MANILA - FILIPINA. Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh selepas sebuah feri yang membawa 173 penumpang terbalik di selatan perairan Filipina, semalam.
Menurut laporan Inquirer.net, Kapal Kim Nirvana karam akibat dihempas ombak kuat ketika sedang belayar dari Bandar Ormoc menuju ke selatan Pulau Camotes.
Pegawai pemantau bencana berkata, bot penyelamat menyelamatkan berpuluh-puluh mangsa yang berpaut pada badan kapal yang terbalik kira-kira 1 kilometer (km) dari pelabuhan Ormoc.
"Kumpulan penyelam kini sedang bertungkus lumus mencari mangsa sekiranya ada yang terselamat di sekitar kawasan perairan yang keruh," kata jurucakap pengurusan bencana, Ciriaco Tolibao.
Sementara itu, radio Manila melaporkan, 21 orang dilaporkan hilang namun angka rasmi masih belum dapat disahkan.
Pasukan pengawal pantai turut mengesahkan satu operasi menyelamatkan besar-besaran telah dilancarkan namun enggan memberikan maklumat lanjut.
Difahamkan, feri yang tidak diselenggara dengan baik sering menyebabkan kemalangan di kawasan perairan di negara itu.
Salah satu insiden paling diingati berlaku pada 1987, apabila feri Dona Paz merempuh sebuah kapal tangki minyak menyebabkan 4,300 terkorban.
No comments
Post a Comment