KUALA LUMPUR - Rakyat perlu jelas bahawa perhimpunan Bersih 4 tidak mewakili majoriti rakyat Malaysia, sebaliknya ia hanya disokong segelintir masyarakat.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Safii berkata, propaganda di media sosial serta fokus media terhadap perhimpunan Bersih 4 telah memberi mesej salah kepada masyarakat.
“Kita perlu memupuk keyakinan rakyat dan mengubah persepsi mereka, terutamanya yang tinggal di luar bandar bahawa majoriti rakyat berpuluh juta yang tidak turun ke perhimpunan Bersih 4 tidak menyokong Bersih,” katanya, semalam.
Jelasnya, jika persepsi itu tidak dibetulkan, rakyat yang tidak menyertai perhimpunan Bersih 4 akan menganggap perhimpunan itu adalah suara umum rakyat Malaysia dan bersetuju dengan tuntutan-tuntutan yang diperjuangkan pihak terlibat.
Penganjuran himpunan ‘baju merah’ yang dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang, pada Rabu depan, dikatakan adalah serangan balas terhadap perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Perhimpunan itu juga dikatakan bertujuan menunjukkan kekuatan perpaduan melayu, memandangkan majoriti peserta perhimpunan Bersih 4 terdiri daripada kaum Cina.
Mohd Razlan menegaskan, tuntutan Bersih amat tidak demokratik, kerana mereka mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, penubuhan sebuah kerajaan peralihan sementara 12 bulan diberikan untuk pilihan raya umum diadakan.
“Kenapa mereka menuntut perkara seperti itu? Siapa sebenarnya jawatankuasa Bersih? Mereka bukan mewakili majoriti rakyat dan hanya yang terpengaruh sahaja mengikut dan menyertai himpunan itu,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid berkata, polis tidak meluluskan penganjuran perhimpunan Anti Bersih atau himpunan ‘baju merah’, bagi mengelakkan keadaan menjadi huru-hara dan untuk melindungi keselamatan awam, dipetik dari Rakyat Post.
No comments
Post a Comment