Mahdzir berkata, beliau kini sedang mendapatkan nasihat daripada kementerian dan SKMM untuk tindakan selanjutnya terhadap pelaku. - Gambar Fail |
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung notis palsu penutupan sekolah yang tersebar di media sosial ketika jerebu melanda negara baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, sebanyak lima kes direkodkan berhubung perkara itu, baru-baru ini.
Katanya, kebanyakan notis berkenaan menggunakan kepala surat kementerian dan hampir tulen di mana ia disalin oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Keadaan ini menimbulkan kekeliruan terutamanya dalam kalangan ibu bapa,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Mahdzir berkata, beliau kini sedang mendapatkan nasihat daripada kementerian dan SKMM untuk tindakan selanjutnya terhadap pelaku.
“Ada notis palsu yang mengatakan sekolah ditutup selama dua hari sedangkan hanya sehari sahaja, manakala notis yang lain mengatakan bahawa guru tak perlu nak ‘mimpi nak dapat cuti’,” katanya.
Mahdzir turut menggesa orang ramai agar mendapatkan pengesahan daripada kementerian melalui laman web rasmi di mana sebarang notis yang dibuat boleh disahkan berhubung penutupan sekolah, lapor The Rakyat Post.
No comments
Post a Comment