BUTTERWORTH - Plus Malaysia Bhd (Plus) akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di semua plaza tol miliknya mulai tahun 2017.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Fuad Khusairi berkata ketika ini sebanyak 14 daripada 92 plaza tol miliknya telah melaksanakan sistem ETC manakala bakinya masih menggunakan sistem tol tertutup.
"Plus menjangkakan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi, ia adalah antara usaha kami mengurangkan kesesakan di plaza tol kerana kutipan secara elektronik mampu menjimatkan masa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan pelaksanaan ETC di plaza tol Jambatan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Selain plaza tol Jambatan Pulau Pinang, empat lagi plaza tol turut melaksanakan sistem ETC sepenuhnya di Kubang Semang, Pulau Pinang, serta Lunas, Jitra dan Bukit Kayu Hitam di Kedah mulai pukul 12 tengah hari ini.
Katanya pelaksanaan ETC sepenuhnya di Jambatan Pulau Pinang dijangka dapat melancarkan 30 hingga 50 peratus kesesakan trafik di laluan itu dan memberi penjimatan masa kepada pengguna.
Mohd Fuad berkata sebanyak 82,000 kenderaan menggunakan Jambatan Pulau Pinang setiap hari dan sebelum pelaksanaan ETC, 90 peratus daripadanya sudah menggunakan ETC.
"Mengikut rekod, penggunaan SmartTAG mampu mencatatkan 1,200 transaksi dalam tempoh satu jam berbanding tunai yang hanya mencatatkan 400 transaksi manakala kad PlusMiles dan Touch 'n' Go pula mencatatkan 550 transaksi bagi tempoh sama,"
katanya.
Beliau berkata PLUS juga membelanjakan hampir RM10 juta bagi menyerap kos promosi dan rebat yang diberikan di semua lima plaza tol berkenaan bermula 1 September hingga 31 Disember ini.
Katanya Plus menawarkan 20 peratus rebat kepada pembeli kad Touch 'n' Go baharu yang melalui kelima-lima plaza tol berkenaan sehingga 31 Disember ini. - Bernama
No comments
Post a Comment