KUALA SELANGOR - Pemimpin pakatan disifatkan cuba ‘menangguk di air keruh’ apabila mahu sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, desakan Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah hanyalah taktik politik semata-mata kononnya mengambil berat mengenai rakyat dan negara.
Sebaliknya, Noh berkata, Kerajaan Selangor pimpinan PKR sendiri gagal menyelesaikan masalah rakyat khususnya dalam isu bekalan air bersih yang melanda beberapa kawasan di negeri ini.
“Wan Azizah tidak layak untuk memanggil pertemuan tergempar dengan semua ahli Parlimen apatah lagi menuntut satu sidang khas diadakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Selangor di sini.
Katanya, Umno Selangor menyokong perdana menteri yang bercadang mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama beliau daripada semua tuduhan.
Beliau berkata, kita tidak boleh hidup dengan laporan atau dakwaan yang tidak tepat dan tidak disandarkan kepada bukti-bukti yang kukuh.
Katanya, Umno Selangor sokong perdana menteri bertindak tegas menyaman WSJ dan Sarawak Report. Cara nak buktikan (tuduhan) ialah ke mahkamah.
“Kita minta perdana menteri mesti ambil tindakan demi mencari keadilan untuk beliau,” katanya, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment