Padang Temu, Melaka - Lebih 100 nelayan yang berpengkalan di Jeti Sungai Duyong, di sini, kesal apabila muara sungai berkenaan masih cetek meskipun dikatakan sudah beberapa kali dikorek.
Keadaan itu membuatkan mereka sentiasa berdepan kesukaran setiap kali mahu keluar dan masuk untuk menangkap ikan apabila keadaan air laut surut.
Paling kecewa dengan masalah itu, kira-kira 50 nelayan dari Sungai Melaka yang diarah berpindah ke Muara Sungai Duyong bagi memberi laluan projek pembangunan Sungai Melaka.
Nelayan, Hishamuddin Abu Bakar, 44, berkata, mereka dan rakan-rakan dijanjikan dengan seribu keselesaan asalkan mahu berpindah ke Sungai Duyong, namun apa yang diharap tidak berlaku.
“Kami dijanjikan macam-macam, mereka kata boleh keluar masuk 24 jam di sini tetapi bila dah berpindah macam ini pula jadinya. Mereka janji kemudahan asas yang selesa, kononnya percuma tetapi nak pakai kemudahan paip air pun kena bayar.
“Ini belum cerita lagi projek hab pendaratan ikan yang sehingga kini masih terbengkalai,” katanya di sini.
Seorang lagi nelayan, Ah Chuan, 67, berkata, setiap kali air surut mereka terpaksa tidur di dalam bot sehingga dua tiga jam sementara menunggu air pasang semula.
“Kami sering kali berdepan masalah ikan busuk kerana terlalu lama menunggu dan tidak cukup air batu untuk proses menyimpan ikan.
“Itu belum lagi masalah kipas bot yang selalu rosak sebab tersangkut pada kayu sewaktu air di muara cetek,” katanya.
Selain itu, kesemua mereka tertanya-tanya fungsi jentera pengorek bagi mendalamkan sungai yang ditempatkan di situ kerana dilihat hanya sesekali sahaja melakukan kerja mengorek.- Sinar Harian
No comments
Post a Comment