KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) tidak pernah menjadikan tindakan menuntut atau mengambilalih aset, bangunan atau harta kepunyaan Pas sebagai polisi parti berkenaan.
Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir turut menegaskan cakap-cakap yang mengatakan parti berkenaan turut ingin menuntut Ibu Pejabat Pas yang terletak di Jalan Raja Laut juga adalah perbuatan nakal dan fitnah sama sekali.
Menurutnya, apa yang berlaku di beberapa negeri seperti di Johor, Negeri Sembilan dan Perak melibatkan beberapa buah bangunan dan premis yang sebelum ini digunakan untuk aktiviti dan gerak kerja Pas telah bertukar kepada Amanah adalah isu yang terpencil.
Jelasnya, berlaku situasi di Negeri Sembilan yang mana seorang Yang Dipertua Pas kawasan berkenaan meminjamkan bangunan komersil miliknya untuk digunakan oleh Pas kawasan disebabkan aset parti berkenaan sebelum ini daif dan tidak memberikan imej yang baik kepada orang ramai.
“Jadi apabila beliau dan majoriti ahli Pas kawasan berkenaan telah berhijrah ke Amanah maka beliau meminta kembali haknya itu untuk digunakan untuk gerak kerja Amanah.
“Pucuk pimpinan Amanah secara jelas tidak pernah mengeluarkan arahan supaya bangunan-bangunan Pas dipindah milik dan sekiranya ada cubaan untuk melakukannya maka kami akan menasihatkan supaya ia tidak dilakukan
“Namun sekiranya berlakunya situasi seperti di Negeri Sembilan itu maka adalah tidak adil kepada pemilik bangunan berkenaan untuk tidak dibenarkan menggunakan aset miliknya sendiri,” katanya kepada pihak media.
Mengulas mengenai Ibu Pejabat Pas di ibu kota, Mohd Anuar menjelaskan pimpinan Amanah yang meninggalkan Pas telah meninggalkan semua yang dilakukan untuk parti berkenaan selama ini.
Ujarnya, bangunan berkenaan bukanlah hak milik mereka walaupun majoriti daripada mereka pihak yang sebenarnya paling banyak berperanan mendapatkan premis berkenaan sebelum ini.
“Takkanlah kami nak tuntut bangunan berkenaan sedangkan kami buat untuk Pas walaupun kami bekerja keras mendapatkan dana dan sumbangan jutaan Ringgit untuk mendapatkannya.
“Jadi cakap-cakap berkenaan mengatakan Amanah cuba untuk mengambil alih Ibu Pejabat Pas itu adalah tidak betul dan tidak akan kami lakukan kerana kami telah tinggalkan Pas serta kini telah menyewa pejabat di kawasan yang sederhana,” tegasnya, lapor The Rakyat Post.
No comments
Post a Comment