KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal mengibarkan cabaran negara apabila melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Denmark di Odense Sports Park, Denmark.
Chong Wei menjadi penyelamat maruah negara apabila memulakan kempen dengan menyingkirkan pemain pilihan kelapan dari India, Kashyap Parupalli 21-14 dan 21-15 pada pusingan pembukaan hari ini.
Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang memburu gelaran ketiga musim ini selepas Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada, Jun Lepas, akan meneruskan cabaran dengan menentang pemain Hong Kong, Wei Nan, pada pusingan kedua esok.
Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Wei Nan membuka langkah kanan apabila terpaksa berhempas pulas selama 58 minit untuk mengalahkan pemain tuan rumah, Emil Holst 14-21, 21-19, 21-15.
Bagaimanapun, cabaran negara dalam acara beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran pada kejohanan berstatus Siri Super Premier bernilai US$650,000 (RM2.68 juta) itu berakhir selepas gagal melepasi pusingan pertama.
Beregu utama lelaki negara, Goh V Shem/Tan Wee Kong menampilkan aksi terpuji apabila berentap selama 69 minit sebelum tunduk kepada beregu Denmark, Mathias Boe/Carsten Mogensen 15-21, 21-19, 20-22.
Beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho, yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, turut mengalami nasib sama pada pusingan pertama.
Pasangan negara itu kalah kepada beregu pilihan kelapan, Ma Jin/Tang Yuanting dari China 17-21, 23-21 dan 19-21 pada pertarungan selama 66 minit itu.
Semalam, beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying memperagakan aksi terburuk apabila gagal memberi saingan kepada pasangan pilihan ketujuh, Ko Sung Hyun/ Kim Ha Na dari Korea Selatan.
Pasangan Korea itu dengan mudah menjinakkan beregu campuran negara itu dengan keputusan 18-21 dan 13-21 dalam saingan selama 32 minit.
Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar pemain perseorangan wanita ke kejohanan tersebut.-Bernama
No comments
Post a Comment