Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Rotavirus: Pejabat Kesihatan Ambil Sampel Makanan Di Premis Resort Bukit Merah

Pejabat Kesihatan Daerah Kerian telah mengambil sampel makanan dari premis makanan di Resort Bukit Merah Lake Town dekat Bagan Serai untuk mengetahui punca jangkitan sembilan kes rotavirus di Kedah dan Pulau Pinang.

29 September, 2016

/ by Admin
Rotavirus: Pejabat Kesihatan Ambil Sampel Makanan Di Premis Resort Bukit Merah
IPOH - Pejabat Kesihatan Daerah Kerian telah mengambil sampel makanan dari premis makanan di Resort Bukit Merah Lake Town dekat Bagan Serai untuk mengetahui punca jangkitan sembilan kes rotavirus di Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juita Ghazalie berkata walaupun pesakit berkenaan tidak mempunyai sejarah membeli makanan dan minuman di resort tersebut, tetapi mereka berada di pusat peranginan itu 24 September lalu.

"Pemeriksaan di fasiliti bilik air dan sistem kumbahan resort berkenaan juga telah dijalankan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Aedes Perak, di sini hari ini.

Katanya sampel air telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor untuk analisis dan keputusannya dijangka diketahui dua hari lagi.

Dalam pada itu, Dr Juita berkata pihaknya telah mengarahkan taman tema air di resort tersebut ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Sekiranya pihak pengurusan membuat pembersihan dan disinfeksi segera, aktiviti air itu boleh dibuka lebih awal," katanya.

Sehubungan itu, Dr Juita menasihati orang ramai supaya mencuci tangan menggunakan air dan sabun selepas menggunakan tandas selain meminum air bersih bagi mengelak dijangkiti virus itu.

Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan bahawa sembilan kes Gastroentritis Akut (AGE) dilaporkan di Kedah dan Pulau Pinang dengan tiga daripadanya disahkan positif rotavirus.

Sembilan kes tersebut melibatkan tujuh kanak-kanak berusia 11 bulan hingga 10 tahun di Kedah dan dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun di Pulau Pinang.

Kesemua mereka yang telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, mula mengalami gejala pada 26 Sept dan pernah melawat taman rekreasi di Bukit Merah pada 24 Sept, katanya. - Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo