PENGKALAN BALAK - Seorang operator kilang yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja, parah apabila bas kilang yang dinaikinya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV), malam kelmarin.
Mangsa, Sarifah Mat Ausoh, 47, dikatakan sedang dalam perjalanan dari Londang, Masjid Tanah ke sini apabila kemalangan berkenaan berlaku di Batu 20 Pengkalan Balak kira-kira jam 8.40 malam.
Menurut sumber polis, pemandu bas kilang terbabit dipercayai hilang kawalan dan merempuh bahagian tepi sebuah lori yang sedang berhenti di atas bahu jalan selepas dia gagal mengelak kenderaan berat itu.
Menurutnya, bas berkenaan kemudiannya terbabas ke dalam longkang sebelum merempuh sebuah kenderaan MPV Unser yang berada di depan lori dan mengheret kenderaan itu sejauh kira-kira 30 meter.
“Mangsa yang ketika itu duduk di belakang pemandu bas mengalami kecederaan parah di bahu dan juga cedera di muka. Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, pemandu bas kilang berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Sementara itu, seorang penduduk, Hasan Abd Hamid berkata, dia yang ketika itu berada di luar rumah terkejut mendengar dentuman kuat sebelum melihat dua kenderaan berada dalam longkang dan bas kilang berada di bahu jalan.
Menurutnya, dia kemudian bergegas melihat keadaan bas dan mendapati hanya terdapat seorang penumpang di dalam bas terbabit dan sedang mengerang kesakitan.
Katanya, ini bukan kemalangan yang pertama malah lebih tiga kali kemalangan berlaku dalam tempoh lima bulan ini.
“Kebanyakan pengguna memandu laju lebih-lebih lagi sebelum sampai ke kawasan ini ia menuruni bukit.
“Sehingga kemalangan maut juga pernah berlaku di kawasan ini dan berharap pengguna tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas hilang kawalan manakala pemandu lori serta kenderaan MPV terbabit juga didapati bersalah kerana meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara mangsa yang menerima rawatan di hospital dalam keadaan stabil,” katanya, dipetik dari Sinar Harian.
No comments
Post a Comment