![]() |
Mangsa Muhammad Khairul Fiqri meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan sementara rakannya kini koma di Unit Rawatan Rapi ICU Hospital Melaka. Foto - Sinar Harian. |
KLEBANG - Polis mencari seorang pemandu kereta warga Nigeria bagi membantu siasatan berhubung kemalangan sehingga meragut nyawa seorang remaja di Jalan Klebang Kecil, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abd Adzis Shaikh Abdullah berkata, kejadian kira-kira 11.45 malam itu membabitkan penunggang motosikal, Muhammad Khairul Fiqri Johari, 14, dan rakan sebayanya, Muhammad Syafiq Arshad.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa datang dari arah Pusat Bandaraya menghala Sungai Udang bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki warga Nigeria berusia 30 tahun.
“Kereta turut dinaiki seorang lagi lelaki warga sama dan seorang wanita berusia 51 tahun dan mengaku teman wanita kepada pemandu yang melarikan diri ke arah pusat bandar sebaik sahaja kemalangan berlaku,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Melaka sebelum Muhammad Khairul Fiqri disahkan meninggal dunia pada jam1.50 pagi, sementara Muhammad Syafiq kini koma dan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
“Pemandu Myvi bagaimanapun melarikan diri ke arah pusat bandar, sementara dua penumpang kereta itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil di IPD Melaka Tengah.
“Justeru, polis kini sedang memburu lelaki Nigeria yang berusia 30 tahun bagi menyelesaikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, seorang saksi kejadian, Rahmat Aswirman, 21, berkata, dia melihat Perodua Myvi memotong kereta di hadapannya sebelum terdengar bunyi dentuman, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment