AYER MOLEK - Seramai 120 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang, di sini, terpaksa menduduki peperiksaan berkenaan di bilik darjah lain gara-gara siling runtuh sejak 30 Ogos lalu.
Pada perancangan awal, bilik membabitkan empat kelas darjah satu yang sepatutnya dijadikan dewan peperiksaan itu bagaimanapun tidak boleh digunakan demi keselamatan pelajar.
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin ketika melakukan tinjauan semalam mendesak kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan segera.
“Akibat siling runtuh, peperiksaan UPSR tidak boleh dijalankan di bilik ini biarpun ia kondusif selain tidak diganggu pelajar lain.
“Saya minta pejabat pendidikan segera mengambil tindakan dan tidak perlu menunggu calon habis menduduki peperiksaan sebaliknya kerja-kerja pembaikan boleh dilakukan sebelah petang,” katanya.
Beliau berkata, akibat kelewatan kerja-kerja pembaikan itu juga, murid darjah satu terpaksa berpindah-randah di bilik komputer dan kemahiran hidup untuk meneruskan sesi persekolahan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya pihak sekolah di seluruh negeri ini melaporkan segera sekiranya berdepan masalah kerosakan bangunan ke pejabat pendidikan daerah bagi membolehkan pemantauan dibuat.
"Sekiranya berlaku masalah kecil, kita boleh selesaikan segera kecuali kerosakan besar memerlukan kos tinggi,” katanya, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment