Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Tiada Paksaan Untuk Sertai Harapan Baru

Harapan Baru mendakwa mereka tidak akan menarik ahli Pas untuk menyertai partinya itu sebaliknya ia atas kemahuan individu itu sendiri.

26 August, 2015

/ by Admin
KUANTAN – Harapan Baru mendakwa mereka tidak akan menarik ahli Pas untuk menyertai partinya itu sebaliknya ia atas kemahuan individu itu sendiri.

Penyelaras Harapan Baru Pahang, Dr Hamzah Jaaffar berkata,  mana-mana individu yang mahu menjadi penyokong Harapan Baru dibolehkan dengan syarat mereka memahami matlamat penubuhan gerakan itu.

“Mereka yang berminat dengan perjuangan tidak kira ahli  Pas, Umno, PKR  mahupun DAP boleh menyertai gerakan ini, kita tidak paksa.

“Kita terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama kita dan mengenai sokongan ahli Pas terhadap Harapan Baru, saya rasa buat  masa ini mereka menunggu penubuhan parti baharu ini sebelum menyatakan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Sempurna Resort di sini, semalam.

Menurutnya, parti baharu ini akan dilancarkan di Pahang pada 12 September depan selepas pelancaran rasmi Harapan Baru pada 31 Ogos ini bertempat di Kuala Lumpur.

Dr Hamzah berkata,  Harapan Baru ini turut menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, namun pendekatannya berbeza terutamanya dari sudut pendekatan dan pembawaannya.

“Kita lebih menitikberatkan kepada perjuangan untuk kebajikan rakyat dan mewujudkan sebuah kerajaan bersifat amanah.

“Saya yakin dan percaya parti baharu itu akan memperjuangkan hak untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum dan agama,” katanya.

Katanya, kewujudan parti baharu ini bukan untuk menjadi saingan mana-mana  parti sedia ada, bahkan ia akan menjadi pengukuh kepada pakatan baharu yang akan dikenali sebagai Pakatan 2.0.

“Saya percaya Pakatan 2.0 ini mampu berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang begitu berani melakukan penyelewengan khususnya dalam mengurus kewangan negara dan pemerintahannya perlu ditamatkan,” katanya.

Dr Hamzah turut mengharapkan parti baharu yang berasaskan perjuangan Islam dilihat sebuah parti politik sihat di negara ini memandangkan konsep lebih kepada keadilan dan kebajikan  untuk rakyat, lapor Sinar Harian.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo