JASIN - Jenazah mangsa gempa bumi di Sabah, Muhammad Loqman Abd Karim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chinchin di sini selepas solat Subuh, esok.
Bapa saudara mangsa, Zainal Abidin Abd Wahid berkata, jenazah Muhammad Loqman, 22, dijangka sampai di rumah datuknya di Kampung Chinchin di sini pada pukul 2.30 pagi (9 Jun).
Jenazah guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa di Kuala Lumpur itu akan disembahyangkan di Masjid Kampung Chinchin sebelum dikebumikan.
"Kerana kelewatan (jenazah sampai) kami sekeluarga bersetuju untuk menunda pengkebumian jenazah (Muhammad Loqman) selepas solat Subuh (esok)...mohon doakan keluarga dan jenazah selamat sampai," katanya menerusi catatan WhatsApp kepada pemberita di sini, hari ini.
Jenazah Muhammad Loqman pada awalnya dijadualkan tiba lewat petang ini, namun atas masalah teknikal dijadualkan semula untuk tiba pada pukul 1.30 pagi (9 Jun) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam dekat sini. - Bernama
No comments
Post a Comment