menuntut perkara sama selama bertahun-tahun. Jika mahu ia boleh dilakukan dengan mudah," kata anggota parlimen parti sayap kiri Annette Groth kepada AA.
Groth menggesa Jerman dan anggota EU lain "serta-merta" meneliti semula perkara berhubung penjualan senjata kepada Israel.
Selain itu, beliau berpendapat Amerika Syarikat harus bertindak terhadap langkah keselamatan yang dilakukan Israel di Baitulmaqdis.
Jika Israel mengubah status Masjid Al-Aqsa ia dilihat langkah 'keji' dan masyarakat antarabangsa perlu bertindak balas terhadap usaha rejim zionis itu.
Israel membangkitkan kemarahan umat Islam dengan menutup Masjid Al-Aqsa ekoran insiden tembakan di perkarangan masjid menyebabkan dua anggota polis Israel terbunuh. Tiga suspek - lelaki Palestin yang memiliki kerakyatan Israel turut terbunuh.
Rejim Zionis kemudian bertindak memasang alat pengesan logam serta kamera pengawasan di pintu masuk Masjid Al-Aqsa namun mengambil keputusan menghentikannya dan mengubah kaedah pemeriksaan keselamatan dengan menggunakan teknologi canggih. - Bernama
No comments
Post a Comment