IPOH - Hanya kerana perselisihan faham, seorang lelaki tidak menyangka isterinya nekad melarikan kereta Toyota Caldina dan bayi mereka berusia sembilan bulan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, lelaki berkenaan turun dari kenderaan tersebut untuk membeli barang dan meninggalkan isteri dan bayinya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat daripada lelaki terbabit yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini.
Menurutnya, bertindak segera, pihak polis berjaya menemui kenderaan itu di kawasan Taman Canning kira-kira jam 5.35 petang.
“Hasil siasatan, kami mendapati berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri terbabit yang berasal dari Sungai Petani.
“Isterinya telah bawa lari kereta itu semasa suaminya membeli barang di sebuah kedai berhampiran,” katanya.
Menurutnya, tiada kesalahan dikenal pasti dan kedua-dua mereka meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Chang Keong mengulas kejadian itu setelah mesej kehilangan kereta itu tersebar kepada pengguna aplikasi WhatsApp, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment