![]() |
Lokasi kedai makan yang meletup dikatakan berpunca dari gas memasak. Foto - Sinar Harian |
ALOR GAJAH - Seorang pengusaha bengkel kereta yang sedang nyenyak tidur di bengkelnya, terjaga dan terkejut apabila mendengar letupan kuat berdekatan premisnya di Kampung Padang Sebang, di sini, semalam.
Memetik laporan akhbar Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, Mohd Norisham Pekan, 31, bergegas keluar dari bengkelnya untuk mengetahui apa yang berlaku.
Menurut Mohd Norisham, pada mulanya dia menyangka letupan itu datang dari dalam bengkelnya kerana bunyinya amat kuat, bagaimanapun selepas dia melihat di luar, dia mendapati pintu kaca sebuah kedai makan yang terletak bersebelahan, berkecai.
“Saya terkejut dengan kejadian itu dan tak berani nak tengok sendirian. Saya terus dapatkan rakan yang tinggal berdekatan.
“Sebaik masuk ke kedai makan itu, kami didapati barangan dalam kedai bertaburan. Pintu kaca dan pintu besi utama kedai juga sudah berkecai berselerakan sehingga bertaburan ke jalan,” katanya kemudian terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pemilik kedai makan terbabit.
Sementara itu, pemilik kedai terbabit, Zaharah Saad, 53, berkata, dia panik apabila diberitahu mengenai insiden menimpa kedai makan miliknya itu.
“Ketika kejadian, saya berada di rumah. Seorang jiran beritahu tentang kejadian itu. Kira-kira jam 6 pagi saya terus datang ke sini dan tidak tahu apa hendak dilakukan. Bomba pun sudah tiba masa itu.
“Saya tak tahu apa puncanya sama ada litar pintas atau gas memasak. Ini kejadian pertama sejak saya menjalankan perniagaan ini hampir tiga tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri, Kamarulzaman Mohd Din berkata, tiga jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada letupan gas memasak dalam kedai berkenaan.
“Kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
No comments
Post a Comment