![]() |
Jaim mencatatkan penurunan dalam kes tangkapan khalwat di daerah Melaka Tengah sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. - Gambar Fail |
MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian kesalahan syariah di negeri ini.
Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasanya, Rahimin Bani berkata, ia dalam usaha meminda Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah jenayah syariah.
Beliau berkata, ini termasuk kesalahan berjudi dan meminum arak bagi memungkinkan hukuman sebat sebagaimana dilaksanakan di negeri lain turut dijalankan di negeri ini.
“Jawatankuasa ini akan mengambil kira dan merujuk perundangan yang digunapakai di negeri-negeri lain bagi membolehkan hukuman sedia ada diperketatkan.
“Ini adalah penting demi memberi pengajaran kepada umum (orang Islam) supaya mereka tidak memandang ringan atau memperlekehkan undang-undang syariah,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Rahimin berkata, Jaim mencatatkan penurunan dalam kes tangkapan khalwat di daerah Melaka Tengah sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam tempoh itu, katanya, sejumlah 377 tangkapan khalwat direkodkan, menurun dari 507 dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, golongan berusia antara 21 dan 24 merupakan mereka paling ramai ditahan iaitu seramai 112 orang, juga menurun dari 134 orang yang ditahan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Bagaimanapun, penahanan mereka yang berusia antara 25 dan 50 menunjukkan peningkatan di mana sejumlah 106 orang ditahan dalam sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 100 pesalah tahun lalu,” katanya, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment