Responsive Ad Slot

Mangsa Pasca Banjir Di Melaka Perlukan Bantuan Sekolah

Bantuan persekolahan seperti baju, buku dan alat tulis merupakan barangan utama yang diperlukan mangsa pasca banjir yang ditemu bual di sini.

12 February, 2016

/ by Admin
Beberapa daerah di negeri Melaka dinaiki air menyebabkan ratusan keluarga dipindahkan sementara di pusat pemindahan banjir sekitar daerah negeri Melaka. - Gambar Fail

ALOR GAJAH  - Bantuan persekolahan seperti baju, buku dan alat tulis merupakan barangan utama yang diperlukan mangsa pasca banjir yang ditemu bual di sini.

Norfarizah Abd Rahman, 28, yang tinggal di Kampung Belimbing Dalam di sini berkata dia tidak sempat menyelamatkan sebarang peralatan rumah dan harta benda termasuk peralatan sekolah dua anaknya.

"Segala buku, alat tulis, uniform sekolah rosak akibat banjir, buku sekolah anak saya merupakan buku bantuan sekolah, jadi saya terpaksa membuat laporan mengenai kerosakan kepada sekolah dan memohon yang baharu.

"Saya harap sangat bantuan sekolah diberikan bagi meringankan beban kami sekeluarga kerana suami saya hanya bekerja sendiri mengutip barangan kitar semula," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, keluarganya juga sedang mencari rumah sewa di kawasan Durian Tunggal di sini bagi mengelakkan sebarang musibah seperti banjir berulang.

"Sepanjang tiga tahun saya tinggal di sini, sudah lima kali banjir berlaku, sebelum ini segala peralatan dapat diselamatkan namun kali ini air naik terlalu cepat.

"Saya juga memohon mana-mana pihak yang boleh berikan kami rumah untuk disewa, saya ada juga memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini, tetapi tidak diluluskan," katanya.

Bagi Ramlah Kasim, 57, berkata keluarganya mengalami kerugian lebih RM10,000 akibat banjir disebabkan pelbagai barangan seperti perabot, barangan elektrik dan kelengkapan sekolah anaknya rosak akibat ditenggelami air banjir.

"Memang saya tidak sempat selamatkan banyak barang. Sebelum air naik, saya dan keluarga ke Ulu Yam, Selangor menghadiri majlis perkahwinan anak saudara.

"Saya tidak menyangka akan berlaku banjir, saya menerima berita mengenai banjir dari anak saya pada 2 petang Sabtu, selepas itu, terus saya pulang ke Melaka.

"Air sudah naik setinggi lima kaki dan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan rumah dan harta benda termasuk kelengkapan sekolah, buku, alat tulis, baju anak-anak habis rosak," katanya. - Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo