Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Bunyi Letupan Selamatkan 4 Nyawa

Tindakan pantas seorang warga emas memeriksa persekitaran rumah selepas terdengar bunyi letupan kecil seperti sampah dibakar berjaya menyelamatkan empat nyawa dalam kejadian kebakaran di Kampung Chohong, di sini, kelmarin.

03 September, 2015

/ by Admin
JASIN - Tindakan pantas seorang warga emas memeriksa persekitaran rumah selepas terdengar bunyi letupan kecil seperti sampah dibakar berjaya menyelamatkan empat nyawa dalam kejadian kebakaran di Kampung Chohong, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, api yang marak dengan cepat itu menyebabkan bukan sahaja rumah didiami Ramaban Sadin, 69, sejak 45 tahun lalu musnah malah, tiga unit umah kedai termasuk markas Pas hangus dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.


Ramaban berkata, sebelum kejadian dia yang sedang menonton televisyen bersama dua cucu lelaki di ruang tamu segera ke dapur untuk memeriksa bahagian tersebut sebelum keluar melalui pintu belakang dan melihat rumahnya terbakar.

Dia yang panik kemudian menjerit meminta pertolongan dan menyuruh isteri Rosni Ludin, 62, dan dua cucu lelaki berusia 8 dan 9 tahun keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Lepas balik dari solat Asar di masjid, saya tengok TV bersama cucu dan masa tu terdengar bunyi letupan kecil seperti sampah dibakar tapi tak ada pulak bau asap.

“Saya sangka isteri memasak sesuatu jadi saya terus ke dapur tapi tak ada apa-apa. Saya keluar rumah ikut pintu dapur dan terkejut tengok api di belakang rumah yang menyambar tayar kereta di garaj dan ketika itulah saya menjerit sampaikan adik ipar tinggal berhampiran dengar,” katanya, di sini, semalam.

Dia yang juga bekas guru di Tangkak, Johor berkata, adik ipar turut membantunya menjirus air namun api marak dengan cepat dan mereka hanya sempat menyelamatkan beberapa perabot dan dokumen penting.

“Saya hanya sempat selamatkan buku-buku bank, geran tanah dan pasport menunaikan haji masa berusia 5 tahun. Pasport ni saya simpan sebagai kenangan sebab pergi Makkah naik kapal laut dengan arwah mak dan ayah.

“Dalam masa sama, jiran dan penduduk kampung yang lain bantu hubungi bomba selain cuba keluarkan barang-barang dari kedai runcit terletak sederet dengan rumah saya,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM150,000 apabila kereta jenis Dutsun, motosikal Vespa, peralatan kebun termasuk mesin rumput,  perabot, peralatan elektrik, pakaian dan peralatan sekolah cucu hangus terbakar.

Seorang lagi mangsa yang juga pemilik kedai runcit Tan Ka Chuan, 67, pula berkata dia yang mengalami kerugian lebih RM100,000 bagaimanapun bersyukur selamat daripada cedera akibat kebakaran.

“Masa kejadian, saya tutup kedai dan balik ke rumah di Tangkak untuk makan lebih kurang jam 3 petang tapi dalam pukul 5.30 petang kawan telefon bagi tahu kedai terbakar.

“Saya terkejut dan bila sampai di kedai saya tengok tak ada apa dapat diselamatkan. Kalau adapun sikit makanan kering yang dikeluarkan penduduk kampung lepas pecahkan pintu untuk tolong selamatkan barang-barang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 5.06 petang dan tiba di lokasi 51 minit kemudian.

“Api dapat dikawal jam 5.57 petang dan berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 10.01 malam oleh 11 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin,  Jasin Bestari dan Bukit Katil dengan menaiki tiga jentera.

“Kebakaran melibatkan empat unit termasuk tiga unit musnah keseluruhannya dan sebuah unit lagi cuma terbakar 30 peratus. Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan anggota forensik,” katanya.

Difahamkan kebakaran berkenaan membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM400,000, lapor Sinar Harian.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo