ALOR GAJAH - Sebuah banglo di sebuah pusat percutian di daerah ini menjadi tumpuan sekumpulan individu untuk mengadakan pesta liar pada malam hari kemerdekaan lalu.
Individu terbabit bukan saja berasal dari negeri ini, malah negeri lain yang datang ke parti berkenaan berdasarkan undangan menerusi WhatsApp dan WeChat.
Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar apabila sepasukan polis mengadakan serbuan di banglo berkenaan, kira-kira jam 2 pagi pada 31 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Mohamad Ismail Mohd Yusof berkata, hasil serbuan, polis menahan 26 daripada 41 ahli kumpulan yang sedang leka berpesta liar di banglo terbabit kerana didapati positif dadah.
Beliau berkata, kesemua berusia 19 hingga 31 tahun terdiri daripada 31 lelaki dan 10 wanita.
"Mereka datang dari pelbagai negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, merupakan pekerja swasta serta penganggur," katanya.
Menurutnya, polis juga menahan seorang lelaki yang memiliki dadah jenis ganja seberat empat gram dalam rumah persendirian itu yang dilengkapi lampu disko, pembesar suara, deejay serta alat pemutar muzik.
“Hasil saringan air kencing, kita dapati 21 lelaki dan empat wanita yang berada di rumah tersebut positif dadah.
“Siasatan awal mendapati mereka tertarik menyertai pesta liar tersebut kerana tidak dikenakan sebarang bayaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, semalam.
Mohamad Ismail berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, katanya, seorang pemandu lori berusia 41 tahun ditahan dalam serbuan di rumah ibunya, Sabtu lalu, kerana terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
dalam operasi kira-kira jam 11.30 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Alor Gajah merampas ganja dianggarkan bernilai RM10,000, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment