Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Isu Kad Tambah Nilai Prabayar Akan Dimuktamad

10 April, 2015

/ by Zen Zaara
PUTRAJAYA - Isu caj cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap kad tambah nilai prabayar akan dimuktamadkan selepas  Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengadakan pertemuan dengan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi minggu hadapan.

Pengarah Bahagian GST Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, pertemuan itu akan menyelesaikan isu berkenaan harga tambah nilai telefon bimbit.

“Secara dasarnya kerajaan berharap syarikat telekomunikasi mengekalkan harga sama seperti sebelum ini bagi mengelakkan sebarang isu,” katanya.

Menurutnya, syarikat telco telah menyatakan persetujuan akan memberi bonus waktu udara enam peratus daripada kadar nilai kepada pelanggan walaupun mengenakan GST.

“Sebagai contoh, jika harga tambah nilai RM10.60 termasuk GST, pengguna akan menikmati ekstra waktu udara sekitar RM1.30,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pengguna sebenarnya tidak akan rugi walaupun kad tambah nilai dikenakan caj GST.

“Saya harap pengguna bersabar untuk tempoh sebulan ini,” katanya.

Menyentuh mengenai keengganan peniaga menjual kad tambah nilai, beliau berkata,  kebanyakan peniaga tidak mendapat maklumat tepat mengenai pelaksanaan GST.

“Saya yakin, isu peniaga tidak mahu menjual kad tambah nilai itu akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

Berkenaan dengan skim bayaran balik pelancong (TRS), Subromaniam menasihati pelancong agar berbelanja di premis yang diluluskan.

Katanya, sehingga kini terdapat 1,059 premis diluluskan.

"Kedai yang diluluskan akan memaparkan pelekat Global Blue Tax Free di premis mereka. Ia memudahkan pelancong untuk mengenal pasti premis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berminat memohon untuk menyertai TRS, boleh berbuat demikian dengan mengikuti kriteria yang ditetapkan oleh kastam.

“Antaranya mesti berdaftar dan perlu mengakaunkan GST mengikut bulanan,” katanya.

Subromaniam berkata, sepanjang lapan hari pelaksanaan GST, sebanyak RM259 juta pungutan GST atas pengimportan barangan dilakukan.

“Jumlah tersebut termasuk nilai yang akan ditolak kepada pelancong yang membuat tuntutan TRS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sebanyak 370 Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan kepada peniaga sepanjang lapan hari pelaksanaan GST.

Menurutnya, peniaga tersebut diberi masa tiga hari untuk memberi penjelasan dan justifikasi punca kenaikan harga barang atau caj tidak munasabah di pasaran.

Kata Alias, pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh terhadap penjelasan peniaga terbabit sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Kita akan membawa kes ke mahkamah selepas kertas siasatan lengkap,” katanya, dipetik dari Sinar Harian.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo